I made this widget at MyFlashFetish.com.

Friday, May 23, 2008

Menggilap permata







Ramli MS anggap setiap lima finalis Akademi Fantasia musim keenam ada keistimewaanWALAUPUN mutu persembahan pelajar Akademi Fantasia musim keenam (AF6) dikritik hebat, malah hingga menjelang konsert kemuncak esok masih terdengar rungutan tidak berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan, Pengetua AF6, Ramli MS tetap melihat lima finalis program realiti popular itu sebagai permata yang perlu digilap. Baginya, kelima-lima pelajar iaitu Stacy, Nadia, Riz, Toi dan Nubhan mempunyai keistimewaan tertentu untuk melayakkan mereka bertanding di final.
Akur tidak mempunyai kuasa untuk memaksa kudrat setiap pelajarnya kerana mereka juga manusia yang punya kelebihan dan kekurangan, Ramli berharap kesemua finalis bekerja keras merebut peluang yang ada di depan mata pada konsert kemuncak, Sabtu ini. "Setiap finalis perlu bekerja keras dan merebut peluang dengan memberikan persembahan di luar jangkauan intelek mereka. "Mereka kena sedar Sabtu ini adalah detik penentuan yang akan mengubah kehidupan selepas ini, justeru mereka harus memanfaatkan peluang itu dengan memberikan persembahan yang akan diingati penonton," katanya.



Sebagai anak seni berpengalaman, Ramli berkata dia tidak pernah puas dengan apa yang dilaluinya malah melihat masih banyak perkara baru yang perlu diterokai dalam melengkapkan perjalanan hidupnya. Justeru kata Ramli, dia tidak pernah kecewa atau berputus asa dengan prestasi yang ditunjukkan pelajarnya kerana setiap insan dikurniakan Tuhan tahap pemikiran serta penerimaan yang berbeza. "Semua itu normal. Ada yang cepat menerima dan ada yang agak lambat menyerap ilmu yang diberikan. Buruk atau pandai saya tidak akan kecewa serta berputus asa mendidik mereka. "Situasi mereka sama seperti memasuki alam persekolahan. Tidak semua terus pandai apabila masuk sekolah.



"Jujurnya ada impian saya yang tercapai sepanjang mengetuai AF6, namun saya tidak mahu melihat pencapaian itu hanya dari satu sudut semata-mata. "Permulaan sebenar karier mereka bukan bermula di akademi, sebaliknya selepas mereka keluar dan menamatkan pengajian di AF6. Di luar menyediakan tempat yang berbeza untuk mereka terus mempraktikkan segala ilmu yang dikutip sepanjang bergelar pelajar AF6," katanya. Ramli berkata, situasi AF6 agak berbeza kerana ia sebuah program televisyen yang mencuri tumpuan khalayak.


Mungkin dari segi usia yang menjangkau enam musim, penonton mengharapkan pengisian serta kehadiran pelajar yang bagus dan semakin matang. "Tetapi, penonton harus ingat untuk menggilap sebutir bintang tidak semudah memetik jari. AF bukan sebuah program berkaitan individu kerana individu itu akan matang mengikut peralihan masa dan usia. "Sebaliknya AF bertindak sebagai akademi yang cuba mencipta sesuatu untuk diberikan kepada penonton saban tahun. Ia berkait rapat dengan kreativiti. "Jika terus memberikan idea yang sama, ia menerbitkan kebosanan kerana penonton sudah boleh menjangka apa yang dipersembahkan. "Sama seperti seorang komposer mencipta lagu atau menghasilkan muzik, jika terus memberikan benda yang sama pendengar akan muak serta jemu," katanya. Barangkali apa yang dipersembahkan kepada penonton ketika ini adalah persembahan separa matang namun Ramli percaya, pengalaman akan merubah segala-galanya. Katanya, sekali pun AF6 sedang melalui proses kematangan dari segi penerbitan namun mereka tidak mampu untuk mengubah pengisian diri seseorang pelajar. "Pengisian program dan pengisian diri pelajar adalah dua isu berbeza. AF6 bukan bertujuan melahirkan semula Zahid, Bob atau Adam yang sudah jauh matang kerana masa membantu mereka untuk berubah. "Kerana itu, saya tidak melihat permulaan karier pelajar di bidang seni ketika mereka di akademi. Semuanya akan bermula selepas konsert akhir. "Mereka mampu maju jika terus mempraktikkan segala ilmu yang dicurahkan sepanjang berada di AF6 apabila berada di luar nanti," kata Ramli.



Ditanya mengenai kekuatan lima finalis, Ramli berkata, dari segi persembahan keseluruhan apa yang ditunjukkan pelajar musim ini tidak banyak beza berbanding musim terdahulu. Bagaimanapun katanya, dia melihat kekuatan kepada Stacy yang memanfaatkan segala ilmu yang dicurahkan ketika di kelas dan dipamerkan apabila membuat persembahan di pentas. "Apa yang diajar walaupun benda itu kecil diambil serius oleh Stacy untuk dipraktikkan. Pelajar lain seperti biasa dan bagi saya, itu perkara normal. "Sama seperti melihat perjalanan carta, mereka yang berada pada kedudukan atas tentunya lebih baik berbanding yang berada di bawah," katanya. Ditanya mengenai kelebihan serta kekurangan setiap finalis, Ramli menolak untuk memberi ulasan sebaliknya menyerahkan kepada penonton untuk menilai berdasarkan apa yang mereka saksikan di kaca televisyen.



petikan :Oleh Zul Husni Abdul Hamid / Berita Harian / 23.05.08