ANUGERAH yang baru diterima daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyuntik semangat baru buat penyanyi nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 29. Anugerah Kecemerlangan Balai Ikhtisas Malaysia (BIM) 2008 itu diberikan kepada golongan profesional tidak kira dalam apa jua bidang.
Siti Nurhaliza menerima anugerah berkenaan bagi kategori Artis Profesional Malaysia sekali gus meletakkan dirinya sebaris dengan profesional lain seperti Datuk Mohd Hassan Marican, Tan Sri Dr Yahya Awang serta ramai lagi. Ketika dihubungi, Siti melafazkan kesyukuran kerana golongan seni turut mendapat pengiktirafan setanding golongan profesional lain. Pengiktirafan itu amat berbeza daripada anugerah yang pernah dikecapi sebelum ini. “Siti bersyukur apabila profesion sebagai artis, karyawan dan seniman juga boleh mendapat pengiktirafan seperti ini dan dianggap sebagai golongan profesional. Siti dipilih sebagai mewakili golongan artis dan bagi Siti pengiktirafan ini amat berbeza daripada anugerah yang pernah Siti dapat yang mana kebanyakannya datang daripada anugerah berkaitan dengan seni juga.
“Anugerah ini sememangnya satu penghargaan yang amat bernilai untuk Siti. Selain itu, ia menyuntik semangat Siti untuk terus menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat. Siti tidak mahu menjadi artis yang sekadar menyanyi saja tetapi Siti mahu melakukan sesuatu yang bermanfaat untuk masyarakat contohnya menerusi Yayasan Nurjiwa,” katanya yang bakal meraikan ulang tahun kedua perkahwinannya bersama Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa pada 21 Ogos depan. Perjalanan dua tahun melayari bahtera rumah tangga berlalu dengan cukup pantas. Sedar tidak sedar, sudah dua tahun penyanyi kesayangan ramai itu bergelar isteri kepada usahawan tersohor dari utara tanah air. Dua tahun menyulam kasih, tiada apa yang diharapkan penyanyi yang pernah popular dengan lagu Aku Cinta Padamu itu melainkan rumah tangga yang terus aman dan harmoni. “Walaupun perjalanan Siti dalam melayari alam rumah tangga masih lagi jauh, namun Siti bersyukur tahun pertama dan kedua perkahwinan berjalan dengan baik. Insya-Allah, selagi suami isteri menerapkan rasa sabar serta sama-sama berkomunikasi dengan baik, rumah tangga akan aman bahagia.
“Siti juga perlu tahu tanggungjawab sebagai seorang isteri dan suami juga tahu tanggungjawabnya sebagai suami. Selain itu juga, suami isteri perlu belajar untuk memperbaiki diri masing-masing. Siti juga sentiasa memanjatkan doa kepada Allah semoga terus memberkati perkahwinan kami,” katanya yang masih belum mempunyai sebarang perancangan mengenai sambutan ulang tahun keduanya nanti. Kemungkinan kata penyanyi itu, ia akan diraikan secara kecil-kecilan bersama keluarga terdekat. Sekiranya diadakan secara meriah, dia tidak lupa untuk mengundang rakan-rakan untuk sama-sama meraikan hari bahagianya. Tidak dapat hadir majlis MTV SEMENTARA itu, ditanya mengenai desas-desus bahawa dia tidak akan hadir ke Anugerah MTV Asia yang akan diadakan di Genting Highlands, 2 Ogos depan. Penyanyi itu tidak menafikannya kerana katanya dia mempunyai urusan peribadi yang perlu dibereskan. “Siti tidak dapat pergi kerana ada komitmen lain yang perlu dilunaskan. Kalau boleh memang Siti teringin untuk menyertai tetapi tarikhnya jatuh pada hari yang sama dengan hal peribadi Siti, jadi Siti terpaksa pilih salah satu daripadanya. “Bukan Siti sengaja tidak mahu pergi. Lagipun sebelum ini Siti tidak pernah ketinggalan untuk bersama-sama dengan MTV Asia, hanya kali ini saja. Hal Siti nanti lebih kepada perkara peribadi, Siti tidak ke mana-mana cuma hal dalam negara saja,” katanya.
INFO: Siti Nurhaliza
*Menerima Anugerah Artis Profesional Malaysia anjuran Balai Ikhtisas Malaysia (BIM) 2008 pada Rabu lalu. Anugerah disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
*Bakal meraikan ulang tahun kedua perkahwinannya pada 21 Ogos ini. Perkahwinan Siti dan Khalid sebelum ini menjadi ‘ Wedding of The Year’. Siti menerima hantaran RM30,000 dan mas kahwin RM22,222.22.
*Pernah menerima Anugerah Artis Pilihan Malaysia untuk Anugerah MTV Asia dari 2002 hingga 2005.
*Enam kali dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian.
*Menerima Anugerah Artis Profesional Malaysia anjuran Balai Ikhtisas Malaysia (BIM) 2008 pada Rabu lalu. Anugerah disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
*Bakal meraikan ulang tahun kedua perkahwinannya pada 21 Ogos ini. Perkahwinan Siti dan Khalid sebelum ini menjadi ‘ Wedding of The Year’. Siti menerima hantaran RM30,000 dan mas kahwin RM22,222.22.
*Pernah menerima Anugerah Artis Pilihan Malaysia untuk Anugerah MTV Asia dari 2002 hingga 2005.
*Enam kali dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian.
petikan: BH/280708