I made this widget at MyFlashFetish.com.

Saturday, May 24, 2008

Pasti bukan mi segera


Akademi Fantasia mampu merubah kehidupan bekas juara AKADEMI Fantasia sudah menyaksikan ledakan dan pacuan kerjaya lima juara dimulakan dengan Vince dari AF musim pertama, Zahid (AF2), Mawi (AF3), Faizal (AF4) dan Mila sebagai juara pertama AF musim kelima yang buat pertama kali diungguli seorang Hawa. Masing-masing telah mencipta kejayaan 'seketika', hanya bermusim dan ada yang masih meninggalkan ingatan, fenomena dan histeria di kalangan peminat program realiti popular yang satu ini.

Hari ini segala-gala bakal terjawab sama ada sejarah tahun lalu yang menobatkan juara dari kalangan wanita bakal berulang kembali atau mungkin kuasa wanita bakal melihatkan dominasi Stacy dan Nadia di AF6 terbenam dek 'kejutan' tiga jejaka lain Riz, Nubhan dan Toi. Tunggu dan lihat sajalah malam kemuncak itu nanti. Apa jua tanggapan sinikal atau skeptikal terhadap program realiti ini, ironinya ada sinar kebanggaan yang mekar diperoleh oleh setiap deretan juara bintang jelmaan itu. Hakikatnya, AF telah menjadi landasan terbaik bagi bintang baru untuk memacu dan memasarkan diri ke pasaran terbuka. Biarpun sebelum ini ada pihak yang mengecop program ini sebagai ruang melahirkan bintang yang dikenali sebagai mi segera, setidak-tidaknya ia menambah rencah suasana industri muzik tanah air yang dikatakan suram.

Sabtu menyingkap ramalan bekas juara mengenai siapakah calon juara AF6 dan bagaimanakah program realiti ini telah merubah hidup mereka. Landasan terbaik iktiraf bakat JUARA AF musim pertama, Vince kini sedang melanjutkan pengajian bahasa Mandarinnya di Taiwan sejak Mac lalu hingga Ogos ini. Melalui bantuan kakaknya, Vanessa, Vince berjaya dijejaki. Namun secara jujur, Vince mengakui tidak mengikuti perkembangan AF6 pada tahun ini kerana komitmen belajar harus diutamakan. Vince memberitahu, dia sangat bertuah menjadi juara dan peneraju program realiti ulung itu. "Terus-terang saya harus bersyukur menjadi nadi pertama kegemilangan program realiti ini. AF menjadi landasan terbaik untuk mengiktiraf bakat sejati dan personaliti diri. Tapi bukan mudah untuk meneruskan kesinambungan kejayaan itu. Usaha yang gigih, originaliti dan penjenamaan semula diri sendiri untuk bersaing dengan industri sebenar perlu disertakan.

"Maafkan saya kerana tidak dapat mengagak mahupun meramalkan siapa yang bakal bergelar juara AF6 kerana saya tidak menonton program itu sedari awal. Tapi saya yakin, juara yang bakal dinobatkan nanti pasti pilihan mutlak idaman ramai," kata Vince melalui kiriman khidmat pesanan ringkas telefon bimbit milik Vanessa.

* Siapa juara? - Maaf tiada pilihan sebab tidak mengikuti AF.


Program bina kelompok peminat ZAHID, juara AF2 dan jejaka yang sedang intim bersama Nita Malaysian Idol 2 juga mengakui AF telah merubah hidupnya. Tambahnya lagi, menerusi AF telah melahirkan kelompok peminat yang akan setia menyokong apa jua rencana aktiviti seni yang dilakukan. Sebagaimana ramai yang meramalkan kemenangan AF6 nanti bakal berpihak kepada peserta wanita, tanpa ragu juga Zahid memilih Nadia sebagai pilihan peribadi yang layak dinobatkan sebagai juara. "Bermula dengan AFlah peminat dan pelbagai pihak mula sedar kehadiran kita sebagai artis baru. Ramai yang sudah memerhati dan menilai bakat kita dan secara tak langsung kita sudah mengumpul kelompok peminat yang tersendiri. Pelbagai perubahan yang berlaku dalam hidup saya rentetan menjuarai AF2, antaranya dari segi gaya hidup.


"Kalau boleh saya nak Nadia jadi juara AF6 dan sekali gus membuktikan kalendar penganjuran AF dengan sejarah berulang kembali menobatkan juara daripada kalangan Hawa. Saya berpendapat latar belakang Nadia sebelum ini yang memberi keyakinan kepada dirinya dan penyokong sudah mampu menterjemahkan segala-galanya dalam bentuk sokongan melalui undian SMS. "Dia ada bakat dan boleh menonjolkan bakatnya demi memeriahkan industri muzik kita. Negara kita memang ketandusan penyanyi wanita sepertinya yang boleh menyanyikan pelbagai genre muzik. Stacy pun tidak kurang hebatnya. Pilihan saya sama ada Nadia atau Stacy mengungguli takhta juara AF6," kata Zahid yang baru muncul dengan album keduanya, Baru. Selepas single lagu Baru, lagu Hadir Dirimu pula dijadikan sebagai single kedua.

* Siapa juara? - Nadia


AF ajar erti sebuah kehidupan MEMPUNYAI pendapat yang sama seperti Zahid ialah Faizal juara AF4. Sebagaimana Zahid, Faizal juga meramalkan potensi dan aura Nadia untuk bergelar juara. Bagi Faizal, AF telah banyak mengajarnya erti sebuah kehidupan dan awalnya kejutan budaya dialaminya. Namun, lama-kelamaan, Faizal mula sedar dan berhati-hati dengan segala tingkah dan tutur bicaranya. "Saya merasakan tahap keyakinan yang dimiliki Nadia antara senjata utama yang mungkin boleh melayakkannya unggul dianugerahkan gelaran juara AF6. Stacy pun perlu diberi perhatian kerana dia dan Nadia mempunyai bakat yang besar. Naluri saya juga mengatakan juara AF6 milik wanita. Tapi bukan bermaksud pelajar lelaki (Riz, Nubhan dan Toi) tidak bagus, cuma kelebihan lebih berpihak kepada pelajar perempuan. Bagaimanapun, rezeki masing-masing adalah ketentuan-Nya. "Saya tidak boleh menidakkan yang AF telah banyak merubah perjalanan hidup saya daripada seorang lelaki kampung menjadi golongan selebriti yang dikenali. Saya berubah dari kurang matang menjadi kian matang daripada pelbagai aspek, pergaulan, pendapatan (wang ringgit) dan taraf kehidupan. "Di awal permulaan kerjaya, saya akui mengalami kejutan budaya dan dalam keadaan tanpa sedar saya sudah menjejaki ke dunia yang penuh cabaran dan pancaroba. Namun, sekarang saya sudah mula sedar dan pandai berdepan dengan pelbagai kemungkinan situasi. Yang pasti semuanya mengajar saya supaya tidak mudah mempercayai orang lain," kata Faizal yang kini lebih selesa bergerak sendiri merencanakan kerjayanya. Faizal juga sedang sibuk membuat persiapan Ikon 2008.

* Siapa juara? - Nadia


Tempa nama dalam masa singkat KEKASIH hati Ikin, Mawi ini pula menganggap AF sebagai tapak mengembangkan bakat untuk mencipta nama pada jangka waktu yang singkat. Laungan tagline 'World' yang acap kali disebutnya bagaikan satu doa yang dimakbul sehingga jejaka yang tampil imej berkumis nipis itu kerap ke luar negara menjelajahi peta dunia. Mawi juga berpendapat Stacy mempunyai kaliber dan persona yang mampu mengangkatnya menjadi juara AF6. Semua sudah maklum, hampir menjelang setiap konsert mingguan AF6, gadis berusia 18 tahun dari Kota Kinabalu itu mempamerkan persembahan yang hebat. "Memang saya akui alam kehidupan saya berubah serta-merta setelah menjuarai AF3. Bayangkan daripada insan yang tak dikenali, saya dikenali ramai. Sudah terbukti bahawa AF ialah satu landasan atau jalan untuk menempa nama diiringi bakat dalam ruang lingkup yang singkat.


"Laungan 'World' bagaikan satu doa yang diaminkan peminat sehingga saya mampu menjejaki negara luar yang tak pernah saya mimpi langsung sebelum ini. Peluang mengendalikan program seperti Langkah Mawi dan terbaru Mawi Di Bumi Anbia memberi saya peluang keemasan untuk merasai suasana baru berada di tempat dan negara orang. "Berdasarkan persembahan yang sentiasa konsisten dan pilihan majoriti, saya pilih Stacy. Saya yakin ramai juga pihak yang mengagumi kemampuan Stacy melantunkan lagu dan ligat di pentas dengan tarian. Stacy ada pakej dan saya akui dia terpilih masuk AF6 kerana bakatnya,'' kata Mawi yang nampak semakin berisi kebelakangan ini. Bahagialah katakan.

* Siapa juara? - Stacy


Batu loncatan teruskan bakat BAGI Mila, AF dianggap sebagai batu loncatan buat dirinya untuk meneruskan kesinambungan bakatnya, ia adalah detik permulaan bagi segala-gala. Mila juga sependapat dengan Mawi dengan menjangkakan Stacy bakal merampas gelaran juara AF6. Selain Stacy, Mila juga melihat potensi Riz untuk membuat 'kejutan'. Sebagai gadis pertama dinobatkan sebagai juara AF5, Mila juga mengharapkan peserta wanita bakal cemerlang. "AF antara ruang terbaik bagi Mila untuk meneruskan apa yang Mila minati selama ini. Selepas berada di AF, banyak peluang dan rezeki datang singgah ke dalam hidup Mila. Segala impian Mila diserlahkan dengan AF. "Dengan AF dan kini bergelar artis, Mila mampu merubah taraf hidup keluarga Mila ke satu tahap yang lebih baik. Mila dapat kembangkan bakat dan menelusuri apa jua perkara yang tak pernah Mila jangkakan selama ini. "Mila juga mengharapkan AF6 tahun ini akan dimonopoli oleh wanita. Jujur kata Mila mengharapkan sejarah tahun lalu bakal berulang, insya-Allah. Peserta kegemaran Mila ialah Stacy dan Riz. Stacy diyakini dengan bakat dan persembahannya yang sentiasa konsisten. Riz pula mempunyai keupayaan vokal yang baik. Peratusan mereka berdua juga sentiasa di kelompok teratas," ungkap Mila yang mengakui tidak dapat mengikuti AF6 sepenuhnya kerana faktor kesibukan. Sewaktu dihubungi Mila sedang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setelah selamat tiba dari Bulgaria menghadiri Festival Muzik Pop Antarabangsa ke-17 dari 16 hingga 19 Mei lalu. Tahniah diucapkan kepada gadis genit itu kerana berjaya memikat hati juri menerusi lagu Ilham Di Matamu (ciptaan Ajai, lirik Allahyarham Loloq) dipilih menjuarai kategori Lagu Terbaik. Selain itu, Mila juga diiktiraf dalam anugerah khas juri, Penyanyi Muda Berbakat.
* Siapa juara? - Stacy
Petikan : Berita Harian / Zaidi Mohamad / 24.05.08