I made this widget at MyFlashFetish.com.

Tuesday, May 27, 2008

Wah ! Stacy terlebih sudah !




Tirai Konsert AF 6 berlabuh sudah pada hari Sabtu lepas! Terus terang saya katakan cara persembahan Konsert ini merupakan yang terbaik setakat ini baik dari segi konsep mahupun keupayaan para pesertanya. Walaupun di konsert2 yang lepas, berbagai reaksi kita terima dari warga Malaysia terhadap kredibiliti pelajar namun ia boleh dipadamkan dengan corak persembahan akhir dari pelajar2 musim ini. Tahniah!

Seperti yang kita tahu, Stacy merupakan pelajar favourite untuk musim ini telah dgn jayanya merealisasikan impian menjadi realiti! Walaupun suara2 nyamuk diluar yg tdk setuju dgn pertabalan Stacy namun 'jari menjadi juri' menunjukkan betapa besarnya impak Stacy untuk menarik jari2 rakyat Malaysia untuk mengAfundinya sehingga separuh dari undian berpihak kepada beliau ! 48% bukan sedikit. Malah dpt mengalahkan juara2 lepas.

Keputusan muktamad Konsert akhir AF6 ;

1. Stacy 48%
2. Riz 18%
3. Nubhan 14%
4. Toi 13%
5. Nadia 13%

Komen peribadi Jefbuj :

Stacy
Lagu 'Atas Nama Cinta' telah dibawa dengan penuh emosi seolah2 lagu Stacy sendiri. Lagu 'Aku Stacy' benar2 mengangkat Stacy sebagai seorang PENGHIBUR bertaraf Superstar! Namun lagu rancak sebegini jarang digunakan untuk Killer Song sepertimana lagu final Jacklyn Victor (MI), Ayu (OIAM2), & Mila (AF5).

Riz
Lagu 'Hanya Sandiwara' agak bagus tapi ianya kurang sesuai dengan Riz. Malah ia mendapat kritikan dari para juri. Pun begitu lagu '11 Januari' yang menjadi makanan Riz telah berjaya menarik AFundi penonton. Riz memang diakui mempunyai ciri2 seorang penyanyi yang bakal digilai oleh peminat khususnya wanita!

Nubhan
Sungguh mengharukan, lagu baru beliau 'Ada untuk Mu' dibawa dengan penuh keyakinan hingga mendapat sorakan dan tepukan gemuruh dari penonton di Stadium Bukit Jalil! Saya teringat lagu Bob 'Cinta Seorang Teman' yang terus mesra telinga apabila didendangkan buat kali pertama dan meletup2 di corong2 radio. Ini lah yang bakal terjadi kepada Nubhan nanti. Walaupun dihina dengan memiliki suara angsa namum suara angsa itulah yang dicari2 selama ini yg dapat mewarnai industri seni suara yang ketandusan suara 'baru' yg tidak ada klon! Tahniah Nubhan dengan usaha anda. Lagu 'Bukan disini' juga tidak kurang menariknya.

Toi
Toi juga menampakkan kematangan dalam persembahannya. Namun lagu baru 'Panahan Asmara' tidak memberi impak langsung! Kesian Toi, sepatutnya Toi diberi lagu yg lebih berkualiti untuk dipertandingkan di konsert akhir sebegitu! KOMEN MELAMPAU dari Adlin sungguh memualkan! Sebagai juri profesional sepatutnya beliau memberi komen yg lebih relevan bukan memberi komen BUSUK yg berbentuk peribadi ( meminjam kata2 beliau sendiri semasa konsert AF3 dulu ). Meminta maaf semasa press conference tidak membawa apa2 makna. Kesilapan beliau tidak dapat dimaafkan. Beliau telah mengaibkan TOI secara langsung dikaca TV! Persembahan lagu 'Cinta Zulaika' boleh dikira baik kerana Toi membawanya bukan ikut cara MAWI dan berjaya meyakinkan pengundi. Kesannya undian Toi melebihi undian Nadia!


Nadia

Kesian Nadia! Beliau telah menjadi mangsa pengundi yg buta seni! Mata pengundi telah dirabuni dengan aksi beliau di dalam diari. Kalau kita singkap kembali pencapaian Nadia sepanjang konsert, beliau merupakan calon yg layak utk menjadi top 3. Beliau jarang mengecewakan tenaga pengajar dan persembahan nya cukup mantap dan sentiasa konsisten. Agak malang apabila Nadia diberi lagu yg kedua2nya jenis rancak yang jarang berlaku didalam mana2 pertandingan. Lagu 'Kalut Lagi Mengarut' begitu rancak dan sedikit kedengaran seperti lagu 'Ular' dari Anita Sarawak. Lagu 'Aku Lebih Tahu' dari Mila sepatutnya ditukar kepada lagu 'Persis Mutiara' supaya ada keseimbangan. Memang tidak boleh diterima akal apabila Nadia dikalahkan oleh Toi yg langsung bukan peserta favourite Juri & Penonton! Menyaksikan persembahan Nadia yg penuh energetic tidak mustahil beliau layak mendapat tempat yg lebih baik.

Acara Penutup

Saya langsung tidak faham kenapa pihak penganjur tidak memberi peluang kepada pelajar2 yang tersingkir utk membuat persembahan individu! Tidak semestinya mereka menyanyi penuh, cukup sekadar intro & korus sahaja sudah memadai utk membangkitkan memori konsert2 lepas. Kita lihat AF1, 2 & 3, ianya cukup menyentuh perasaan apabila mereka dipertemukan semula di atas pentas.

Agak melucukan apabila Zahid membawa lagu lamanya & lebih2 lagi si Faizal membawa lagu Watimang landak! Ia langsung tdk sinonim dgn acara kemuncak sebegini.


Walaubagaimanapun, biarlah konsert akhir AF6 ini menjadi memori! Astro seharusnya lebih serius dan membuat post-mortem akan segala kelemahan2 yg terdapat di dalam AF musim ini. Astro mesti mencari formula baru dan jgn terikat dgn konsep yg sedia ada. Undang2 kita buat sendiri & boleh digubal bila2 masa sahaja. Kalau tidak mahu menimbulkan sebarang kontroversi, dengar pandangan org ramai. Kalau boleh buatlah konsep 30% undian sms & 70% menggunakan khidmat juri. Bagi pelajar mendapat peratusan tertinggi dalam sms boleh dinobatkan sebagai Pelajar Paling Popular. Dan bagi yg tinggi markah dari Juri, dinobatkan sebagai Persembahan Terbaik dan layak utk mendapat hadiah yg beratus ribu tu! Yg popular boleh diberi hadiah percutian dan sebagainya.

Tepuk Dada Tanya Selera !!!! Kita jumpa di AF 7 tahun depan!

(gambar dari mr.manager - tq )

Mila dapat tawaran ke Itali, Macedonia



Peluang pupuk keyakinan bina reputasi di peringkat antarabangsa DARIPADA gadis biasa yang hanya mampu memasang angan-angan, Akademi Fantasia musim kelima (AF5) mengubah nasib gadis bertubuh kecil molek, Noorsyarmila Jirin atau Mila apabila diangkat sebagai juara wanita pertama program realiti popular itu. Menempuh perjalanan penuh berliku, malah namanya pernah hampir tersungkur pada awal pertandingan AF5, Mila membina kekuatan.

Dengan bakat besar yang dimilikinya, perlahan-lahan dia membina kepercayaan peminat, Mila akhirnya dinobat sebagai juara apabila undian penonton berpihak kepadanya. Mac lalu, jejak gemilang perjalanan karier nyanyian Mila bermula apabila dia sekali lagi diiktiraf peminat hiburan tempatan apabila namanya dijulang sebagai Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007. Kejayaan yang membulatkan tekad anak kelahiran Teluk Kumbar, Pulau Pinang untuk mengukir lebih banyak pencapaian saat karier nyanyian sedang memutik. Kelangsungan detik manis dalam diari seni penyanyi berusia 20 tahun apabila dia menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa, 18 Mei lalu.

Dipilih menyertai Discovery 2008 – 17th International Pop Music Festival di Varna, Bulgaria pada 17 dan 18 Mei lalu, Mila membanggakan negara apabila lagu nyanyiannya, Ilham di Matamu ciptaan Ajai dan lirik Allahyarham Loloq diangkat sebagai Lagu Terbaik pertandingan itu. Melihat kelebihan yang ada pada diri Mila, penganjur dari Itali menyarankan supaya dia menyertai lebih banyak pertandingan di Eropah. Mila juga mendapat tawaran untuk menyertai dua lagi pertandingan di peringkat antarabangsa iaitu International Pop Festival di Itali pada September 2008 dan International Pop Festival di Macedonia pada Jun 2009. "Ini membuktikan bakat yang ada pada Mila mampu diketengahkan di peringkat yang lebih tinggi sekiranya diberi peluang.

"Pulang dari Bulgaria, Mila dan pengurusan akan berusaha untuk memastikan karier seni Mila mengembara ke peringkat lebih besar. Semua ini tidak mustahil jika mendapat kepercayaan serta sokongan penaja yang mahu melihat lagu tempatan berkembang meluas," katanya. Menceritakan detik di Bulgaria, Mila berkata, awalnya dia diburu kebimbangan kerana pemergian ke sana tanpa sebarang maklumat mengenai tahap kemampuan peserta lain. Sekadar melihat profil pesaingnya di internet, itu saja sudah cukup meresahkan kerana kebanyakan mereka berpengalaman menyertai pelbagai pertandingan nyanyian sedangkan Mila hanya sekali memburu kejuaraan di AF5. "Hari pertama selesai pertandingan, mereka menghampiri Mila dan memberitahu suka dengan lagu serta irama Melayu. Ketika itu, hanya Tuhan yang tahu betapa Mila berbangga kerana lagu Melayu mendapat perhatian masyarakat luar. "Alhamdulillah, tuah akhirnya berpihak kepada Mila apabila Ilham Di Matamu diumumkan sebagai Lagu Terbaik," katanya. Turut membawakan sebuah lagi ciptaan Ajai, Aku Lebih Tahu, Mila berkata, pengalaman pertama mengembara jauh dari negara sendiri membuatkan dia bertekad untuk tidak memalukan Malaysia. Sekali pun akur bakal berdepan dengan cabaran besar, kekalahan juga berkemungkinan memberikan kesan kepada perjalanan kariernya tetapi Mila cuba untuk tidak terlalu memikirkannya. "Sebaik saja lagu Ilham Di Matamu diumumkan sebagai juara, Mila penuh bangga membawa bendera Malaysia ke pentas kerana kejayaan ini terlalu bermakna buat Mila. Alhamdulillah, masyarakat di luar melihat kelebihan yang ada pada lagu kita yang mempunyai keindahan serta keistimewaannya tersendiri," katanya. Mungkin ada yang memandang kejayaan Mila dari sudut negatif, apatah lagi pertandingan itu agak asing di pendengaran umum, dia positif menerima kritikan. Bagi Mila, jalan mencapai kejayaan tidak merentang dengan mudah dan dia sendiri menempuh liku yang panjang dalam pertandingan itu. Mila terpaksa berdepan dengan 13 peserta daripada 11 negara antaranya Itali, Sepanyol, Lithunia, Bulgaria (dua peserta), Maldova, Romania (2 peserta), Poland, Uzbekistan, Russia, Cyprus dan Malta. "Bayangkan mereka semua penyanyi yang terlatih, malah sejak kecil lagi sudah didedahkan dengan lagu klasikal pastinya mereka mempunyai kelebihan daripada pelbagai sudut. Menerusi pemerhatian Mila, peserta dari Itali mempunyai peluang besar kerana sentiasa menang dalam pertandingan itu. "Mila cuba kuatkan semangat, tanamkan dalam diri apa yang dibuat ini untuk negara. Syukur walaupun tidak memenangi sebarang kategori Penyanyi Terbaik, masih ada sesuatu yang manis untuk dikenang sebagai anak Malaysia," katanya.


Pertandingan Discovery 2008 berlangsung selama dua hari di Opera House Stoyan Bachavarov, Varna, Bulgaria. Malam pertama iaitu 17 Mei, peserta bertanding untuk kategori Penyanyi Terbaik dan malam berikutnya pula menyaksikan peserta berentap untuk Anugerah utama iaitu Lagu Terbaik. Dewan antik teater opera ini memuatkan 1,500 penonton.
Ilam Di Matamu berjaya memukau hati juri yang didatangkan dari beberapa buah negara Eropah seperti Sepanyol, Itali, Macadomia dan Russia. Pihak krew dan Maestro sempat berbual dengan Ketua Juri yang juga Ketua Unit Orkestra di Varna yang juga Presiden Discovery 2008, Donor Tsvetkov.
Tsvetkov menyifatkan Ilham Di Matamu mempunyai unsur muzik antarabangsa. Ia didengar menerusi melodi, susunan muzik dan instrumen yang digunakan. Dia juga memuji persembahan Mila yang menyampaikan lagu itu dengan begitu baik. Tsvetkov juga berjanji akan pastikan Ilham Di Matamu berkumandang di radio Varna dan Bulgraria. Malah, dia juga bersedia membantu Mila untuk melebarkan sayap seninya di Eropah.
Pada malam sama, selain dapat mengibarkan Jalur Gemilang apabila diminta mengalunkan sekali lagi lagu kemenangan, Mila juga membawa pulang Anugerah Khas Juri. Anugerah yang sama diberikan kepada peserta daripada Lithunia dan Itali.
MILA menerima saingan sengit peserta dari Itali, Malta, Bulgaria dan Romania. Masing-masing mempunyai kredibiliti dan pengalaman yang luas dalam bidang nyanyian. Peserta dari Romania umpamanya, mula mempelajari nyanyian klasik sejak berusia lima tahun selain mempunyai dua album solo dan sebuah album Krismas di negaranya.
Untuk Anugerah Utama Lagu Terbaik, Mila membawa pulang piala, sebuah lukisan khas lambang Discovery 2008 (Kuda Unicorn) yang dilukis pelukis terkenal di Varna, dan wang tunai Euro1,500 (RM7,500).


Keputusan penuh Discovery 2008:

Lagu Terbaik: Tempat pertama: Mila, Malaysia - Ilham di Matamu ciptaan Ajai & lirik Loloq Tempat kedua: Fiona Cauchi dari Malta Tempat ketiga: Guerino Papa dari Itali


Penyanyi Terbaik: Tempat pertama: Guerino Papa dari Itali Tempat kedua: Petya Nikolova dari Bulgaria Tempat ketiga: Simone Nae dari Romania


Anugerah Khas Juri: Mila dari Malaysia Agne Petraviance dari Lithunia Anugerah Artis Harapan Magda Kosinska dan Paulina Bilinska dari Poland


Petikan ; Berita Harian/27.05.08

Monday, May 26, 2008

AF6 milik Stacy


Berkat kegigihannya mendatangkan hasil apabila dijulang sebagai juara program realiti musim keenam KESEMPITAN hidup sehingga terpaksa melupakan persekolahan menyebabkan Stracie Angie Anam, 18 atau Stacy menggunakan peluang dan ilmu yang diperolehi secara 'percuma' sepanjang berada dalam akademi dengan belajar bersungguh-sungguh. Dan, kesungguhannya itu berhasil. Gadis kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu akhirnya diangkat sebagai juara Akademi Fantasia musim keenam (AF6), sekali gus menjadi bukti kegigihannya itu bukanlah lakonan semata-mata.
Dianggap sebagai pelajar paling konsisten kerana sentiasa menduduki tempat teratas carta, penonton setia AF6 yang mengikuti perkembangan Stacy tentu sekali dapat melihat kesungguhan yang ditonjolkan anak kelima dari enam beradik itu. Kata Stacy, dia tidak mahu ketinggalan seperti dulu hingga memaksanya meninggalkan sekolah lebih awal dan menyebabkannya gagal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). “Saya tidak berpeluang menamatkan persekolahan kerana kesempitan hidup keluarga. Jadi apabila mendapat ilmu yang baru, saya tekad untuk belajar bersungguh-sungguh.
BERTENAGA: Nadia beraksi lincah ketika menyanyikan lagu Kalut Lagi Mengarut.
“Saya pernah bekerja sebagai penyanyi di kelab malam sambil bersekolah pada sebelah siang untuk menampung kehidupan. Masalah kewangan yang dihadapi keluarga saya menjadi punca kenapa saya tidak dapat meneruskan persekolahan,” katanya yang amat bersyukur kerana impian untuk membantu keluarga akhirnya tercapai. Bagaimanapun, Stacy yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah St Michael, Penampang masih lagi menyimpan impian untuk menduduki SPM. Mengikut perancangan, dia ingin menduduki SPM tahun ini, namun penyertaannya di dalam AF menyebabkan dia terpaksa menangguhkan hasrat itu. “Saya betul-betul bersyukur kepada tuhan kerana membantu saya. Dari dulu kami sekeluarga tidak pernah merasa semewah ini menyebabkan saya tidak sabar mahu melihat reaksi keluarga dengan kemenangan saya ini. “Saya bercadang untuk bawa keluarga tinggal bersama-sama saya kelak. Inilah hadiah terbesar dalam hidup saya dan terima kasih juga buat peminat kerana mengundi begitu juga dengan cikgu-cikgu (tenaga pengajar AF6).
TERUJA: Nubhan turut mendapat sorakan daripada peminat pada konsert akhir AF6.
“Saya tidak tahu macam mana harus membalas jasa mereka. Ilmu yang mereka curahkan terlalu besar maknanya,” katanya yang berhasrat untuk mengikut kelas vokal bagi memperbaiki lagi mutu nyanyiannya sebagai persediaan untuk melangkah ke dunia nyanyian yang sebenar. Sebelum menyertai AF6, Stacy pernah mencuba nasib di dalam program realiti One In A Million musim pertama. Malahan Stacy juga ialah antara anggota kumpulan Evoke yang menyertai satu lagi program realiti, Gang Starz musim pertama tahun lalu. Keputusan menyertai AF di atas saranan ibunya, Agnes Kallos, 50. “Dia (ibunya) bersungguh-sungguh menyuruh cuba nasib dalam AF sebaik saja cukup umur. Saya bersyukur dan berbesar hati dapat masuk AF. Memang tidak sangka langsung akan menang kerana bagi saya semua yang berada dalam AF bagus-bagus belaka,” katanya. Sebagai juara AF6, Stacy membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM733,734, iaitu banglo empat bilik di A’Famosa Villa D’Lagos, Melaka; kereta model Peugeot 307 tajaan Naza Motors Sdn Bhd; wang tunai berjumlah RM25,000 sumbangan Hotlink; pakej percutian 7 hari 5 malam ke Itali tajaan Mayfirst; pakej pelancongan dan lawatan ke New York tajaan Maybeline, Sony Play Station dan trofi tajaan Astro. Sementara itu, naib juara AF6, Mohammed Idris Muhd Zaizizi, 21 atau Riz, berkata bukanlah niatnya untuk menunjukkan dirinya besar kepala apabila diminta mengulas mengenai perasaan tidak puas hati ketika diberikan lagu Laskar Cinta. “Sebagai manusia, saya ada perasaan suka dan tidak suka. Saya hanya meluahkan pendapat saja, walaupun pada mulanya saya tidak berapa suka dengan lagu Laskar Cinta tetapi saya cuba membawakan lagu itu dengan sebaiknya malah mula serasi dengan lagu itu. “Jujur saya tidak ada perasan bagus. Saya cumalah seorang pelajar. Saya juga cuba menjadi diri saya dalam AF dan hubungan antara saya dengan kawan-kawan juga tidak ada sebarang masalah,” katanya yang pernah mencuba nasib di dalam AF5. Riz pula membawa pulang kereta model Naza Bestari, wang tunai, pakej percutian, baucer pelancongan, Sony Play Station dan trofi yang kesemuanya bernilai RM96,076. Pemenang tempat ketiga, Ahmad Nubhan Ahamad berkata, dia sudah berusaha sebaik-baiknya setiap minggu untuk menampilkan persembahan terbaik. Nubhan yang memiliki suara komersial berkata, setiap kali berada di atas pentas, dia cepat gementar hingga menjejaskan tumpuannya. “Saya cuba memperbaiki mutu persembahan saya setiap minggu. Setiap kali melihat penonton saya jadi gementar, sedangkan ketika latihan penuh setiap minggu saya boleh lakukan yang terbaik.Saya bersyukur kerana berada di tempat ketiga. Sebenarnya dapat masuk final sudah cukup bermakna,” katanya Nubhan yang berada di tempat ketiga pula membawa pulang hadiah dengan nilai keseluruhannya berjumlah RM21,199. Sementara Toi yang berada di tempat keempat pula membawa pulang hadiah bernilai RM9,199 dan Nadia di tempat ke lima pula membawa pulang hadiah bernilai RM7,199.
Petikan /Berita Harian / 26.05.08 / Serimah Mohd Sallehuddin

Mampukah Akademi Fantasia terus bertahan?


UMUM pastinya mengetahui bahawa Akademi Fantasia musim keenam (AF6) tidak begitu hangat sebagaimana AF pernah mencipta satu fenomena luar biasa pada tahun 2003. Entah pada siapa perlu dituding jari untuk mencari di mana silapnya AF6 sehingga tidak mampu untuk mencapai kehangatan yang pernah dikecapi sebelum ini. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh pihak Astro sejurus selepas berakhirnya konsert akhir AF6 yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil malam Sabtu lalu, sudah cukup memberi bukti bahawa AF6 mencatatkan penurunan jumlah undian yang cukup drastik.
Sepanjang 10 minggu AF6 berlangsung, jumlah undian yang diterima hanyalah 3.8 juta dan pada konsert akhir pula berjaya mengumpulkan 879,000 undian sahaja sekali gus AF6 dianggap sebagai yang paling kecil daripada segi jumlah undian yang diterima. Sekadar menyingkap sejarah, AF1 misalnya berjaya mencatatkan jumlah undian yang boleh dianggap membanggakan iaitu sebanyak 4.5 juta walaupun ketika itu, AF baru sahaja bermula dan masyarakat baru hendak mengenali rancangan realiti. Seterusnya, AF2 mencatatkan jumlah undian yang paling banyak iaitu 15 juta undian dan AF2 juga dianggap berjaya melahirkan ramai peserta serta menonjolkan pelbagai bakat yang ternyata menarik perhatian penonton. Malah, selepas keluar daripada AF2 pun, kebanyakan bekas pesertanya berjaya mencipta kejayaan yang cukup membanggakan seperti Zahid, Adam, Kaer, Farah dan Bob.
AF3 pula, tiada siapa yang mampu menidakkan populariti yang ditempa hanya kerana seorang insan yang menyertainya iaitu Mawi. Namun pun begitu, kehadiran Mawi ketika itu sedikit pun tidak mampu berjaya meningkatkan jumlah undian apabila hanya sekadar mencatatkan 10.9 juta sahaja. Bermula detik itu, jumlah undian semakin menurun apabila AF4 mencatatkan 7 juta undian termasuk 1.21 juta undian menerusi AFMASUK dan AF5 (6.6 juta). Daripada statistik ini sudah cukup memberi tanda bahawa AF tidak lagi berupaya untuk memikat hati pengundi dan masyarakat Malaysia untuk terus menatap serta menjadikan AF saban tahun sebagai santapan harian mereka menerusi diari dan konsert.
Mungkin kini, penonton juga semakin bijak untuk mengundi seandainya bakat yang mereka rasakan itu tidak menyakinkan serta tidak mampu untuk di bawa jauh di dalam industri. Ataupun mungkin kini, penonton juga mempunyai pilihan berdasarkan lambakan rancangan realiti yang ada di negara ini yang merasakan lebih layak untuk dilaburkan wang daripada undian SMS mereka. Ini sendiri diakui oleh Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd., Zainir Aminullah saat ditebak dengan pelbagai soalan daripada pihak media sewaktu sidang akhbar konsert akhir AF6, Sabtu lalu. “Seperti yang pernah saya katakan beberapa tahun lalu, AF tidak bergantung sangat kepada SMS daripada pengundi dan peminat setia AF kerana kami tahu, mereka mempunyai pilihan untuk berbuat demikian. “Tetapi, apa pun yang terjadi, kami masih lagi menganggap AF tetap relevan dengan masyarakat hari ini dalam mencungkil bakat-bakat baru serta menjadikan mereka seorang bintang baru di persada seni tanah air,” katanya panjang lebar.

Katanya, AF merupakan landasan terbaik untuk mengembangkan bakat mereka dan beliau percaya, dengan kemenangan Stacy, misalnya, ia membuktikan bahawa pengundi kini semakin bijak dalam menentukan hala tuju seseorang peserta itu dalam industri hiburan tanah air. Malah, beliau juga sempat memberikan contoh kejayaan Noorsyarmilla Jirin atau Mila yang dilahirkan oleh AF dan juga juara AF5 yang telah mencipta kejayaan di luar negara dalam satu festival muzik yang diadakan di Bulgaria baru-baru ini. Zainir juga memberi gambaran awal bahawa AF bakal memasuki musim terbarunya tahun hadapan berdasarkan apa yang telah mereka kecapi menerusi AF6. “Sudah pasti, selepas ini, kami akan duduk berbincang dan cuba mencari kelemahan serta jalan penyelesaian untuk terus menjadikan AF sebagai rancangan realiti kegemaran rakyat Malaysia,” ujarnya penuh optimis.
Mungkin ramai yang mahu AF direhatkan seketika untuk dua atau tiga tahun kerana kata mereka, bakat-bakat yang dicungkil menerusi rancangan itu sudah tandus dan kering. Seandainya diteruskan juga, mungkin AF akan terus berdepan dengan situasi yang agak buruk apabila melahirkan bakat-bakat yang kurang berkualiti. Sedangkan rancangan realiti popular di Amerika Syarikat iaitu American Idol juga berdepan dengan situasi yang sama apatah lagi industri hiburan kita yang skopnya jauh lebih kecil. Setidak-tidaknya, American Idol membariskan bakat-bakat yang ternyata mempunyai mutu vokal yang baik serta diiringi oleh personaliti yang menarik dan mampu menarik perhatian peminat industri hiburan negara itu.
Tetapi, bagaimana pula dengan kita? Sudahlah bakat yang dipilih pun tidak begitu menyakinkan, personaliti yang ditonjolkan juga kurang menarik. Namun, di sebalik itu, bukanlah semua bakat yang dilahirkan oleh AF dan rancangan realiti lain tidak bagus. Memang tidak dinafikan ada mereka yang berbakat serta diiringi personaliti yang menarik.
Bukan itu sahaja, peranan Maestro Records Sdn. Bhd. juga amat penting dalam menentukan hala tuju bintang-bintang AF yang dijadikan artis di bawah naungan mereka. Jangan anggap mereka baru hendak mengenali dunia artis, mereka hanya sekadar diberikan lagu-lagu yang bagaikan tangkap muat sahaja untuk album mereka demi menjimatkan kos penerbitan. Mereka juga berhak diberikan peluang apa yang mereka mahukan dalam menentukan hala tuju mereka dalam industri. Mungkin juga sudah tiba masanya, Maestro yang diketuai oleh Freddie Fernandez selaku Ketua Pegawai Eksekutif perlu memikirkan mekanisme baru untuk terus melahirkan produk yang berkualiti serta menjaga bakat-bakat ini sebaiknya. Bak kata pepatah, belakang parang jika diasah lagikan tajam.
Sejauh mana AF mampu bertahan, semuanya terletak di tangan Astro. Jangan hanya mahu mengejar keuntungan semata-mata, bakat ditolak ketepi. Perlu difikir, masyarakat kini semakin hari sudah semakin bijak menilai. Jadi, tepuk dada, tanyalah selera.
Petikan Utusan Malaysia / 26.05.08 /SHAZRYN MOHD. FAIZAL

Perjalanan Stacy sudah bermula


DIA sendiri tidak pernah menyangka akan mengecapi nikmat yang paling manis dalam hidupnya setelah dinobatkan sebagai juara Akademi Fantasia musim keenam (AF6) pada tarikh keramat 24 Mei 2008. Apa yang dilakukan semuanya atas nama cinta yang amat mendalam pada bidang muzik yang sudah sebati dalam hidupnya.Namun, dia berikrar untuk berusaha menjadi penyanyi yang berilmu dan perjalanan seninya juga kini baru bermula.

Tekadnya hanya satu, mahu membantu keluarga yang telah banyak berkorban dan dia juga mahu melihat mereka gembira serta sama-sama mengecapi nikmat kemenangan yang diraihnya.
Stracie Angie Anam atau lebih popular dengan nama komersialnya, Stacy mempunyai 1001 sebab untuk gembira dengan gelaran juara AF6 yang sememangnya menjadi idaman ramai.
Dengan peratusan undian sebanyak 43 peratus daripada 879,000 undian yang diterima sewaktu konsert akhir AF6 berlangsung, tiada siapa yang mampu berani mengekang kehebatan Stacy yang ternyata tiada tandingannya.

Bermula daripada konsert mingguan pertama yang berlangsung pada 22 Mac lalu, persembahan Stacy tidak pernah mengecewakan para peminatnya.Dia akan melakukan yang terbaik dalam setiap persembahan kerana mahu membuktikan kehadirannya di dalam AF6 bukanlah sekadar mengejar populariti tetapi lebih kepada menonjolkan bakatnya. Memang benar. Berilah apa sahaja lagu kepadanya dan dia akan menterjemahkan sehingga lagu tersebut seolah-olah miliknya yang sebenar.

Malah, pada malam konsert akhir itu juga, dia menyampaikan lagu Atas Nama Cinta (dendangan asal Rossa) dan sebuah lagu baru, Aku Stacy, dengan cukup bertenaga dan mantap sekali.
Melihatkan persembahannya di atas pentas akhir itu, memang tidak syak lagi bahawa Stacy sememangnya dilahirkan sebagai seorang penghibur.Beraksi lincah dan dikurniakan vokal yang mantap sememangnya menjadi kelebihan buat Stacy, sekali gus menghampakan empat finalis lain iaitu Riz, Nubhan, Toi dan Nadia untuk bergelar juara AF6.

Menyingkap sejarah perjalanan hidup Stacy, kehidupannya tidak bertuah seperti rakan-rakannya yang lain.Dilahirkan pada 18 Ogos 1990 di Kota Kinabalu, Sabah, dalam keluarga yang agak besar. Anak kelima daripada enam adik-beradik ini sebenarnya mempunyai kisah yang menarik untuk dikongsi bersama.Peminat setia penyanyi Christina Aguilera dan naib juara AF3, Felix Agus ini, terpaksa berhenti sekolah pada umur 17 tahun dan waktu itu tiada siapa yang tahu apa yang terbuku di dalam hatinya. Ketika ditanya tentang alasannya berhenti sekolah sebelum menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), dengan jujur Stacy membuka lembaran hidupnya kepada pihak media.

“Saya datang daripada keluarga yang susah dan ketika itu juga, keluarga saya menghadapi masalah kewangan yang tidak dapat dibendung lagi. “Lantas, saya mengambil keputusan untuk berhenti belajar dan bekerja bagi menampung kehidupan keluarga saya. Namun, saya sudah berikrar, apabila masa yang sesuai nanti, saya akan mengambil juga peperiksaan SPM,” ujarnya penuh makna. Jelasnya, kemenangan itu sememangnya akan dikongsi bersama keluarga tercinta dan kalau boleh, dia mahu mereka semuanya datang ke Kuala Lumpur dan tinggal bersamanya.
“Apa yang cukup membanggakan saya adalah apabila saya berjaya mengharumkan nama negeri kelahiran saya, Sabah, dengan menjadi pelajar pertama dari negeri itu dinobatkan dengan gelaran juara. “Saya tidak pernah berhadapan dengan perasaan sebegini dan barulah saya tahu bagaimana perasaan juara AF yang lain saat nama mereka dinobatkan sebagai juara,” tambahnya.

Malah, kemenangannya sebagai juara AF6 juga bukanlah menjadi satu alasan untuk terus bergoyang kaki tanpa berusaha lebih gigih dalam menempatkan diri sebagai seorang penghibur unggul. “Saya sedar bukan mudah untuk memperoleh ilmu seperti yang saya kecapi dalam akademi. Oleh kerana itu, saya berasa cukup bertuah dan bersyukur kerana saya berjaya diterima di AF6. “Selepas ini, saya akan cuba untuk mengejar ilmu sebanyak mungkin untuk melengkapi hidup sebagai seorang penyanyi dan penghibur. Malah, saya juga sudah bersedia untuk berdepan dengan pelbagai situasi yang saya tahu cukup mencabar di luar sana,” kata anak pasangan Anam Bayar dan Agnes Kallos ini.

Azimat
Dia mengaku, semua tenaga pengajar AF6 menasihatinya supaya tidak mudah berpuas hati dengan apa yang telah dimiliki dan itu akan menjadi azimat dalam jiwanya. “Saya mahu terus belajar dan belajar kerana saya sedar untuk menjadi seorang penghibur dan menyakinkan orang dengan bakat kita bukannya mudah. Apa pun, saya berterima kasih dengan semua peminat dan penyokong saya yang banyak berkorban untuk meletakkan diri saya di tempat ini,” katanya lagi.
Seharusnya kini, Stacy mampu berbangga kerana dia sudah berjaya menempatkan diri dalam kelompok juara AF yang lain iaitu Vince (AF1) dan diikuti dengan Zahid, Mawi, Faizal dan Mila.
Memandangkan kini, Stacy bernaung di bawah Maestro Records Sdn. Bhd., dia perlu mempersiapkan diri menghadapi saingan daripada juara AF5, Mila sementelah kini hanya dia dan Mila sahaja juara wanita yang bernaung di bawah syarikat rakaman itu.

“Memang saya melihat itu sebagai satu saingan, tetapi saya akan mengambilnya sebagai satu saingan yang sihat dan baik. Begitu juga dengan empat finalis lain yang saya anggap semuanya mempunyai kelebihan masing-masing.“Jujur nya, saya memberitahu bahawa saya begitu takut untuk membuat persembahan pada malam ini. Malah, saya juga sudah bersiap sedia untuk menghadapi pelbagai kemungkinan dan menerimanya dengan hati yang cukup terbuka,” katanya yang tidak pernah lokek dengan senyuman ini.


Stacy, yang memiliki wajah persis pelakon dan penyanyi terkenal, Safura Yaacob memberitahu, dia mahu menjadi seorang penyanyi yang versatil meskipun dia cukup meminati lagu-lagu rancak yang membolehkannya menunjukkan skil tarian. Dengan pengalamannya menyertai pelbagai pertandingan realiti yang lain seperti Gang Starz dan One In A Million musim pertama, ditambah kini dengan AF6, sudah pasti ia cukup membuatkan Stacy matang dalam menentukan arah tujunya dalam bidang muzik. Rezeki sememangnya sudah menjadi milik Stacy untuk membawa pulang hadiah yang berjumlah lebih daripada RM700,000, termasuk sebuah rumah banglo empat bilik di A’Famosa Villa D’Lagos, Melaka, yang bernilai RM550,000, sebuah kereta Peugeot 307 XS yang berharga RM139,535, wang tunai sebanyak RM25,000 serta pakej percutian ke Itali.

Namun, persoalannya kini, adakah nasib Stacy akan menjadi seperti mereka yang dilahirkan menerusi AF sebelum ini. Cuma apa yang diharapkan, agar Stacy akan terus mengecapi sinaran gemilang tanpa sebarang awan hitam yang menghalang untuk terus bersinar buat selamanya
Petikan : Utusan Malaysia / 26.05.08 /SHAZRYN MOHD. FAIZAL

Saturday, May 24, 2008

Pemenang ABPBH2007 Terima Habuan


Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 (ABPBH 2007) kelmarin dengan bertemakan Merah dan Putih berlangsung dengan meriah di perkarangan West Garden Lawn, Hotel Palace of Golden Horses, Seri Kembangan. Ia adalah majlis susulan selepas berlangsungnya ABPBH kali ke-21 yang berlangsung pada 30 Mac lalu di Arena of Stars, Genting Highlands.

Pada penyampian hadiah itu, ia menyaksikan Bintang Paling Popular, Asmawi Ani atau Mawi, menerima sebuah kereta Peugeot 407 (2.0) bernilai RM185,000 tajaan Nasim Sdn Bhd, barang kemas Habib bernilai RM150,000 tajaan Habib Jewels Sdn Bhd serta pakej penginapan mewah di Hotel Palace of Golden Horses serta wang tunai RM3,000. Selain itu, untuk Peraduan Undi & Menang, Nasarudin Zakaria, 39, dari bukit Sekilau, Seremban, membawa pulang sebuah Peugeot 307 (1.6) bernilai RM140,100.

Manakala untuk tempat kedua Amalina Othman, 30, dari Shah Alam menerima set barang kemas Habib Jewels bernilai RM50,000. Tiga pemenang ketiga, Mohd Shahizan Md Yusof dari Kuala Lumpur, Afiz Mohd Noor (Kuala Terengganu) dan Abu Sufian Muin (Subang Jaya) masing-masing memperoleh barangan kemas Habib Jewels bernilai RM20,000.


Pemenang setiap kategori turut menerima wang tunai RM3,000 kecuali dua kategori berkumpulan iaitu Penyanyi Berkumpulan/ Duo Popular dan Penyanyi Nasyid Popular yang menerima wang tunai RM5,000.


Hadiah utama kepada pembaca dan Bintang Paling Popular disampaikan oleh Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Hishamuddin Aun. Turut hadir Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Manja Ismail; Pengarang Hiburan Berita Harian, Puan Hanizam Abdullah serta Pengarang Bintang Popular, Akmal Abdullah.Artis dan personaliti yang hadir menerima hadiah kemenangan masing-masing ialah Rosyam Nor, Dato' Siti Nurhaliza, Rabbani, Rusdi Ramli, Fasha Sandha, Dynas dan Dafi. Hadir sama penerima Anugerah Sepanjang Hayat, M Nasir dan Artis Wanita Berpakaian Paling Glamor, Nora Danish.


Petikan / Murai.com /22-May-2008 Oleh: Thani Hasbullah

Pasti bukan mi segera


Akademi Fantasia mampu merubah kehidupan bekas juara AKADEMI Fantasia sudah menyaksikan ledakan dan pacuan kerjaya lima juara dimulakan dengan Vince dari AF musim pertama, Zahid (AF2), Mawi (AF3), Faizal (AF4) dan Mila sebagai juara pertama AF musim kelima yang buat pertama kali diungguli seorang Hawa. Masing-masing telah mencipta kejayaan 'seketika', hanya bermusim dan ada yang masih meninggalkan ingatan, fenomena dan histeria di kalangan peminat program realiti popular yang satu ini.

Hari ini segala-gala bakal terjawab sama ada sejarah tahun lalu yang menobatkan juara dari kalangan wanita bakal berulang kembali atau mungkin kuasa wanita bakal melihatkan dominasi Stacy dan Nadia di AF6 terbenam dek 'kejutan' tiga jejaka lain Riz, Nubhan dan Toi. Tunggu dan lihat sajalah malam kemuncak itu nanti. Apa jua tanggapan sinikal atau skeptikal terhadap program realiti ini, ironinya ada sinar kebanggaan yang mekar diperoleh oleh setiap deretan juara bintang jelmaan itu. Hakikatnya, AF telah menjadi landasan terbaik bagi bintang baru untuk memacu dan memasarkan diri ke pasaran terbuka. Biarpun sebelum ini ada pihak yang mengecop program ini sebagai ruang melahirkan bintang yang dikenali sebagai mi segera, setidak-tidaknya ia menambah rencah suasana industri muzik tanah air yang dikatakan suram.

Sabtu menyingkap ramalan bekas juara mengenai siapakah calon juara AF6 dan bagaimanakah program realiti ini telah merubah hidup mereka. Landasan terbaik iktiraf bakat JUARA AF musim pertama, Vince kini sedang melanjutkan pengajian bahasa Mandarinnya di Taiwan sejak Mac lalu hingga Ogos ini. Melalui bantuan kakaknya, Vanessa, Vince berjaya dijejaki. Namun secara jujur, Vince mengakui tidak mengikuti perkembangan AF6 pada tahun ini kerana komitmen belajar harus diutamakan. Vince memberitahu, dia sangat bertuah menjadi juara dan peneraju program realiti ulung itu. "Terus-terang saya harus bersyukur menjadi nadi pertama kegemilangan program realiti ini. AF menjadi landasan terbaik untuk mengiktiraf bakat sejati dan personaliti diri. Tapi bukan mudah untuk meneruskan kesinambungan kejayaan itu. Usaha yang gigih, originaliti dan penjenamaan semula diri sendiri untuk bersaing dengan industri sebenar perlu disertakan.

"Maafkan saya kerana tidak dapat mengagak mahupun meramalkan siapa yang bakal bergelar juara AF6 kerana saya tidak menonton program itu sedari awal. Tapi saya yakin, juara yang bakal dinobatkan nanti pasti pilihan mutlak idaman ramai," kata Vince melalui kiriman khidmat pesanan ringkas telefon bimbit milik Vanessa.

* Siapa juara? - Maaf tiada pilihan sebab tidak mengikuti AF.


Program bina kelompok peminat ZAHID, juara AF2 dan jejaka yang sedang intim bersama Nita Malaysian Idol 2 juga mengakui AF telah merubah hidupnya. Tambahnya lagi, menerusi AF telah melahirkan kelompok peminat yang akan setia menyokong apa jua rencana aktiviti seni yang dilakukan. Sebagaimana ramai yang meramalkan kemenangan AF6 nanti bakal berpihak kepada peserta wanita, tanpa ragu juga Zahid memilih Nadia sebagai pilihan peribadi yang layak dinobatkan sebagai juara. "Bermula dengan AFlah peminat dan pelbagai pihak mula sedar kehadiran kita sebagai artis baru. Ramai yang sudah memerhati dan menilai bakat kita dan secara tak langsung kita sudah mengumpul kelompok peminat yang tersendiri. Pelbagai perubahan yang berlaku dalam hidup saya rentetan menjuarai AF2, antaranya dari segi gaya hidup.


"Kalau boleh saya nak Nadia jadi juara AF6 dan sekali gus membuktikan kalendar penganjuran AF dengan sejarah berulang kembali menobatkan juara daripada kalangan Hawa. Saya berpendapat latar belakang Nadia sebelum ini yang memberi keyakinan kepada dirinya dan penyokong sudah mampu menterjemahkan segala-galanya dalam bentuk sokongan melalui undian SMS. "Dia ada bakat dan boleh menonjolkan bakatnya demi memeriahkan industri muzik kita. Negara kita memang ketandusan penyanyi wanita sepertinya yang boleh menyanyikan pelbagai genre muzik. Stacy pun tidak kurang hebatnya. Pilihan saya sama ada Nadia atau Stacy mengungguli takhta juara AF6," kata Zahid yang baru muncul dengan album keduanya, Baru. Selepas single lagu Baru, lagu Hadir Dirimu pula dijadikan sebagai single kedua.

* Siapa juara? - Nadia


AF ajar erti sebuah kehidupan MEMPUNYAI pendapat yang sama seperti Zahid ialah Faizal juara AF4. Sebagaimana Zahid, Faizal juga meramalkan potensi dan aura Nadia untuk bergelar juara. Bagi Faizal, AF telah banyak mengajarnya erti sebuah kehidupan dan awalnya kejutan budaya dialaminya. Namun, lama-kelamaan, Faizal mula sedar dan berhati-hati dengan segala tingkah dan tutur bicaranya. "Saya merasakan tahap keyakinan yang dimiliki Nadia antara senjata utama yang mungkin boleh melayakkannya unggul dianugerahkan gelaran juara AF6. Stacy pun perlu diberi perhatian kerana dia dan Nadia mempunyai bakat yang besar. Naluri saya juga mengatakan juara AF6 milik wanita. Tapi bukan bermaksud pelajar lelaki (Riz, Nubhan dan Toi) tidak bagus, cuma kelebihan lebih berpihak kepada pelajar perempuan. Bagaimanapun, rezeki masing-masing adalah ketentuan-Nya. "Saya tidak boleh menidakkan yang AF telah banyak merubah perjalanan hidup saya daripada seorang lelaki kampung menjadi golongan selebriti yang dikenali. Saya berubah dari kurang matang menjadi kian matang daripada pelbagai aspek, pergaulan, pendapatan (wang ringgit) dan taraf kehidupan. "Di awal permulaan kerjaya, saya akui mengalami kejutan budaya dan dalam keadaan tanpa sedar saya sudah menjejaki ke dunia yang penuh cabaran dan pancaroba. Namun, sekarang saya sudah mula sedar dan pandai berdepan dengan pelbagai kemungkinan situasi. Yang pasti semuanya mengajar saya supaya tidak mudah mempercayai orang lain," kata Faizal yang kini lebih selesa bergerak sendiri merencanakan kerjayanya. Faizal juga sedang sibuk membuat persiapan Ikon 2008.

* Siapa juara? - Nadia


Tempa nama dalam masa singkat KEKASIH hati Ikin, Mawi ini pula menganggap AF sebagai tapak mengembangkan bakat untuk mencipta nama pada jangka waktu yang singkat. Laungan tagline 'World' yang acap kali disebutnya bagaikan satu doa yang dimakbul sehingga jejaka yang tampil imej berkumis nipis itu kerap ke luar negara menjelajahi peta dunia. Mawi juga berpendapat Stacy mempunyai kaliber dan persona yang mampu mengangkatnya menjadi juara AF6. Semua sudah maklum, hampir menjelang setiap konsert mingguan AF6, gadis berusia 18 tahun dari Kota Kinabalu itu mempamerkan persembahan yang hebat. "Memang saya akui alam kehidupan saya berubah serta-merta setelah menjuarai AF3. Bayangkan daripada insan yang tak dikenali, saya dikenali ramai. Sudah terbukti bahawa AF ialah satu landasan atau jalan untuk menempa nama diiringi bakat dalam ruang lingkup yang singkat.


"Laungan 'World' bagaikan satu doa yang diaminkan peminat sehingga saya mampu menjejaki negara luar yang tak pernah saya mimpi langsung sebelum ini. Peluang mengendalikan program seperti Langkah Mawi dan terbaru Mawi Di Bumi Anbia memberi saya peluang keemasan untuk merasai suasana baru berada di tempat dan negara orang. "Berdasarkan persembahan yang sentiasa konsisten dan pilihan majoriti, saya pilih Stacy. Saya yakin ramai juga pihak yang mengagumi kemampuan Stacy melantunkan lagu dan ligat di pentas dengan tarian. Stacy ada pakej dan saya akui dia terpilih masuk AF6 kerana bakatnya,'' kata Mawi yang nampak semakin berisi kebelakangan ini. Bahagialah katakan.

* Siapa juara? - Stacy


Batu loncatan teruskan bakat BAGI Mila, AF dianggap sebagai batu loncatan buat dirinya untuk meneruskan kesinambungan bakatnya, ia adalah detik permulaan bagi segala-gala. Mila juga sependapat dengan Mawi dengan menjangkakan Stacy bakal merampas gelaran juara AF6. Selain Stacy, Mila juga melihat potensi Riz untuk membuat 'kejutan'. Sebagai gadis pertama dinobatkan sebagai juara AF5, Mila juga mengharapkan peserta wanita bakal cemerlang. "AF antara ruang terbaik bagi Mila untuk meneruskan apa yang Mila minati selama ini. Selepas berada di AF, banyak peluang dan rezeki datang singgah ke dalam hidup Mila. Segala impian Mila diserlahkan dengan AF. "Dengan AF dan kini bergelar artis, Mila mampu merubah taraf hidup keluarga Mila ke satu tahap yang lebih baik. Mila dapat kembangkan bakat dan menelusuri apa jua perkara yang tak pernah Mila jangkakan selama ini. "Mila juga mengharapkan AF6 tahun ini akan dimonopoli oleh wanita. Jujur kata Mila mengharapkan sejarah tahun lalu bakal berulang, insya-Allah. Peserta kegemaran Mila ialah Stacy dan Riz. Stacy diyakini dengan bakat dan persembahannya yang sentiasa konsisten. Riz pula mempunyai keupayaan vokal yang baik. Peratusan mereka berdua juga sentiasa di kelompok teratas," ungkap Mila yang mengakui tidak dapat mengikuti AF6 sepenuhnya kerana faktor kesibukan. Sewaktu dihubungi Mila sedang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setelah selamat tiba dari Bulgaria menghadiri Festival Muzik Pop Antarabangsa ke-17 dari 16 hingga 19 Mei lalu. Tahniah diucapkan kepada gadis genit itu kerana berjaya memikat hati juri menerusi lagu Ilham Di Matamu (ciptaan Ajai, lirik Allahyarham Loloq) dipilih menjuarai kategori Lagu Terbaik. Selain itu, Mila juga diiktiraf dalam anugerah khas juri, Penyanyi Muda Berbakat.
* Siapa juara? - Stacy
Petikan : Berita Harian / Zaidi Mohamad / 24.05.08

Friday, May 23, 2008



TUBUHNYA kecil dengan ketinggian tidak sampai lima kaki, tetapi bakat dimiliki Nursyarmilla Jirin (Mila), 20, cukup besar sehingga ia diiktiraf penggiat industri muzik luar negara.

Buktinya, Mila membuat seluruh rakyat Malaysia bangga apabila meraih kejayaan berganda di Festival Muzik Pop Antarabangsa Ke-17 di Varna, Bulgaria pada 16 hingga 18 Mei lalu.Mila menjadi peserta tunggal Asia menjuarai anugerah kategori Lagu Terbaik menerusi Ilham Di Mata Mu ciptaan Ajai dan lirik ditulis Allahyarham Rosli Khamis (Loloq). Dia turut dipilih juri pertandingan memenangi anugerah khas Penyanyi Muda Berbakat.Ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kata juara Akademi Fantasia musim kelima (AF5) ini, dia bersyukur dengan kemenangan diraih dan mengharapkan ia menjadi titik permulaan untuk melangkah lebih jauh dalam industri muzik.“Banyak pendedahan saya terima. Benar kata orang, sekiranya kita jauh berjalan pasti luas pandangan. “Kemenangan ini saya anggap bonus tetapi pengalaman diperoleh itu yang lebih saya hargai,” katanya sambil tersenyum bangga apabila melihat ahli keluarga bersama kelab peminat, Voices Of Mila (VOM) turut menyambut kepulangannya di KLIA, kelmarin.Sambil menunjukkan piala dimenangi, kata Mila, sebaik melihat bakat ditonjolkan setiap peserta ketika sesi raptai penuh pada 17 Mei di Teater Stoyan Bachavarov, dia tidak meletakkan harapan tinggi untuk meraih sebarang kejayaan.“Boleh dikatakan hampir semua peserta mempunyai pendidikan tinggi dalam bidang muzik. Ada antara mereka mempelajari muzik klasikal dan vokal sejak usia lima tahun dan selalu menyertai festival muzik di seluruh Eropah.“Berbanding dengan saya yang kali pertama bertanding di negara luar sudah tentu terasa 'kecut perut' selepas mendengar suara yang dikeluarkan peserta lain. Vokal mereka seperti mengadakan persembahan opera.“Tidak dinafikan perasaan rendah diri yang masih menebal membuatkan saya rasa tidak keruan. Mujur ia tidak mengganggu tumpuan sewaktu menyanyi. Pengalaman mengadakan persembahan ketika konsert akhir AF5 sangat membantu,” katanya.


Menarik, kata Mila, apabila kebanyakan penonton yang menyaksikan pertandingan berlangsung amat menghargai muzik walaupun bahasa ditampilkan tidak difahami.


“Pada malam pertama saya memilih mendendangkan lagu rancak Aku Lebih Tahu. Ketika menyanyi kelihatan penonton turut bertepuk tangan. Ia secara tidak langsung memberikan semangat kepada saya untuk memberikan persembahan terbaik.“Hari kedua pertandingan, saya menyanyikan lagu balada, Ilham Di Mata Mu. Sepanjang saya menyanyikan lagu ini, semua penonton diam. Mereka seakan-akan memahami apa yang saya cuba sampaikan menerusi liriknya yang cukup puitis,” katanya.Mila turut menegaskan kemenangan diraih di Varna, bukan kejayaan miliknya seorang tetapi seluruh pihak yang terbabit secara langsung dan tidak langsung.“Pertamanya sudah tentu kejayaan ini saya mahu kongsi bersama pencipta lagu Ilham Di Mata Mu, Ajai dan Allahyarham Loloq kerana menghasilkan lagu serta lirik bermutu. “Memang persembahan dan vokal saya memainkan peranan tetapi ia tidak akan lengkap jika lagu yang dibawakan tidak menyentuh perasaan dengan lirik amat bermakna.“Selain itu saya mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak pengurusan, Maestro Talent and Management dan Astro sendiri yang berusaha membiayai pemergian saya,” katanya.Kata Mila, sepanjang pembabitannya dalam Festival Muzik Pop Antarabangsa Ke-17,dia turut dipelawa menyertai beberapa festival di Itali dan Russia oleh penganjur di sana.“Bagaimanapun, sukar untuk saya menerima pelawaan itu kerana kos untuk menyertai festival itu agak tinggi,” katanya.Menyentuh mengenai peluang untuk melebarkan sayap di negara luar, jelas Mila peserta dari Romania, Simona Nae ada meluahkan hasrat untuk menjalinkan kerjasama dengannya menghasilkan lagu duet.“Panjang juga kami bercerita mengenai perkara itu sepanjang tiga hari berada di sana. Dia nampak bersungguh-sungguh dan saya tidak keberatan untuk memberikan kerjasama. “Dia turut menunjukkan jalan bagaimana duet boleh dilakukan walaupun kami berada di benua berbeza. “Bukan itu saja dia turut bersedia untuk merakamkan lagu duet dalam bahasa Melayu dan datang ke sini bagi mempromosikan lagu dihasilkan. Bagaimanapun ia sekadar 'cakap mulut', kita lihat saja nanti perkembangannya,” katanya.


Petikan : My Metro / 23.05.08 / Rudy Imran Shamsudin

David juara baru American Idol


KETIKA ramai meramalkan bakat remaja, David Archueleta malah juri juga menjangkakan dia bakal menggalas gelaran juara American Idol, penonton Amerika Syarikat pula membuat keputusan sebaliknya. David Cook akhirnya menamatkan perjuangan di American Idol sebagai juara, melakar sejarah sebagai penyanyi rock pertama meraih gelaran itu. Menerima 56 peratus daripada 96 juta undian keseluruhan diterima sepanjang kemuncak American Idol berlangsung, Cook, 25, mengenepikan Archueleta, 17 dengan kelebihan 12 juta undian.

Suasana penuh emosi mengiringi detik kemenangan pemuda kelahiran Blue Springs, Missouri itu yang terus melutut di pentas sebaik diumumkan sebagai pemenang. “Ini sangat mengejutkan,” katanya yang tidak lama selepas itu mengambil mikrofon untuk menyanyikan Time of My Life yang memenangi acara tahunan, Pertandingan Menulis Lagu Idol. Selasa lalu ketika persaingan diadakan di Nokia Theatre, Los Angeles, persembahan Archueleta menerima pujian juri yang sepakat melihat potensi kepada remaja itu untuk merangkul juara.

Simon Cowell dalam kritikannya melihat Cook sebagai penyanyi yang tiada karisma. Bagaimanapun, Cook yang tidak terjejas dengan kritikan itu bangun menyahut cabaran. Membawakan lagu Billie Jean, persembahan Cook menerima tepukan gemuruh penonton sekali gus memberi kelebihan kepadanya untuk muncul sebagai juara. Kemuncak American Idol juga menyaksikan Cowell memohon maaf apabila memilih Archueleta sebagai pemenang pada malam persembahan sebelumnya. Cowell mengakui, selepas melihat semula rakaman persembahan dia mendapati nyanyian Cook jauh lebih baik daripada apa yang disaksikan ketika siaran langsung.

Pengakuan Cowell itu mengejutkan Cook, lalu berkata kepada adiknya yang menemaninya di pentas, “Ini semula salah anda”. Menyorot perjalanan Cook di American Idol, pemuda yang sebelum ini bekerja sebagai pelayan bar itu tidak pernah bercita-cita untuk menjadi terkenal. Dia ke Omaha untuk menemani adiknya yang berminat menyertai American Idol namun ternyata tuah menyebelahinya apabila dia terpilih hingga melangkah ke final. Ketika Archueleta lebih selesa dengan irama pop yang sinonim dengan pertandingan itu, Cook pula memberikan cabaran baru apabila memilih genre rock dalam kebanyakan lagu nyanyiannya sepanjang pertandingan itu. Percubaan yang cukup berani kerana sejarah American Idol membuktikan kebanyakan peserta yang memilih genre itu akan tersingkir awal. Kemuncak pertandingan juga menyaksikan finalis lain membuat persembahan dengan menyanyikan lagu daripada George Michael, Donna Summer dan Bryan Adams.
petikan : Berita Harian / 23.05.08 /Zul Husni Abdul Hamid

Menggilap permata







Ramli MS anggap setiap lima finalis Akademi Fantasia musim keenam ada keistimewaanWALAUPUN mutu persembahan pelajar Akademi Fantasia musim keenam (AF6) dikritik hebat, malah hingga menjelang konsert kemuncak esok masih terdengar rungutan tidak berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan, Pengetua AF6, Ramli MS tetap melihat lima finalis program realiti popular itu sebagai permata yang perlu digilap. Baginya, kelima-lima pelajar iaitu Stacy, Nadia, Riz, Toi dan Nubhan mempunyai keistimewaan tertentu untuk melayakkan mereka bertanding di final.
Akur tidak mempunyai kuasa untuk memaksa kudrat setiap pelajarnya kerana mereka juga manusia yang punya kelebihan dan kekurangan, Ramli berharap kesemua finalis bekerja keras merebut peluang yang ada di depan mata pada konsert kemuncak, Sabtu ini. "Setiap finalis perlu bekerja keras dan merebut peluang dengan memberikan persembahan di luar jangkauan intelek mereka. "Mereka kena sedar Sabtu ini adalah detik penentuan yang akan mengubah kehidupan selepas ini, justeru mereka harus memanfaatkan peluang itu dengan memberikan persembahan yang akan diingati penonton," katanya.



Sebagai anak seni berpengalaman, Ramli berkata dia tidak pernah puas dengan apa yang dilaluinya malah melihat masih banyak perkara baru yang perlu diterokai dalam melengkapkan perjalanan hidupnya. Justeru kata Ramli, dia tidak pernah kecewa atau berputus asa dengan prestasi yang ditunjukkan pelajarnya kerana setiap insan dikurniakan Tuhan tahap pemikiran serta penerimaan yang berbeza. "Semua itu normal. Ada yang cepat menerima dan ada yang agak lambat menyerap ilmu yang diberikan. Buruk atau pandai saya tidak akan kecewa serta berputus asa mendidik mereka. "Situasi mereka sama seperti memasuki alam persekolahan. Tidak semua terus pandai apabila masuk sekolah.



"Jujurnya ada impian saya yang tercapai sepanjang mengetuai AF6, namun saya tidak mahu melihat pencapaian itu hanya dari satu sudut semata-mata. "Permulaan sebenar karier mereka bukan bermula di akademi, sebaliknya selepas mereka keluar dan menamatkan pengajian di AF6. Di luar menyediakan tempat yang berbeza untuk mereka terus mempraktikkan segala ilmu yang dikutip sepanjang bergelar pelajar AF6," katanya. Ramli berkata, situasi AF6 agak berbeza kerana ia sebuah program televisyen yang mencuri tumpuan khalayak.


Mungkin dari segi usia yang menjangkau enam musim, penonton mengharapkan pengisian serta kehadiran pelajar yang bagus dan semakin matang. "Tetapi, penonton harus ingat untuk menggilap sebutir bintang tidak semudah memetik jari. AF bukan sebuah program berkaitan individu kerana individu itu akan matang mengikut peralihan masa dan usia. "Sebaliknya AF bertindak sebagai akademi yang cuba mencipta sesuatu untuk diberikan kepada penonton saban tahun. Ia berkait rapat dengan kreativiti. "Jika terus memberikan idea yang sama, ia menerbitkan kebosanan kerana penonton sudah boleh menjangka apa yang dipersembahkan. "Sama seperti seorang komposer mencipta lagu atau menghasilkan muzik, jika terus memberikan benda yang sama pendengar akan muak serta jemu," katanya. Barangkali apa yang dipersembahkan kepada penonton ketika ini adalah persembahan separa matang namun Ramli percaya, pengalaman akan merubah segala-galanya. Katanya, sekali pun AF6 sedang melalui proses kematangan dari segi penerbitan namun mereka tidak mampu untuk mengubah pengisian diri seseorang pelajar. "Pengisian program dan pengisian diri pelajar adalah dua isu berbeza. AF6 bukan bertujuan melahirkan semula Zahid, Bob atau Adam yang sudah jauh matang kerana masa membantu mereka untuk berubah. "Kerana itu, saya tidak melihat permulaan karier pelajar di bidang seni ketika mereka di akademi. Semuanya akan bermula selepas konsert akhir. "Mereka mampu maju jika terus mempraktikkan segala ilmu yang dicurahkan sepanjang berada di AF6 apabila berada di luar nanti," kata Ramli.



Ditanya mengenai kekuatan lima finalis, Ramli berkata, dari segi persembahan keseluruhan apa yang ditunjukkan pelajar musim ini tidak banyak beza berbanding musim terdahulu. Bagaimanapun katanya, dia melihat kekuatan kepada Stacy yang memanfaatkan segala ilmu yang dicurahkan ketika di kelas dan dipamerkan apabila membuat persembahan di pentas. "Apa yang diajar walaupun benda itu kecil diambil serius oleh Stacy untuk dipraktikkan. Pelajar lain seperti biasa dan bagi saya, itu perkara normal. "Sama seperti melihat perjalanan carta, mereka yang berada pada kedudukan atas tentunya lebih baik berbanding yang berada di bawah," katanya. Ditanya mengenai kelebihan serta kekurangan setiap finalis, Ramli menolak untuk memberi ulasan sebaliknya menyerahkan kepada penonton untuk menilai berdasarkan apa yang mereka saksikan di kaca televisyen.



petikan :Oleh Zul Husni Abdul Hamid / Berita Harian / 23.05.08

Wednesday, May 21, 2008

Mila ungguli pertandingan



BUKAN mudah sebenarnya penyanyi tempatan meraih perhatian luar negara di peringkat antarabangsa apatah lagi diberi kesempatan menyertai pertandingan nyanyian yang membabitkan penyanyi terbaik dari seluruh negara.
Pertandingan terbesar seperti Festival Muzik Asia Shanghai, Pertandingan Karaoke Dunia dan World Championship Of Performing Arts pernah membuktikan penyanyi tempatan mempunyai bakat sehebat penyanyi antarabangsa lain. Itu adalah kenyataan yang tidak boleh disangkal walaupun penyanyi muda yang dijadikan pelapis masa depan ini seringkali dipersoal kualiti vokal yang dimiliki oleh mereka.Mencatat satu lagi kenangan manis buat negara, pada hujung minggu lalu penyanyi genit, Norsyarmila Jirin atau Mila mengukir nama negara apabila berpeluang menyertai Festival Muzik Pop Antarabangsa Discovery yang diadakan di Varna, Bulgaria.Mempertandingkan dua lagu ciptaan Ajai berjudul Aku Lebih Tahu untuk kategori vokal dan Ilham Di Matamu dalam kategori Lagu Terbaik, juara Akademi Fantasia musim kelima ini berjaya mencatatkan kemenangan sulung negara dalam pertandingan itu apabila membawa pulang dua anugerah. Pastinya, kejayaan Mila ini bukan hanya satu pencapaian secara peribadi, tetapi mencatat kebanggan buat negara. Memenangi anugerah Lagu Terbaik menerusi Ilham Di Matamu, tambah manis Mila turut meraih Anugerah Khas Juri dalam pertandingan yang berlangsung selama dua hari sejak 17 Mei lalu. Kemenangan Mila untuk dua anugerah itu sekali gus menewaskan lebih 40 negara seperti Bulgaria, Sepanyol, Poland, Romania, Italia, Lithuania, Moldova, Uzbekistan, Russia, Cyprus dan Malta yang menghantar setiap wakil peserta. Festival berkenaan mula dianjurkan sejak 1992 dan kini memasuki edisi ke-17 tahun ini. Ketika dihubungi, Mila berkata, dia sendiri tidak menyangka akan menang kerana sebagai orang baru dalam arena hiburan, peserta yang bertanding adalah mereka yang sudah berpengalaman dan ilmu seninya sudah penuh di dada. “Sebelum berangkat ke Bulgaria saya nekad untuk melakukan yang terbaik namun tidak berani untuk mengharapkan sebarang kemenangan walaupun dalam hati teringin sekali untuk mengharumkan nama negara.
“Oleh itu apabila nama saya diumumkan menang untuk dua kategori itu, saya terkejut bukan kepalang. Semoga kemenangan itu akan menyuntik semangat saya untuk terus berjaya dalam bidang nyanyian,” katanya.
petikan : MyMetro / 21/05.08

Ke mana mereka selepas program realiti berakhir?

PROGRAM realiti Akademi Fantasia ke-6 (AF6) terbitan Astro akan melabuhkan tirainya, Sabtu ini dengan lima daripada 12 peserta akan bersaing sesama sendiri untuk merebut gelaran siapa paling popular. Istilah siapa paling popular mungkin lebih sesuai kerana AF tidaklah mencari yang terbaik. Bukanlah susah untuk memahami format program ini kerana yang menang adalah mereka yang jadi pilihan penonton. Hak penonton memilih siapa saja yang mereka suka kerana setiap undi adalah wang dan wang itu dikeluarkan oleh penonton. Tapi, siapa pun yang menang dalam program ini, belum tentu dianggap terbaik. Penonton yang memilihnya bukanlah kalangan profesional iaitu mahir dengan selok belok muzik dan vokal. Penilaian penonton adalah secara umum iaitu berdasarkan suara yang dianggap sedap, persembahan menarik hati, personaliti peserta atau sebab-sebab lain dengan sesetengahnya lebih bersifat peribadi. Tambahan pula sesiapa pun boleh mengundi, tidak kira umur, pangkat atau status, darjat, pekerjaan dan sebagainya. Penganggur atau budak berumur lapan tahun juga boleh undi.
Jadi, inilah realitinya sebuah program yang kemenangan pesertanya disandarkan kepada maklum balas orang ramai. Tidak hairanlah, Mawi lebih banyak diiktiraf sebagai penyanyi popular bukan penyanyi terbaik. Program realiti juga menjadi tempat untuk orang ramai menghentam peserta, baik sudah terkeluar atau masih berada dalam program itu. Kata-kata yang dilemparkan oleh orang ramai ini sangat kasar dan bersifat penghinaan. Ini diakui oleh Ketua Editor portal gerbang hiburan, murai.com.my, Roslen Fadzil apabila pihaknya perlu membuat tapisan ketat untuk memastikan tidak ada kata-kata kesat yang dihantar oleh orang ramai dikeluarkan dalam laman web ini.
Kadang-kadang yang menjadi buruk dan negatif bukanlah pada program realiti itu sendiri seperti tetapi kerana sikap orang ramai. Sensitiviti atau gelagat orang ramai terhadap program ini, ada kalanya lebih keterlaluan daripada peserta AF. Astro menerusi saluran @15 juga perlu membuat tapisan ketat supaya tidak membenarkan pesanan ringkas atau SMS yang berbaur provokatif, kata-kata kesat atau sebarang perkataan tidak elok disiarkan. Walaupun mendapat kritikan, program realiti ini tetap mendapat sambutan baik. Dari sudut positifnya, program ini menjadi tempat kepada anak muda atau sesiapa saja di Malaysia mengetengahkan bakat nyanyian masing-masing. Bayangkan, kalau tidak ada program seperti ini, di manakah lagi anak muda kita hendak menguji bakat masing-masing? Selain AF di Astro, TV3 pula hebat menganjurkan program Gangstaz musim kedua. 8TV pula baru selesai dengan program One In A Million (OIAM). Di RTM pula ketika ini sedang berjalan program Rentak Juara - Rythm of Champion (RJROC).
Tetapi disebabkan kelemahan promosi, pemasaran dan publisiti, RJROC jarang diperkatakan berbanding AF, Gangstarz dan OIAM. RJROC yang kini dalam peringkat suku akhir diadakan di Auditorium Perdana, Angkasapuri, destinasi yang dianggap membosankan oleh media hiburan untuk mengujunginya. Tambahan pula suasana RJROC tidak memberikan mood atau suasana kemeriahan seperti yang boleh dirasai dalam program realiti lain. Apapun, program realiti ini diakui memberi populariti segera kepada semua pesertanya. Dalam perbualan dengan Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Izham Omar baru-baru ini, beliau menyifatkan peserta program realiti ini sebenarnya sangat bertuah kerana hampir setiap minggu wajah mereka muncul di televisyen. Peluang itu jauh lebih baik daripada penyanyi lain yang sangat sukar mencari tempat di televisyen kecuali menerusi program hiburan tertentu saja. Sebagai penganjur, setiap televisyen juga harus memberi penerangan yang jelas bahawa program seperti ini tidak menjanjikan pesertanya muncul sebagai penyanyi yang mendapat peluang merakamkan suara atau mempunyai album sendiri. Dalam erti kata lain, dengan menyertai program ini tidak semestinya impian untuk menjadi penyanyi belum tentu boleh jadi realiti. Dari semasa ke semasa, modul atau format program ini perlulah ada perubahan mengikut keperluan semasa. Misalnya, dalam AF untuk pencarian bakat pada musim akan datang mungkin boleh ditumpukan kepada mereka yang boleh bermain alat muzik secara asas. Adalah lebih bagus kalau mereka mempunyai kebolehan mencipta lagu atau lirik. Dan, setiap peserta pula mempunyai pakej penampilan yang baik. Ini untuk memastikan perjalanan seni mereka tidak terhenti selepas berakhirnya AF. Sekurang-kurangnya, sepanjang berada dalam ‘akademi’ itu mereka bukan saja diajar mengenai vokal tetapi asas bermain muzik dan paling penting menghasilkan lagu sendiri. Dalam program realiti Gangstarz pula, kita juga terfikir apakah menari rancak itu menjadi satu kemestian? Tidak dinafikan ‘showmanship’ penting. Namun keharmonian vokal secara berkumpulan boleh disepadukan dengan corak persembahan sederhana. Apabila kita tengok persembahan daripada kumpulan vokal seperti Kopratasa, A To Z, Innuendo, Indigo atau V.E mereka tidak perlu terkinja-kinja ketika menyampaikan lagu masing-masing kecuali untuk lagu berentak rancak. Walaupun berdiri tegak seperti tiang lampu, tetapi ia tetap menarik apabila anggota kumpulan dalam program ini boleh menampilkan vokal yang serasi antara satu sama lain. Inilah peranan yang harus dimainkan oleh pembimbing atau cikgu dalam program Gangstarz. Mungkin kita boleh boleh bagaimana kreativiti mereka apabila pada minggu tertentu, setiap peserta Gangstarz ini dikehendaki membawakan lagu berentak ballad atau sentimental saja. Kesimpulannya, adalah perlu juga setiap stesen TV boleh melakukan sesuatu sebagai bekalan supaya peserta yang menyertai program realiti boleh berdikari atau membawa diri selepas ia berakhir. -
petikan : zainuri@bharian.com.my

SMS AF6 merosot???

SABTU 24 Mei ini rancangan realiti tv, Akademi Fantasia musim keenam (AF6) bakal melabuhkan tirainya di Stadium Putra, Bukit Jalil dengan lima peserta bersaing bagi merebut gelaran juara.
Siapakah antara lima peserta itu, Stracie Angie Anam atau Stacy, 18; Khairul Nizam Baharom (Toi), 31; Ahmad Nubhan Ahamad (Nubhan), 22; Mohammed Idris Mohd Zaizizi (Riz), 22, dan Nadia Haswani Hasnan (Nadia), 18, bakal mengikut jejak langkah Vince, Zahid, Mawi, Faizal dan Mila?Ada sebahagian pengikut setia rancangan ini berasakan soal siapa bakal bergelar juara tidak lagi penting disebabkan bakat ditampilkan peserta AF6 kurang menyerlah.Konsert minggu kesembilan berlangsung Sabtu lalu di Dewan Sivik, Majlis Perbandaran Petaling Jaya menjadi bukti apabila ada peserta layak ke peringkat akhir masih berhadapan dengan masalah paling asas iaitu gagal melontar dan mengawal nada suara dengan baik.Perkembangan ini pastinya membimbangkan. Apabila AF6 kurang hangat sudah tentu penonton hilang minat.Begitupun Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Zainir Aminullah menafikan rancangan realiti tv terbitan Astro itu sudah hilang taringnya. Malah, sewaktu ditemu bual wartawan hiburan Harian Metro, RUDY IMRAN SHAMSUDIN, Zainir menegaskan jumlah penonton Astro terutama rangkaian Ria semakin bertambah.Pada kesempatan ini Zainir turut menjelaskan mengenai kontroversi ditimbulkan pengikut setia rancangan ini yang tidak berpuas hati apabila peserta dari Kuching, Sarawak, Stanley Maringai David Impi atau Stanly, 25 tersingkir minggu lalu.Menerusi laman web dan blog pengikut setia AF6, tersebar cerita mengatakan Nadia seharusnya disingkirkan pada minggu lalu kerana mendapat undi paling rendah seperti pada konsert kelapan. Namun mengejutkan apabila pihak penerbitan mengumumkan Stanley tersingkir.


S: Jelaskan mengenai gosip yang sedang tersebar di beberapa laman web membabitkan isu undian rendah diterima Nadia dan penyingkiran Stanley?
J: Perkara itu tidak benar kerana keputusan penyingkiran pelajar bergantung penuh pada undian sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar penonton atau penyokong setia. Dakwaan dan pertuduhan seperti itu kami anggap perkara biasa. Malah, setiap tahun ada saja teori konspirasi berkaitan rancangan ini.

S: Bagaimana dengan sambutan penonton terhadap AF6, adakah jumlahnya menurun atau meningkat?
J: Berbanding dengan musim lalu, penonton AF6 semakin bertambah. Perkembangan ini dapat kami lihat daripada rating dan pertambahan jumlah pelanggan. Sebaik rancangan ini bermula banyak pelanggan lama memohon untuk menyambung kembali perkhidmatan yang diberhentikan, sementara itu pelanggan baru tidak kurang ramainya.

S: Jumlah penonton mungkin bertambah, tetapi kalau dikira dari sudut statistik mungkin ia tidak menunjukkan perkembangan sebenar. Mengambil contoh pelanggan Astro mungkin meningkat 20 peratus, tetapi sekiranya pertambahan penonton AF6 tidak sampai lima peratus bererti rancangan ini tidak lagi relevan dan hilang taringnya?
J: Saya tidak dapat menjelaskan perkara ini dari sudut perangkaan kerana kami belum lagi membuat perkiraan secara teliti terutama membabitkan perkongsian penonton. Begitupun secara kasar kebanyakan pelanggan lama menyambung kembali perkhidmatan sebaik AF6 bermula. Kami juga mempunyai pertambahan penonton Melayu yang baru hampir mencecah 250,000 orang. Kalau benar rancangan ini tidak lagi relevan atau hilang taring mengapa kebanyakan mereka menyambung kembali perkhidmatan apabila AF6 bermula dan sudah tentu jumlah penonton semakin berkurangan.

S: Bagaimana pula sekiranya dilihat dari sudut jumlah SMS diterima?
J: Tidak dinafikan jumlah SMS semakin berkurangan, tetapi ini fenomena biasa dan ia turut berlaku kepada rancangan realiti tv lain sama ada dalam mahupun luar negara. Kesungguhan penonton sekarang untuk mengundi tidak seperti dulu.

S: Menerusi kritikan yang dilaporkan media sepanjang AF6 berlangsung mereka banyak menegur mengenai kemampuan nyanyian pelajar yang agak teruk. Mengapa perkara ini boleh terjadi?
J: Saya melihat perkara ini pada dua perkara pertamanya bakat dan kedua kadar perubahan ditunjukkan pelajar selepas 10 minggu berada dalam Akademi. Sewaktu kita menjalankan uji bakat di seluruh negara, peserta hanya menyanyikan satu atau dua lagu yang sudah biasa dinyanyikan. Apabila berada dalam akademi dan diberikan cabaran berbeza baru kita nampak kelemahannya. Begitupun ada pelajar yang kita tengok menunjukkan kemampuan apabila diberikan tunjuk ajar. Tidak kurang ada yang berubah dengan berusaha untuk memperbaiki diri.Dibandingkan dengan musim lalu kalau kita lihat juara dan naib juaranya iaitu Mila dan Ebi turut menerima kritikan teruk sepanjang pembabitan mereka dalam Akademi Fantasia musim kelima. Apabila masuk konsert akhir mereka mampu menyanyi dengan baik. Mereka ini bukanlah penyanyi profesional dan ada yang menyertai Akademi Fantasia tidak mempunyai pengalaman. Namun kami tahu dia berbakat. Bagus atau tidak ia bergantung kepada pelajar itu sendiri sebenarnya untuk memperbaiki diri kerana pihak produksi sudah pun memberikan landasan.
S: Masalahnya sekarang ini berdasarkan minggu lalu ada antara pelajar yang layak ke peringkat akhir masih gagal menyanyi dengan baik sekali gus meletakkan mutu rancangan AF6 berada di bawah berbanding musim sebelum ini.
J: Perkara itu saya anggap sebagai satu cabaran setiap tahun harus dihadapi produksi bagi mencari bakat yang mampu bergelar seorang penghibur. Walaupun menerima pelbagai kritikan ia sedikit pun tidak mematahkan semangat kami untuk memberikan yang terbaik kepada penonton setia.Usaha untuk melahirkan bakat sebagai pelapis dalam industri hiburan ini akan diteruskan dan mungkin kita tidak tahu pada musim kelapan atau kesembilan nanti kita akan menemui bakat sebaik juara sebelum ini. Lagipun sokongan terhadap rancangan ini masih kuat begitu juga dengan sambutan yang diterima apabila kami mengadakan uji bakat.Segala kelemahan berlaku pada musim ini akan diperbaiki. Mungkin kami boleh mengubah syarat uji bakat agar menjadi lebih ketat supaya hanya peserta dirasakan benar-benar layak saja terpilih menyertai Akademi Fantasia musim akan datang.
S: Jadi bermakna Akademi Fantasia akan terus diterbitkan pada tahun akan datang?
J: Insya-Allah. Perkara ini sudah pun saya jelaskan sewaktu kami mahu menerbitkan Akademi Fantasia musim keempat dan kelima. Selagi ia masih relevan dan memenuhi objektif kami yang mahu memberikan hiburan kepada penonton selain bintang dilahirkan mampu menempatkan diri dalam industri tempatan selagi itu rancangan realiti tv ini ada. Lainlah sekiranya jumlah penonton semakin berkurang dan ia tidak lagi relevan kepada penonton kami, kemungkinan besar ia akan ditamatkan.

S: Tidak bimbang sekiranya pelajar yang kurang berkemampuan menjadi juara AF6?
J: Saya rasa tidak mungkin kerana penonton setia Akademi Fantasia sendiri sudah pandai menilai. Lihat saja daripada senarai mereka yang menjadi suara Akademi Fantasia musim lalu daripada Vince hinggalah Mila. Mereka semua mempunyai kredibiliti dan berbakat besar. Mereka juga mempunyai mutu vokal yang bagus. Jadi perkara sama juga akan berlaku pada konsert akhir AF6 nanti.
petikan : MyMetro / 21.05.08

AF6 membosankan, gagal cungkil bakat?


SABTU ini program televisyen (TV) realiti, Akademi Fantasia musim ke-6 (AF6) akan melabuhkan tirai menerusi konsert kemuncaknya yang disertai oleh lima finalis iaitu Nubhan, Riz, Nadia, Stacy dan Toi di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur mulai pukul 9 malam.
Meskipun berjaya dianjurkan selama enam tahun berturut-turut, tetapi program TV realiti tempatan paling popular terbitan Astro itu kini dikatakan semakin membosankan para penontonnya.
Kebosanan itu dapat dilihat berdasarkan rungutan banyak pihak yang memperkatakan tentang kandungan, termasuklah kejutan-kejutan dalam AF6 yang kurang memberi impak dalam usaha Astro untuk mempopularkan lagi program tersebut.
Antaranya, pemilihan lagu-lagu yang diketengahkan kebanyakannya kedengaran semakin membosankan di mana ia terdiri daripada lagu-lagu yang kurang popular dan tidak sesuai pula dengan suara para peserta AF6.
Sebagai contohnya, pada konsert minggu kesembilan AF6 minggu lalu, peserta seperti Nubhan disuruh membawakan lagu Kerispatih berjudul Tapi Bukan Aku yang bukan sahaja tidak popular tetapi membosankan para penonton.
AF misalnya, boleh mengetengahkan lagu-lagu lama yang popular untuk dinyanyikan oleh para pesertanya, sekali gus ia dapat diperkenalkan kepada kalangan generasi baru yang merupakan peratusan terbesar penonton program itu.
Penampilan pengkritik AF yang sama hampir pada setiap musim juga boleh menyebabkan para penonton berasa mual kerana mereka sudah dapat menjangkakan kritikan-kritikan klise yang akan dilontarkan pada setiap minggu.
Tambah membosankan lagi apabila panel pengkritik yang diketengahkan kurang berkredibiliti, selain mencetuskan rasa meluat di kalangan para penonton dengan kritikan-kritikan mereka yang langsung tidak membina.
Sepatutnya, setiap minggu Astro menampilkan panel pengkritik yang berbeza supaya lebih banyak kelainan daripada segi idea dapat diketengahkan di mana ia mungkin dapat mempertingkatkan lagi mutu persembahan para peserta AF.
Walhal, dunia hiburan tempatan mempunyai ramai pengkritik yang mempunyai latar belakang dan pengalaman dalam bidang vokal, muzik dan persembahan yang boleh diketengahkan.
Paling menjejaskan kredibiliti dan taraf AF ialah apabila program TV realiti itu mengangkat para pemenangnya berdasarkan 100 peratus undian khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada para penonton.
Pendekatan itu boleh dikatakan kurang tepat dan tidak mempunyai standard dalam usaha dan matlamat Astro yang kononnya mahu mencungkil bakat-bakat pelapis dalam industri hiburan tempatan pada masa depan.
Ini kerana, undian SMS boleh dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu semata-mata untuk mengangkat seseorang peserta AF sebagai juara pertandingan nyanyian itu, apatah lagi umum memang sudahpun mengetahui bahawa bakat nyanyian kebanyakan peserta AF tidaklah seberapa.
Perkara itu boleh dilakukan oleh pemanipulasi, contohnya dengan mengeluarkan modal besar bagi membeli kredit prabayar telefon bimbit dan mengupahnya kepada orang ramai supaya menghantar sebanyak mungkin undian SMS kepada seseorang peserta AF yang mereka pilih.
Penangan daripada sistem pemilihan itu ialah, biar sehebat mana sekalipun bakat seseorang peserta AF itu tetapi tanpa ‘kuasa wang’, bakat ataupun mutu suara yang dimiliki oleh seseorang peserta itu akan tenggelam begitu sahaja.
Sebagai jalan penyelesaian, Astro sepatutnya menggunakan pendekatan dengan menggunakan 50 peratus pemilihan para pemenangnya berdasarkan undian SMS dan 50 peratus lagi menerusi pemilihan panel juri profesional.
Mengimbangi
Cara itu bukan sahaja lebih adil kepada para peserta AF tetapi ia juga dapat mengimbangi antara elemen komersial dan kualiti dalam program TV realiti tersebut yang kini semakin kurang diperkatakan ramai.
Semua faktor itu jika tidak diambil kira, ia akan menyebabkan para peminat melupakan AF dan beralih arah kepada program-program TV realiti lain yang kini semakin mendapat perhatian ramai seperti Gang Starz terbitan TV3.
Jika keadaan itu berlaku, Astro juga tentunya gagal dalam usaha mereka untuk mencungkil bakat-bakat baru seperti penyanyi, pelakon serta pengacara yang berkaliber pada masa depan.
Ini penting kerana, AF merupakan salah satu medium program Astro bagi mencungkil bakat serta selebriti yang akan mereka tonjolkan dalam program-program hiburan yang sedang dan akan diterbitkan selepas ini.
Kegagalan AF dalam hal itu sudah kerap kali disuarakan oleh banyak pihak termasuklah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Masidi Manjun yang menyifatkan program tersebut kini sudah tidak lagi mampu mencungkil bakat-bakat baru.
“Program AF ini tidak lagi berkilauan. Pada masa ini, program ini hanya boleh dianggap sebagai hiburan TV realiti sahaja dan bukan tempat untuk mencari bakat,” katanya kepada para pemberita di Kota Kinabalu, Sabah, pada 21 April lalu.
Beliau menjelaskan, ulasannya itu supaya para remaja yang ingin menceburkan diri dalam dunia hiburan tidak setakat melihat AF sahaja sebagai landasan untuk mengetengahkan bakat seseorang dalam bidang nyanyian.
Sebaliknya, kata Masidi, banyak lagi program TV realiti yang lebih relevan, adil dan jelas matlamatnya dalam melahirkan bakat-bakat baru, cuma kerana kurangnya publisiti, strategi dan pemasaran menyebabkan ia kurang popular.
Sehubungan itu, Astro harus mengkaji semula rungutan para peminat bukan sahaja bagi menambahbaik AF pada masa depan, tetapi bagi mengekalkannya sebagai salah satu program TV realiti tempatan yang paling popular.

petikan dari Utusan Malaysia / 21.05.08
[ gambar ; mr.manager.blogspot.com]

Tuesday, May 20, 2008

5 Finalist !







Berakhir sudah Konsert ke 9 yang boleh saya katakan yang terbaik sepanjang musim ke 6 ini. Seperti firasat orang ramai, Stanly yang tersingkir walaupun ramai yang meramalkan Toi. Namun, kita hanya merancang, namun tuhan memberi rezeki kepada Toi. Toi membuat kejutan malam itu dgn persembahan yang mantap. Mungkin selama ini tidak ada satu pun lagu yang Toi selesa menyebabkan beliau kurang menghayati lagu2 itu.

Persembahan yang paling best malam itu semestinya duet Stacy & Nubhan! Meremang bulu roma bila melihat mereka begitu menghayati bait2 setiap rangkap lagu. Lakonan mereka menjadi malah saya rasa lebih baik dari duet Mila & Ebi semasa konsert AF5.

Nadia & Riz juga serasi.... namun suara besar Nadia menenggelamkan suara merdu Riz! Tapi tak apa, kita patut tabik keberanian mereka membawa lagu berhantu tahun 80an ini! Tak ramai artis yang telah established di luar dapat membawa lagu ini dengan baik.

Toi & Stanly yang membawa lagu Mawi & M.Nasir juga tidak mengecewakan. Toi selamba dan Stanly enjoy dgn persembahan itu.

Carta Jefbuj / Persembahan indvidu :

1. Stacy (9/10)
Best giler tapi saya tak faham bila Ogy kata kurang energy! Tidur ke masa Stacy buat persembahan? Bukan senang nak bawa lagu Michael Jackson ni, menyanyi sambil menari! Saya rasa Stacy telah membuat yang terbaik malam itu.

2. Nadia ( 8/10)
Seperti biasa Nadia tidak pernah menghampakan! Beliau tetap gah diatas pentas dgn penuh keyakinan. Sayang baju beliau buruk sangat! Entah apa2 lah.... dah tahu bahagian lengan Nadia tu besar, dibagi pulak baju sleeveless! Sekali sekala pereka fesyen tu kena peka dgn kritikan juri & wartawan, baru professional!
3. Nubhan ( 7.5/10)
Suara kelas & vass! Angsa tu boleh diperbaiki. Bak kata pengetua, masa kat studio rakaman benda tu boleh dibaiki. Silap2, dgn sokongan padu Nubhan FC & peminat Nubhan, tak mustahil beliau boleh jadi Juara!

4. Toi (7.5/10)
Tak sangka, di saat terakhir begini Toi baru tunjuk belang! So.... Toi tunjukkan kemampuan sebenar masa final nanti.

5. Riz (7/10)
Sebenarnya tak ada cacat celanya persembahan Riz cuma Riz nampak macam terpaksa buat je lagu tu! Persembahan yang kurang jujur. Saya faham ini bukan kemahuan Riz. Tapi lagu final nanti Riz bakal buat kejutan. Tunggu & lihat!

6. Stanly (6/10)
Sampai ke saat ini Stanly gagal memikat hati juri & peminat dgn suara tenor nya. Lagu yang lembut jadi keras dan Stanly nampak terlalu berusaha (bak kata Adlin) hingga kurang fokus dalam persembahannya. Tak apa Stanly, bila diluar nanti, Stanly bebas memilih lagu sendiri.
Lagu Bonus
1. Stacy & Nubhan ( 10/10 )
2. Nadia & Riz ( 8.5/10)
3. Stanly & Toi ( 8/10 )

Lagu untuk konsert final :
NUBHAN - Bukan Di Sini (Sofaz) / Ada Untukmu (Lagu Baru)
RIZ11 - Januari (Gigi) / Hanya Sandiwara (Lagu Baru)
TOI - Siti Zulaikha (Mawi) / Paling Terindah (Lagu Baru)
NADIA - Aku Lebih Tahu (Mila AF5) / Kalut Lagi Mengarut (Lagu Baru)
STACY - Atas Nama Cinta (Rossa) / Siti Lela VS Cinderalla (Lagu Baru)

Afundi sekarang, jangan buang masa!
(gambar dari mr.manager )