I made this widget at MyFlashFetish.com.

Friday, July 04, 2008

Tetap menanti kehadiran Saliha


Cerita selebriti terkenal, Mawi yang bakal bergelar bintang filem bukan satu cerita baru. Namun, langkah pertamanya untuk bergelar anak wayang nampaknya di penuhi dengan pelbagai halangan. Filem Aduh Saliha yang sepatutnya berjalan sejak tahun lalu, nampaknya belum ada tanda akan menemui peminat di panggung wayang. Dan lebih mengharukan filem bernilai RM1.6 juta itu tergendala atau dalam erti kata lain masih berada di separuh jalan.

Bertanyakan hal ini kepada pelakon utamanya Mawi yang memegang watak sebagai Man Hero dalam filem arahan M.Nasir itu, Mawi mengakui dia masih punya hati untuk meneruskan filem ini. "Saya sudah tengok 30 peratus filem ini yang telah siap disunting dan ditambah dengan teknik CGI. Memang nampak cantik. Rugi sangat saya rasa kalau tidak diteruskan.
"Memang saya sayangkan filem Aduh Saliha. Kalau pihak produksi mahu sambung penggambaran, saya okey saja. Apa yang saya dengar mereka mahu sambung dalam bulan November depan," ulasnya lagi.
Tambah Mawi, walaupun sedar terdapat masalah dalam produksi tersebut, dia secara peribadi masih ingin lihat filem itu di siapkan kerana kekuatan yang ada pada jalan cerita filem tersebut. Tidak mahu perkara yang sama berulang kembali, Mawi menegaskan yang dia kini lebih teliti dalam memilih tawaran lakonan yang datang padanya.

Terbaru, dia bergandingan dengan Fara Fauzana untuk filem yang berjudul Jin Notty. Filem terbaru itu diterbitkan oleh KRU dengan kerjasama Line Clear. Jin Notty telah pun memulakan penggambarannya dan ia merupakan sebuah filem yang mempunyai jalan cerita berkaitan dengan dunia makhluk halus iaitu jin. "Saya terima tawaran ini sebab kita semua pun sudah tahu macam mana hasil kerja KRU. Jalan cerita pun menarik, dan saya yakin dengan produksi mereka," katanya tentang filem bergenre fantasi komedi ini lagi.

Bercerita dengan lebih lanjut tentang filem terbarunya ini, Mawi mengatakan dia hanya menjalani penggambaran di lokasi selama lapan hari saja kerana bukan memegang watak utama. "Farah sebagai pelakon utama, saya pula duduk di bawahnya, kira pelakon nombor dualah. Itu saja yang boleh saya beritahu yang lain kena tunggulah (ketawa)," tuturnya masih berahsia.

Dalam filem Jin Notty ini, Mawi akan memegang watak lelaki kampung bernama Ajis. Menurutnya lagi, filem ini punyai mesej yang kuat untuk ditonjolkan justeru dia teruja untuk melakonkan watak berkenaan. "Memang ada babak-babak romantik antara saya dan Farah. Tetapi mana boleh beritahu sekarang, tunggulah tengok macam mana," katanya lagi cuba bergurau.

Jelajah tanah Arab
Saat temuramah ini dijalankan, Mawi baru saja pulang dari Jordan. Pemergiannya ke sana bukanlah untuk makan angin sebaliknya demi menjayakan program Mawi Bumi Ambia.
Program yang bakal ke udara pada bulan Ramadhan ini, membawa Mawi ke pelosok tanah Arab untuk melihat sejarah Islam di sana.

"Saya telah berada di Jordan selama seminggu, dan itulah kali pertama saya menjejakkan kaki ke sana. Sebelum ke Jordan saya telah pun melawat Syiria dan Turki. Walaupun penat bekerja tetapi saya bertuah kerana dapat melihat sendiri sejarah Islam. "Bukan itu saja. Saya juga dapat melawat makam orang ambia dan nabi - nabi seperti nabi Salleh, Daniel dan Hud," ujarnya lagi.
Selain itu, menurut duta Silky Men dan ais krim Walls ini lagi, dia amat terpegun ketika berada di salah satu piramid dan pengalaman itu tidak mungkin di lupakannya.

"Pada saya tempat yang paling menakjubkan ialah ketika melawat piramid kerana walaupun besar, tetapi hendak masuk ke dalam kami semua kena merangkak dan kecilkan badan kami (ketawa). "Kami hanya di benarkan lawat makam orang yang bina piramid itu sahaja, yang lain tidak dibenarkan. Memang pengudaraan dalam piramid itu sukar sedikit ditambah dengan suhu yang panas, saya rasa macam hendak demam bila keluar dari piramid itu," ceritanya lagi.

Azan di Masjid Sultan Hassan
Mengenangkan perkara menarik di sana, Mawi memberitahu pengalaman dibenarkan melaungkan azan untuk solat Zohor di Masjid Sultan Hassan antara yang tersemat di hatinya.

Tanpa menggunakan sebarang sistem audio, binaan masjid itu membenarkan laungkan azannya bergema di segenap ruang masjid dan luar perkarangan masjid berkenaan.
"Memang unik, sebab suara saya keluar macam pakai mikrofon pula, sebenarnya saya tidak gunakan apa-apa pun. Kita mintalah kebenaran imam masjid untuk azan kerana ia khas untuk program ini.

"Apa yang saya lihat suasananya memang lain di sana kerana bila tiba masuk waktu solat saja, orang akan penuh di masjid untuk setiap waktu solat, penuhnya macam setiap kali sembahyang Jumaat di Malaysia. Menariknya di masjid itu ada empat bahagian tempat sembahyang untuk untuk empat mazhab," ujarnya.
Kata Mawi lagi, wujud keinsafan di hati sanubarinya tatkala melawat makam-makan serta tempat bersejarah di sana. "Mesir satu nama yang besar tetapi, saya lihat banyak orang susah di sana. Bayangkan ke mana saja saya pergi, pasti ada orang susah meminta derma, jadi bayangkan hidup mereka macam mana. Sebab itu bersyukurlah jadi rakyat Malaysia" tuturnya akhiri bicara.
petikan : Kosmo / 04.07.08