I made this widget at MyFlashFetish.com.

Sunday, July 06, 2008

Spekulasi Berakhir



Maya Karin berkahwin bukan kerana tekanan.

BUKANLAH sesuatu yang mengejutkan apabila pelakon jelita Maya Karin mengumumkan mengenai tarikh perkahwinannya dengan jejaka Inggeris, Steven David Shorthose atau nama Islamnya, Muhamad Ali dalam satu sidang akhbar Jumaat lalu. Angin cintanya dengan seorang pemuda Mat Salleh sudah agak lama bertiup sepoi-sepoi bahasa kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Maya sudah berkias dengan pihak media bahawa dia sudah pun mempunyai seseorang dalam hidupnya.

Bagaimanapun, tanggapan awam masih mahu mempercayai bahawa cinta Maya adalah seorang VIP. Namun dengan pengumuman itu - ya Maya akan melangsungkan perkahwinannya pada 14 Ogos di sebuah taman lokasi percutian terkemuka, Ballegio, Itali - bagaikan melenyapkan spekulasi dan gosip cinta sensasi itu. Bagaimanapun Maya sendiri tidak melihat pengumumannya berhubung tarikh pernikahan bersama Muhammad Ali sebagai berita yang dengan sendiri akan melenyapkan segala cerita liar mengaitkannya dengan VIP tadi. Baginya, dia tidak menghiraukan khabar angin terbabit kerana ia sememangnya tidak berasas. "Sama ada saya mengumumkannya sekarang atau lama dulu, semua itu tidak bermakna kerana mereka yang ingin mempercayai cerita bukan-bukan, akan tetap mempercayainya," katanya pada sidang akhbar yang berlangsung dalam suasana penuh ceria.


Sementara itu, ketika bercerita mengenai majlis perkahwinannya, Maya mengaku dia lebih gembira sekiranya ia diadakan dalam keadaan sederhana saja. "Paling penting, semua orang berasa seronok dan saya dapat meraikannya bersama keluarga, rakan dan tetamu lain dengan seadanya," kata Maya sambil memberitahu, betapa dia berasa rimas untuk memikirkan majlis besar-besaran. Lagipun, kata Maya, perkahwinan ialah perkara yang bersifat peribadi dan amat istimewa. Justeru, dia akan mengadakan majlis keraian pernikahannya mengikut keselesaan diri sendiri. Majlis resepsi di ibu kota nanti juga tidak akan menyaksikan pelakon itu menerima atau membalas sebarang dulang hantaran. Jelas Maya, bukan saja dia dan Muhammad Ali mahukan majlis yang ringkas, malah jejaka itu juga berseorangan di Kuala Lumpur. Lalu tidak masuk akal untuk menyusahkannya menyediakan segala kelengkapan termasuk hantaran.


"Begitu juga ketika di Itali, kami hanya akan melangsungkan acara akad nikah dan menyerahkan mas kahwin saja," kata Maya yang akan mengenakan rekaan Syaiful Baharim pada majlis di Ballegio, manakala acara keraian di Kuala Lumpur pula akan menyaksikannya mengenakan rekaan Radzuan Radziwill. Muhamad Ali sering buat Maya ketawa DEDAH Maya, dia menyenangi pemuda yang 10 tahun lebih tua darinya itu kerana dia seorang yang bersederhana, sering membuat dirinya ketawa dan amat memahami karier seni yang diceburi. "Ketika kami keluar dating pun, kami amat selekeh. Jika kami mengenakan pakaian yang glamor, orang ramai akan memerhati. Kami juga bukannya nampak mesra ketika keluar ke pusat beli-belah atau sebagainya. Jadi, orang ramai tidak peduli. Mungkin dengan cara ini, peminat tidak nampak percintaan kami biarpun saya sebenarnya sudah mula bercerita mengenai Muhammad Ali pada media sejak tiga tahun lalu," kata Maya.

Steven atau Muhammad Ali mula dikenali ketika dia masih menjadi guru kepada adiknya di sebuah sekolah antarabangsa di sini. Namun ia bukanlah cinta pandang pertama buat wanita itu kerana hanya selepas beberapa pertemuan barulah perasaan kasih dan sayang mula bercambah di hati. Ditanya apakah dia sudah bersedia untuk bergelar seorang isteri, pelakon Pontianak Harum Sundal Malam ini berkata, dia tidak berani untuk mengatakan dirinya sudah sepenuhnya bersedia. "Sebenarnya amat sukar untuk menyatakan mengenai perkara ini kerana jika kita menunggu cukup lama sekali pun, belum tentu kita tahu sama ada kita sudah bersedia atau sebaliknya," ujar Maya yang akan memulakan penggambaran filem Pisau Cukur bersama Nur Fazura mulai pertengahan Julai ini.
Mohd. Ali - bakal suami Maya

Info:
· MUHAMMAD ALI memeluk Islam kira-kira empat tahun lalu dan memilih nama terbabit kerana dia menjadikan peninju kulit hitam Amerika, legenda Muhammad Ali sebagai inspirasi.
· PERBINCANGAN mengenai perkahwinan antara dua insan ini mula-mula timbul kira-kira dua tahun lalu. Maya sendiri berkata, sudah lama sebenarnya dia dilamar, namun dia memilih untuk menunggu waktu yang sesuai sebelum bersetuju untuk menaiki pelamin.
· MAYA akan terus berlakon biarpun bergelar seorang isteri. Selepas Pisau Cukur, dia juga dalam perbincangan untuk membintangi sebuah lagi filem arahan Osman Ali. Sebelum ini, Maya berlakon di bawah arahan sutradara muda itu menerusi Anak Halal terbitan Tayangan Unggul.
· KATA Maya, dia dan Muhammad Ali bertemu sewaktu pelakon yang juga penyanyi itu masih lagi belum dikenali. Akui wanita ini, kini agak sukar juga buat mereka berdua apabila karier seninya berkembang maju. Ada masa Maya terpaksa berenggang jauh dengan kekasihnya untuk berminggu-minggu. Namun, Maya berasa cukup bertuah kerana tunangnya itu amat memahami.
· WANITA ini tidak merancang untuk menambah bilangan anggota keluarga dalam masa terdekat. Sebaliknya mereka akan menghabiskan masa secara berdua terlebih dulu, sebelum memikirkan soal cahaya mata.
· MENGENAI gosip mengaitkannya dengan jejaka lain, Maya berkata, pada mulanya Muhammad Ali tidak sedar pun kewujudan cerita liar itu. Tetapi, apabila jejaka itu tahu mengenainya, dia tetap bersikap tenang, malah tidak mempedulikan cerita sebegitu.
· MAYA juga memaklumkan, selain sibuk dengan persediaan untuk ke lokasi filem baru terbitan Red Communications itu, dia juga kini sibuk mencari bahan untuk memulakan kolum sendiri dalam akhbar sisipan B*Pop.


Oleh Nurulhisham Abdul Latiff / BH / 070708