I made this widget at MyFlashFetish.com.

Friday, May 23, 2008

David juara baru American Idol


KETIKA ramai meramalkan bakat remaja, David Archueleta malah juri juga menjangkakan dia bakal menggalas gelaran juara American Idol, penonton Amerika Syarikat pula membuat keputusan sebaliknya. David Cook akhirnya menamatkan perjuangan di American Idol sebagai juara, melakar sejarah sebagai penyanyi rock pertama meraih gelaran itu. Menerima 56 peratus daripada 96 juta undian keseluruhan diterima sepanjang kemuncak American Idol berlangsung, Cook, 25, mengenepikan Archueleta, 17 dengan kelebihan 12 juta undian.

Suasana penuh emosi mengiringi detik kemenangan pemuda kelahiran Blue Springs, Missouri itu yang terus melutut di pentas sebaik diumumkan sebagai pemenang. “Ini sangat mengejutkan,” katanya yang tidak lama selepas itu mengambil mikrofon untuk menyanyikan Time of My Life yang memenangi acara tahunan, Pertandingan Menulis Lagu Idol. Selasa lalu ketika persaingan diadakan di Nokia Theatre, Los Angeles, persembahan Archueleta menerima pujian juri yang sepakat melihat potensi kepada remaja itu untuk merangkul juara.

Simon Cowell dalam kritikannya melihat Cook sebagai penyanyi yang tiada karisma. Bagaimanapun, Cook yang tidak terjejas dengan kritikan itu bangun menyahut cabaran. Membawakan lagu Billie Jean, persembahan Cook menerima tepukan gemuruh penonton sekali gus memberi kelebihan kepadanya untuk muncul sebagai juara. Kemuncak American Idol juga menyaksikan Cowell memohon maaf apabila memilih Archueleta sebagai pemenang pada malam persembahan sebelumnya. Cowell mengakui, selepas melihat semula rakaman persembahan dia mendapati nyanyian Cook jauh lebih baik daripada apa yang disaksikan ketika siaran langsung.

Pengakuan Cowell itu mengejutkan Cook, lalu berkata kepada adiknya yang menemaninya di pentas, “Ini semula salah anda”. Menyorot perjalanan Cook di American Idol, pemuda yang sebelum ini bekerja sebagai pelayan bar itu tidak pernah bercita-cita untuk menjadi terkenal. Dia ke Omaha untuk menemani adiknya yang berminat menyertai American Idol namun ternyata tuah menyebelahinya apabila dia terpilih hingga melangkah ke final. Ketika Archueleta lebih selesa dengan irama pop yang sinonim dengan pertandingan itu, Cook pula memberikan cabaran baru apabila memilih genre rock dalam kebanyakan lagu nyanyiannya sepanjang pertandingan itu. Percubaan yang cukup berani kerana sejarah American Idol membuktikan kebanyakan peserta yang memilih genre itu akan tersingkir awal. Kemuncak pertandingan juga menyaksikan finalis lain membuat persembahan dengan menyanyikan lagu daripada George Michael, Donna Summer dan Bryan Adams.
petikan : Berita Harian / 23.05.08 /Zul Husni Abdul Hamid