I made this widget at MyFlashFetish.com.

Tuesday, July 01, 2008

Mawi beli banglo RM1 juta?


Petikan : BH/01.07.08 Oleh NOR FADZILAH BAHARUDIN [ gambar dari blog sultanmuzaffar ]

KISAH cinta pria popular ini semakin lama semakin meresahkan semua pihak. Baik pihak media mahupun khalayak peminat raja khidmat pesanan ringkas (SMS) ini ternanti-nanti bilakah pengakhiran jalan cerita berakhir. Namun, juara Akademi Fantasia musim ketiga ini semakin bijak bermain dengan kata-kata dan masih belum mahu merungkai ceritera cintanya. Satu demi satu cerita mengenai persediaan perkahwinannya ditulis.

Terbaru, timbul pula cerita mengatakan Mawi bakal memiliki banglo bernilai RM1 juta sebagai persediaan untuk dirinya dan isteri tercinta beristirehat. Tersenyum manis dan malu-malu penyanyi yang popular menerusi lagu Kian ini seakan-akan mahu menyembunyi perkara tersebut.

“Semuanya masih baru dan tidak perlulah saya ulas panjang. Tunggu sahaja masanya nanti saya beritahu semua pihak tentang perkara tersebut. Kalau cerita panjang-panjang nanti orang kata kita menunjuk-nunjuk pula. Jadi biarlah dulu,” katanya.
Menyambung perbualan, penyanyi popular tersebut meminta pengertian semua pihak agar memberinya ruang untuk tidak lagi memperkatakan tentang perkahwinannya.
“Sampai masa saya akan umumkan kepada semua mengenai perkahwinan saya. Sekarang ini belum lagi masanya jadi saya harap semua pihak memahami permintaan saya,” katanya ketika ditemui pada majlis meraikan pemenang cabutan bertuah sempena Minggu Setiausaha anjuran PNB Darby Park, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Jin Notti
Bertukar bicara dalam nada gembira ucap anak kelahiran Felda Taib Andak ini, dia akan mula menjalani penggambaran filem terbarunya yang juga merupakan terbitan KRU Film berjudul Jin Notti. Mengakui tidak serik dengan apa yang telah berlaku pada produksi Aduh Saleha, Mawi yakin pisang tidak akan berbuah dua kali.
“Saya yakin dengan keupayaan KRU, sebab kita pun sudah lihat kejayaan-kejayaan mereka. Itu antara sebab saya menerima tawaran tersebut. Ditambah pula jalan ceritanya kelakar jadi saya amat menyukainya,” jelasnya yang membawa watak Ajis seorang pemuda kampung yang berprinsip dan mementingkan kesempurnaan.
Bergandingan bersama penyampai popular Hot.fm, Fara Fauzana, Mawi bakal berada di lokasi sekitar lapan hari sahaja bagi menyelesaikan penggambaran tersebut.
Terkenang Mesir
Saat ditemui, penyanyi berbintang Virgo ini, dia baru sahaja pulang dari Mesir dan Jordan bagi menjalani rakaman Mawi Di Bumi Anbia. Menceritakan pengalaman di sana jelas Mawi: “Pelbagai tempat-tempat menarik di sana. Saya sangat-sangat terpegun dan bertuah kerana berpeluang untuk melawat tempat-tempat tersebut antaranya makam para nabi seperti Nabi Daniel, Luth dan Harun. Perasaan saya bercampur baur ketika melawat makam-makan tersebut kerana kita dapat rasa keinsafan selepas melawat tempat itu.”
Akui Mawi terdapat juga perbuatan-perbuatan pelik yang dapat dilihatnya ketika di sana.
“Macam-macam benda kita dapat lihat dan salah satunya saya dapat lihat bagaimana ragam orang-orang di sana peluk dan mencium tempat-tempat bersejarah Islam. Macam-macam gaya lagi sehinggakan naik takut melihat betapa ekstremnya mereka,” jelasnya. Malah kata Mawi, antara detik terindah di Mesir yang tidak mampu dilupakannya pastinya ketika melawat salah satu keajaiban dunia, Piramid.
“Saya sangat kagum ketika masuk dalam Piramid. Kawasannya sangat besar dan cantiknya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Hanya ada satu pintu kecil sahaja untuk kita masuk. Kita kena merangkak-rangkak untuk masuk ke tempat tersebut. Sangat menakjubkan dan saya rasa sangat bertuah kerana dapat mengunjungi tempat itu,” katanya. Tambah Mawi, salah satu lagi kenangan yang tidak mungkin dilupakan kala dirinya berpeluang untuk mengalunkan azan di Masjid Hassan di Mesir tanpa menggunakan alat pembesar suara namun laungan azan tersebut dapat didengari di seluruh kawasan itu.