I made this widget at MyFlashFetish.com.

Tuesday, May 27, 2008

Mila dapat tawaran ke Itali, Macedonia



Peluang pupuk keyakinan bina reputasi di peringkat antarabangsa DARIPADA gadis biasa yang hanya mampu memasang angan-angan, Akademi Fantasia musim kelima (AF5) mengubah nasib gadis bertubuh kecil molek, Noorsyarmila Jirin atau Mila apabila diangkat sebagai juara wanita pertama program realiti popular itu. Menempuh perjalanan penuh berliku, malah namanya pernah hampir tersungkur pada awal pertandingan AF5, Mila membina kekuatan.

Dengan bakat besar yang dimilikinya, perlahan-lahan dia membina kepercayaan peminat, Mila akhirnya dinobat sebagai juara apabila undian penonton berpihak kepadanya. Mac lalu, jejak gemilang perjalanan karier nyanyian Mila bermula apabila dia sekali lagi diiktiraf peminat hiburan tempatan apabila namanya dijulang sebagai Artis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2007. Kejayaan yang membulatkan tekad anak kelahiran Teluk Kumbar, Pulau Pinang untuk mengukir lebih banyak pencapaian saat karier nyanyian sedang memutik. Kelangsungan detik manis dalam diari seni penyanyi berusia 20 tahun apabila dia menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa, 18 Mei lalu.

Dipilih menyertai Discovery 2008 – 17th International Pop Music Festival di Varna, Bulgaria pada 17 dan 18 Mei lalu, Mila membanggakan negara apabila lagu nyanyiannya, Ilham di Matamu ciptaan Ajai dan lirik Allahyarham Loloq diangkat sebagai Lagu Terbaik pertandingan itu. Melihat kelebihan yang ada pada diri Mila, penganjur dari Itali menyarankan supaya dia menyertai lebih banyak pertandingan di Eropah. Mila juga mendapat tawaran untuk menyertai dua lagi pertandingan di peringkat antarabangsa iaitu International Pop Festival di Itali pada September 2008 dan International Pop Festival di Macedonia pada Jun 2009. "Ini membuktikan bakat yang ada pada Mila mampu diketengahkan di peringkat yang lebih tinggi sekiranya diberi peluang.

"Pulang dari Bulgaria, Mila dan pengurusan akan berusaha untuk memastikan karier seni Mila mengembara ke peringkat lebih besar. Semua ini tidak mustahil jika mendapat kepercayaan serta sokongan penaja yang mahu melihat lagu tempatan berkembang meluas," katanya. Menceritakan detik di Bulgaria, Mila berkata, awalnya dia diburu kebimbangan kerana pemergian ke sana tanpa sebarang maklumat mengenai tahap kemampuan peserta lain. Sekadar melihat profil pesaingnya di internet, itu saja sudah cukup meresahkan kerana kebanyakan mereka berpengalaman menyertai pelbagai pertandingan nyanyian sedangkan Mila hanya sekali memburu kejuaraan di AF5. "Hari pertama selesai pertandingan, mereka menghampiri Mila dan memberitahu suka dengan lagu serta irama Melayu. Ketika itu, hanya Tuhan yang tahu betapa Mila berbangga kerana lagu Melayu mendapat perhatian masyarakat luar. "Alhamdulillah, tuah akhirnya berpihak kepada Mila apabila Ilham Di Matamu diumumkan sebagai Lagu Terbaik," katanya. Turut membawakan sebuah lagi ciptaan Ajai, Aku Lebih Tahu, Mila berkata, pengalaman pertama mengembara jauh dari negara sendiri membuatkan dia bertekad untuk tidak memalukan Malaysia. Sekali pun akur bakal berdepan dengan cabaran besar, kekalahan juga berkemungkinan memberikan kesan kepada perjalanan kariernya tetapi Mila cuba untuk tidak terlalu memikirkannya. "Sebaik saja lagu Ilham Di Matamu diumumkan sebagai juara, Mila penuh bangga membawa bendera Malaysia ke pentas kerana kejayaan ini terlalu bermakna buat Mila. Alhamdulillah, masyarakat di luar melihat kelebihan yang ada pada lagu kita yang mempunyai keindahan serta keistimewaannya tersendiri," katanya. Mungkin ada yang memandang kejayaan Mila dari sudut negatif, apatah lagi pertandingan itu agak asing di pendengaran umum, dia positif menerima kritikan. Bagi Mila, jalan mencapai kejayaan tidak merentang dengan mudah dan dia sendiri menempuh liku yang panjang dalam pertandingan itu. Mila terpaksa berdepan dengan 13 peserta daripada 11 negara antaranya Itali, Sepanyol, Lithunia, Bulgaria (dua peserta), Maldova, Romania (2 peserta), Poland, Uzbekistan, Russia, Cyprus dan Malta. "Bayangkan mereka semua penyanyi yang terlatih, malah sejak kecil lagi sudah didedahkan dengan lagu klasikal pastinya mereka mempunyai kelebihan daripada pelbagai sudut. Menerusi pemerhatian Mila, peserta dari Itali mempunyai peluang besar kerana sentiasa menang dalam pertandingan itu. "Mila cuba kuatkan semangat, tanamkan dalam diri apa yang dibuat ini untuk negara. Syukur walaupun tidak memenangi sebarang kategori Penyanyi Terbaik, masih ada sesuatu yang manis untuk dikenang sebagai anak Malaysia," katanya.


Pertandingan Discovery 2008 berlangsung selama dua hari di Opera House Stoyan Bachavarov, Varna, Bulgaria. Malam pertama iaitu 17 Mei, peserta bertanding untuk kategori Penyanyi Terbaik dan malam berikutnya pula menyaksikan peserta berentap untuk Anugerah utama iaitu Lagu Terbaik. Dewan antik teater opera ini memuatkan 1,500 penonton.
Ilam Di Matamu berjaya memukau hati juri yang didatangkan dari beberapa buah negara Eropah seperti Sepanyol, Itali, Macadomia dan Russia. Pihak krew dan Maestro sempat berbual dengan Ketua Juri yang juga Ketua Unit Orkestra di Varna yang juga Presiden Discovery 2008, Donor Tsvetkov.
Tsvetkov menyifatkan Ilham Di Matamu mempunyai unsur muzik antarabangsa. Ia didengar menerusi melodi, susunan muzik dan instrumen yang digunakan. Dia juga memuji persembahan Mila yang menyampaikan lagu itu dengan begitu baik. Tsvetkov juga berjanji akan pastikan Ilham Di Matamu berkumandang di radio Varna dan Bulgraria. Malah, dia juga bersedia membantu Mila untuk melebarkan sayap seninya di Eropah.
Pada malam sama, selain dapat mengibarkan Jalur Gemilang apabila diminta mengalunkan sekali lagi lagu kemenangan, Mila juga membawa pulang Anugerah Khas Juri. Anugerah yang sama diberikan kepada peserta daripada Lithunia dan Itali.
MILA menerima saingan sengit peserta dari Itali, Malta, Bulgaria dan Romania. Masing-masing mempunyai kredibiliti dan pengalaman yang luas dalam bidang nyanyian. Peserta dari Romania umpamanya, mula mempelajari nyanyian klasik sejak berusia lima tahun selain mempunyai dua album solo dan sebuah album Krismas di negaranya.
Untuk Anugerah Utama Lagu Terbaik, Mila membawa pulang piala, sebuah lukisan khas lambang Discovery 2008 (Kuda Unicorn) yang dilukis pelukis terkenal di Varna, dan wang tunai Euro1,500 (RM7,500).


Keputusan penuh Discovery 2008:

Lagu Terbaik: Tempat pertama: Mila, Malaysia - Ilham di Matamu ciptaan Ajai & lirik Loloq Tempat kedua: Fiona Cauchi dari Malta Tempat ketiga: Guerino Papa dari Itali


Penyanyi Terbaik: Tempat pertama: Guerino Papa dari Itali Tempat kedua: Petya Nikolova dari Bulgaria Tempat ketiga: Simone Nae dari Romania


Anugerah Khas Juri: Mila dari Malaysia Agne Petraviance dari Lithunia Anugerah Artis Harapan Magda Kosinska dan Paulina Bilinska dari Poland


Petikan ; Berita Harian/27.05.08