I made this widget at MyFlashFetish.com.

Wednesday, May 21, 2008

SMS AF6 merosot???

SABTU 24 Mei ini rancangan realiti tv, Akademi Fantasia musim keenam (AF6) bakal melabuhkan tirainya di Stadium Putra, Bukit Jalil dengan lima peserta bersaing bagi merebut gelaran juara.
Siapakah antara lima peserta itu, Stracie Angie Anam atau Stacy, 18; Khairul Nizam Baharom (Toi), 31; Ahmad Nubhan Ahamad (Nubhan), 22; Mohammed Idris Mohd Zaizizi (Riz), 22, dan Nadia Haswani Hasnan (Nadia), 18, bakal mengikut jejak langkah Vince, Zahid, Mawi, Faizal dan Mila?Ada sebahagian pengikut setia rancangan ini berasakan soal siapa bakal bergelar juara tidak lagi penting disebabkan bakat ditampilkan peserta AF6 kurang menyerlah.Konsert minggu kesembilan berlangsung Sabtu lalu di Dewan Sivik, Majlis Perbandaran Petaling Jaya menjadi bukti apabila ada peserta layak ke peringkat akhir masih berhadapan dengan masalah paling asas iaitu gagal melontar dan mengawal nada suara dengan baik.Perkembangan ini pastinya membimbangkan. Apabila AF6 kurang hangat sudah tentu penonton hilang minat.Begitupun Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Zainir Aminullah menafikan rancangan realiti tv terbitan Astro itu sudah hilang taringnya. Malah, sewaktu ditemu bual wartawan hiburan Harian Metro, RUDY IMRAN SHAMSUDIN, Zainir menegaskan jumlah penonton Astro terutama rangkaian Ria semakin bertambah.Pada kesempatan ini Zainir turut menjelaskan mengenai kontroversi ditimbulkan pengikut setia rancangan ini yang tidak berpuas hati apabila peserta dari Kuching, Sarawak, Stanley Maringai David Impi atau Stanly, 25 tersingkir minggu lalu.Menerusi laman web dan blog pengikut setia AF6, tersebar cerita mengatakan Nadia seharusnya disingkirkan pada minggu lalu kerana mendapat undi paling rendah seperti pada konsert kelapan. Namun mengejutkan apabila pihak penerbitan mengumumkan Stanley tersingkir.


S: Jelaskan mengenai gosip yang sedang tersebar di beberapa laman web membabitkan isu undian rendah diterima Nadia dan penyingkiran Stanley?
J: Perkara itu tidak benar kerana keputusan penyingkiran pelajar bergantung penuh pada undian sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar penonton atau penyokong setia. Dakwaan dan pertuduhan seperti itu kami anggap perkara biasa. Malah, setiap tahun ada saja teori konspirasi berkaitan rancangan ini.

S: Bagaimana dengan sambutan penonton terhadap AF6, adakah jumlahnya menurun atau meningkat?
J: Berbanding dengan musim lalu, penonton AF6 semakin bertambah. Perkembangan ini dapat kami lihat daripada rating dan pertambahan jumlah pelanggan. Sebaik rancangan ini bermula banyak pelanggan lama memohon untuk menyambung kembali perkhidmatan yang diberhentikan, sementara itu pelanggan baru tidak kurang ramainya.

S: Jumlah penonton mungkin bertambah, tetapi kalau dikira dari sudut statistik mungkin ia tidak menunjukkan perkembangan sebenar. Mengambil contoh pelanggan Astro mungkin meningkat 20 peratus, tetapi sekiranya pertambahan penonton AF6 tidak sampai lima peratus bererti rancangan ini tidak lagi relevan dan hilang taringnya?
J: Saya tidak dapat menjelaskan perkara ini dari sudut perangkaan kerana kami belum lagi membuat perkiraan secara teliti terutama membabitkan perkongsian penonton. Begitupun secara kasar kebanyakan pelanggan lama menyambung kembali perkhidmatan sebaik AF6 bermula. Kami juga mempunyai pertambahan penonton Melayu yang baru hampir mencecah 250,000 orang. Kalau benar rancangan ini tidak lagi relevan atau hilang taring mengapa kebanyakan mereka menyambung kembali perkhidmatan apabila AF6 bermula dan sudah tentu jumlah penonton semakin berkurangan.

S: Bagaimana pula sekiranya dilihat dari sudut jumlah SMS diterima?
J: Tidak dinafikan jumlah SMS semakin berkurangan, tetapi ini fenomena biasa dan ia turut berlaku kepada rancangan realiti tv lain sama ada dalam mahupun luar negara. Kesungguhan penonton sekarang untuk mengundi tidak seperti dulu.

S: Menerusi kritikan yang dilaporkan media sepanjang AF6 berlangsung mereka banyak menegur mengenai kemampuan nyanyian pelajar yang agak teruk. Mengapa perkara ini boleh terjadi?
J: Saya melihat perkara ini pada dua perkara pertamanya bakat dan kedua kadar perubahan ditunjukkan pelajar selepas 10 minggu berada dalam Akademi. Sewaktu kita menjalankan uji bakat di seluruh negara, peserta hanya menyanyikan satu atau dua lagu yang sudah biasa dinyanyikan. Apabila berada dalam akademi dan diberikan cabaran berbeza baru kita nampak kelemahannya. Begitupun ada pelajar yang kita tengok menunjukkan kemampuan apabila diberikan tunjuk ajar. Tidak kurang ada yang berubah dengan berusaha untuk memperbaiki diri.Dibandingkan dengan musim lalu kalau kita lihat juara dan naib juaranya iaitu Mila dan Ebi turut menerima kritikan teruk sepanjang pembabitan mereka dalam Akademi Fantasia musim kelima. Apabila masuk konsert akhir mereka mampu menyanyi dengan baik. Mereka ini bukanlah penyanyi profesional dan ada yang menyertai Akademi Fantasia tidak mempunyai pengalaman. Namun kami tahu dia berbakat. Bagus atau tidak ia bergantung kepada pelajar itu sendiri sebenarnya untuk memperbaiki diri kerana pihak produksi sudah pun memberikan landasan.
S: Masalahnya sekarang ini berdasarkan minggu lalu ada antara pelajar yang layak ke peringkat akhir masih gagal menyanyi dengan baik sekali gus meletakkan mutu rancangan AF6 berada di bawah berbanding musim sebelum ini.
J: Perkara itu saya anggap sebagai satu cabaran setiap tahun harus dihadapi produksi bagi mencari bakat yang mampu bergelar seorang penghibur. Walaupun menerima pelbagai kritikan ia sedikit pun tidak mematahkan semangat kami untuk memberikan yang terbaik kepada penonton setia.Usaha untuk melahirkan bakat sebagai pelapis dalam industri hiburan ini akan diteruskan dan mungkin kita tidak tahu pada musim kelapan atau kesembilan nanti kita akan menemui bakat sebaik juara sebelum ini. Lagipun sokongan terhadap rancangan ini masih kuat begitu juga dengan sambutan yang diterima apabila kami mengadakan uji bakat.Segala kelemahan berlaku pada musim ini akan diperbaiki. Mungkin kami boleh mengubah syarat uji bakat agar menjadi lebih ketat supaya hanya peserta dirasakan benar-benar layak saja terpilih menyertai Akademi Fantasia musim akan datang.
S: Jadi bermakna Akademi Fantasia akan terus diterbitkan pada tahun akan datang?
J: Insya-Allah. Perkara ini sudah pun saya jelaskan sewaktu kami mahu menerbitkan Akademi Fantasia musim keempat dan kelima. Selagi ia masih relevan dan memenuhi objektif kami yang mahu memberikan hiburan kepada penonton selain bintang dilahirkan mampu menempatkan diri dalam industri tempatan selagi itu rancangan realiti tv ini ada. Lainlah sekiranya jumlah penonton semakin berkurang dan ia tidak lagi relevan kepada penonton kami, kemungkinan besar ia akan ditamatkan.

S: Tidak bimbang sekiranya pelajar yang kurang berkemampuan menjadi juara AF6?
J: Saya rasa tidak mungkin kerana penonton setia Akademi Fantasia sendiri sudah pandai menilai. Lihat saja daripada senarai mereka yang menjadi suara Akademi Fantasia musim lalu daripada Vince hinggalah Mila. Mereka semua mempunyai kredibiliti dan berbakat besar. Mereka juga mempunyai mutu vokal yang bagus. Jadi perkara sama juga akan berlaku pada konsert akhir AF6 nanti.
petikan : MyMetro / 21.05.08

No comments:

Post a Comment