I made this widget at MyFlashFetish.com.

Friday, July 04, 2008

Sheila jelajah negara kutip dana buat IJN



Oleh Farihad Shalla Mahmud / BH 30.06.08


PRIHATIN: Sheila meluangkan masa mengunjungi peminatnya yang juga pesakit jantung berlubang, adik Siti Hajar di IJN, baru-baru ini.
KEJAYAAN konsert solo yang menampilkan penyanyi Sheila Majid di Dewan Plenary, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Februari lalu rupa-rupanya membuka pintu kepada penyanyi ini untuk mendekatkan dirinya dengan peminat di seluruh tanah air. Dalam diam, Sheila dan tenaga kerja konsert terbabit sedang merancang untuk mengadakan konsert bergerak menjelajah ke pelusuk negara sambil membawa mesej yang sama iaitu berhibur sambil beramal. Dan andai tiada aral yang melintang, konsert itu akan dilangsungkan tahun ini juga. “Insya-Allah, konsert itu akan menjelajah ke lokasi luar Kuala Lumpur pada tahun ini juga termasuk di beberapa negeri di Pantai Timur seperti Kuantan dan Pulau Pinang serta di Johor. Mengikut perancangan, sebahagian hasil jualan tiket konsert itu akan disalurkan ke Yayasan Institut Jantung Negara (IJN)

“Mungkin kita buat konsert amal atau jual tiket konsert dengan harga yang lebih murah. Saya difahamkan tiket konsert sebelum ini kehabisan dan ramai tidak puas hati kerana tidak dapat beli tiket. “Jadi saya berharap konsert ini nanti mampu memuaskan hati semua pihak. Bagaimanapun, kami masih mencari penaja, tempat dan barisan pemuzik pengiring yang akan mengiringi persembahan saya," kata Sheila. Sambil menyifatkan projek itu sebagai serampang dua mata, Sheila berkata dia begitu teruja dan tidak sabar menanti usaha itu menjadi kenyataan.


“Memang sudah lama saya nantikan saat ini iaitu untuk bertemu peminat saya di luar Kuala Lumpur. Sebelum ini tak ada peluang tapi selepas saya terbabit sebagai duta kepada yayasan IJN dan peluang terbentang di depan mata jadi saya harus merebutnya,” jelas Sheila yang juga ibu kepada empat cahaya mata ini. Mengulas perkembangan kerjayanya ketika ini, Sheila berkata selepas mengeluarkan produk penjagaan kulit, Jerneh, dia bersama rakan kongsinya, FA Herbs serta syarikat milik bersama Pure Intention Sdn Bhd bakal mengeluarkan dua produk iaitu kosmetik Mineral Make-up serta produk penjagaan selepas bersalin. “Adalah menjadi impian saya untuk mengeluarkan produk kecantikan sejak 10 tahun lalu. Saya bersyukur kerana Jerneh menamatkan penantian saya. Apa yang lebih penting, produk ini berasaskan bahan semula jadi yang berkonsep selamat, mudah, halal dan efektif. Sebelum ini pun saya sering menghadapi kesukaran untuk mencari produk yang boleh dibawa beribadah dan dengan adanya Jerneh ini saya harap masalah itu dapat diatasi “Dan untuk menghasilkannya, diakui bukan mudah untuk kita keluarkan produk sendiri kerana selain soal kewangan, saya juga tidak ada kepakaran Research & Development (R&D).


“Bagaimanapun, pertemuan dengan pengusaha FA Herbs yang juga pasangan adik beradik ini membuka peluang segala-galanya kerana sebelum ini pun saya pernah menggunakan produk keluaran syarikat mereka dan diakui keberkesanannya,” tutur Sheila ramah. Ditanya mengenai album baru, seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini Sheila hanya akan mengedarkan albumnya itu secara muat turun dari internet. “Dengan kaedah muat turun ini, saya akan terus dapat bayaran daripada peminat berbanding cara konvensional iaitu cakera padat. Saya tak kisah kalau lagu ini dipasarkan satu demi satu kerana bagi saya pada masa ini cara begitu lebih menguntungkan. “Dan selepas 10 lagu dipasarkan secara muat turun dan saya sudah pun mendapat pulangannya, barulah saya keluarkan dalam bentuk CD pula,” tegas Sheila sambil memberitahu dia sudah mempunyai lima lagu untuk dimuatkan dalam album barunya itu termasuk ciptaan komposer dari Indonesia Ahmad Dhani. Sheila ditemui sejurus selepas penyanyi itu mengunjungi pesakit jantung berlubang yang sudah selamat menjalani pembedahan, Siti Hajar Misran, 9, yang juga peminatnya di Wad Mawar, IJN, Kuala Lumpur baru-baru ini. Anak bongsu daripada lapan beradik dalam keluarga kurang berkemampuan itu selamat menjalani pembedahan jantung di IJN pada 12 Jun lalu menerusi sumbangan yang dihulurkan Kelab Metro sebanyak RM12,000. Kos keseluruhan pembedahan Siti Hajar ialah RM15,000. Hadir sama, Pengerusi Kutipan Dana, Yayasan IJN, Datin Julie Haniff serta Perunding Pakar Bedah Kardiothoraks, Dr Sivakumar Sivalingam. Pada majlis ramah mesra itu, Sheila yang bakal mengerjakan fardu Haji bersama suami dan anggota keluarga lain penghujung tahun ini turut menyerahkan albumnya, The Best Of Sheila Majid sebagai cenderamata kepada kanak-kanak itu.


Komen Jefbuj

Saya mengenali Sheila Majid secara peribadi sejak tahun 1989 lagi iaitu semasa saya belajar di Tokyo, Jepun pada tahun 1988 - 1992. Sebagai pelajar saya selalu menjadi Juru Bahasa kepada rakyat Malaysia yang berkunjung ke sana. Kebetulan pada masa itu nama Shiela meledak di Jepun. Lagu2 beliau telah diputarkan di corong radio, menjadi latarbelakang lagu iklan kereta, berkumandang di Shopping Complex dsbnya.

Saya juga telah menemani Shiela untuk pergi ke Tokyo Disneyland, shopping, photo shoot dsbnya. Sungguh menyeronokkan. Shiela amat friendly. Bodeng adalah pengurus Shiela pada masa itu. Bodeng juga berasal dari Kuching.
Saya turut menghadiri konsert2 Shiela di sekitar bandaraya Tokyo. Masa tu teruja sangat kerana idola rakyat Malaysia berada didepan mata malah dapat berjalan2 bersama beliau sepanjang beliau di Tokyo. Sayang sekali gambar2 kami tidak dapat saya sertakan disini kerana masa tu takde kamera digital lagi, tapi akan saya usahakan untuk scan gambar2 tu untuk dikongsi bersama.
Selain Shiela, saya juga bertemu dengan Zainal Abidin ( popular dgn lagu Hijau masa tu ) malah Zainal menumpang menginap di rumah saya yang terletak di Soshigaya, Tokyo. Rasa tak caye bila kami berborak sepanjang malam.
Saya juga menemani Ella & Jojie semasa ke Tokyo Disneyland! Masa tu Ella tengah heboh dikaitkan dgn Rashid Sidik!
Maizurah Hamzah juga ada berkunjung di Restoran Only Malaysia dimana tempat saya bekerja Part Time selepas kuliah! Dia memang cantik. Masa tu dia amat popular malah telah membuat beberapa show di Tokyo & Korea! Ayah Maizurah adalah org Singapura dan ibunya adalah dari Kuching! Tapi dia tak fasih berbahasa Sarawak.
Sebenarnya ramai lagi selebriti, ahli politik, ahli perniagaan, menteri dll yg berkunjung ke Tokyo dan selalu singgah di tempat saya bekerja. Best sangat apabila kita junpa dia orang. Yelah kalau di Malaysia amat payah untuk menemui mereka.
Segala2nya masih segar diingatan saya!