I made this widget at MyFlashFetish.com.

Monday, May 26, 2008

AF6 milik Stacy


Berkat kegigihannya mendatangkan hasil apabila dijulang sebagai juara program realiti musim keenam KESEMPITAN hidup sehingga terpaksa melupakan persekolahan menyebabkan Stracie Angie Anam, 18 atau Stacy menggunakan peluang dan ilmu yang diperolehi secara 'percuma' sepanjang berada dalam akademi dengan belajar bersungguh-sungguh. Dan, kesungguhannya itu berhasil. Gadis kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu akhirnya diangkat sebagai juara Akademi Fantasia musim keenam (AF6), sekali gus menjadi bukti kegigihannya itu bukanlah lakonan semata-mata.
Dianggap sebagai pelajar paling konsisten kerana sentiasa menduduki tempat teratas carta, penonton setia AF6 yang mengikuti perkembangan Stacy tentu sekali dapat melihat kesungguhan yang ditonjolkan anak kelima dari enam beradik itu. Kata Stacy, dia tidak mahu ketinggalan seperti dulu hingga memaksanya meninggalkan sekolah lebih awal dan menyebabkannya gagal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). “Saya tidak berpeluang menamatkan persekolahan kerana kesempitan hidup keluarga. Jadi apabila mendapat ilmu yang baru, saya tekad untuk belajar bersungguh-sungguh.
BERTENAGA: Nadia beraksi lincah ketika menyanyikan lagu Kalut Lagi Mengarut.
“Saya pernah bekerja sebagai penyanyi di kelab malam sambil bersekolah pada sebelah siang untuk menampung kehidupan. Masalah kewangan yang dihadapi keluarga saya menjadi punca kenapa saya tidak dapat meneruskan persekolahan,” katanya yang amat bersyukur kerana impian untuk membantu keluarga akhirnya tercapai. Bagaimanapun, Stacy yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah St Michael, Penampang masih lagi menyimpan impian untuk menduduki SPM. Mengikut perancangan, dia ingin menduduki SPM tahun ini, namun penyertaannya di dalam AF menyebabkan dia terpaksa menangguhkan hasrat itu. “Saya betul-betul bersyukur kepada tuhan kerana membantu saya. Dari dulu kami sekeluarga tidak pernah merasa semewah ini menyebabkan saya tidak sabar mahu melihat reaksi keluarga dengan kemenangan saya ini. “Saya bercadang untuk bawa keluarga tinggal bersama-sama saya kelak. Inilah hadiah terbesar dalam hidup saya dan terima kasih juga buat peminat kerana mengundi begitu juga dengan cikgu-cikgu (tenaga pengajar AF6).
TERUJA: Nubhan turut mendapat sorakan daripada peminat pada konsert akhir AF6.
“Saya tidak tahu macam mana harus membalas jasa mereka. Ilmu yang mereka curahkan terlalu besar maknanya,” katanya yang berhasrat untuk mengikut kelas vokal bagi memperbaiki lagi mutu nyanyiannya sebagai persediaan untuk melangkah ke dunia nyanyian yang sebenar. Sebelum menyertai AF6, Stacy pernah mencuba nasib di dalam program realiti One In A Million musim pertama. Malahan Stacy juga ialah antara anggota kumpulan Evoke yang menyertai satu lagi program realiti, Gang Starz musim pertama tahun lalu. Keputusan menyertai AF di atas saranan ibunya, Agnes Kallos, 50. “Dia (ibunya) bersungguh-sungguh menyuruh cuba nasib dalam AF sebaik saja cukup umur. Saya bersyukur dan berbesar hati dapat masuk AF. Memang tidak sangka langsung akan menang kerana bagi saya semua yang berada dalam AF bagus-bagus belaka,” katanya. Sebagai juara AF6, Stacy membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM733,734, iaitu banglo empat bilik di A’Famosa Villa D’Lagos, Melaka; kereta model Peugeot 307 tajaan Naza Motors Sdn Bhd; wang tunai berjumlah RM25,000 sumbangan Hotlink; pakej percutian 7 hari 5 malam ke Itali tajaan Mayfirst; pakej pelancongan dan lawatan ke New York tajaan Maybeline, Sony Play Station dan trofi tajaan Astro. Sementara itu, naib juara AF6, Mohammed Idris Muhd Zaizizi, 21 atau Riz, berkata bukanlah niatnya untuk menunjukkan dirinya besar kepala apabila diminta mengulas mengenai perasaan tidak puas hati ketika diberikan lagu Laskar Cinta. “Sebagai manusia, saya ada perasaan suka dan tidak suka. Saya hanya meluahkan pendapat saja, walaupun pada mulanya saya tidak berapa suka dengan lagu Laskar Cinta tetapi saya cuba membawakan lagu itu dengan sebaiknya malah mula serasi dengan lagu itu. “Jujur saya tidak ada perasan bagus. Saya cumalah seorang pelajar. Saya juga cuba menjadi diri saya dalam AF dan hubungan antara saya dengan kawan-kawan juga tidak ada sebarang masalah,” katanya yang pernah mencuba nasib di dalam AF5. Riz pula membawa pulang kereta model Naza Bestari, wang tunai, pakej percutian, baucer pelancongan, Sony Play Station dan trofi yang kesemuanya bernilai RM96,076. Pemenang tempat ketiga, Ahmad Nubhan Ahamad berkata, dia sudah berusaha sebaik-baiknya setiap minggu untuk menampilkan persembahan terbaik. Nubhan yang memiliki suara komersial berkata, setiap kali berada di atas pentas, dia cepat gementar hingga menjejaskan tumpuannya. “Saya cuba memperbaiki mutu persembahan saya setiap minggu. Setiap kali melihat penonton saya jadi gementar, sedangkan ketika latihan penuh setiap minggu saya boleh lakukan yang terbaik.Saya bersyukur kerana berada di tempat ketiga. Sebenarnya dapat masuk final sudah cukup bermakna,” katanya Nubhan yang berada di tempat ketiga pula membawa pulang hadiah dengan nilai keseluruhannya berjumlah RM21,199. Sementara Toi yang berada di tempat keempat pula membawa pulang hadiah bernilai RM9,199 dan Nadia di tempat ke lima pula membawa pulang hadiah bernilai RM7,199.
Petikan /Berita Harian / 26.05.08 / Serimah Mohd Sallehuddin