Selama ini mulutnya bagaikan dikunci untuk berbicara soal hati dan perasaan. Tanyalah dan selidiklah walau dengan apa cara sekalipun, jejaka bernama Asmawi Ani atau lebih akrab disapa Mawi ini tetap tidak akan mendedahkan kisah cintanya yang terjalin bersama pelakon Nora’sikin Rahmat atau Ikin. Bagi Mawi, biarlah kisah peribadinya itu disimpan kemas dalam hati tanpa perlu dikongsi sesiapa. Bagaimanapun, sekali air bah, sekali pantai berubah. Tanpa dipaksa, jejaka berusia 27 tahun ini dengan sukarela membuat pengakuan mengenai perjalanan kisah cintanya yang selama ini disimpul rapi menjadi rahsia peribadi.
Pun begitu, tidak semua yang disampaikan Mawi itu boleh dijadikan tatapan umum. Ada ketika Mawi meminta supaya apa yang kami bualkan itu menjadi rahsia atas alasan ingin menjaga hati pelbagai pihak. Selama mengenali Mawi, jarang penulis melihat dia bersikap terlalu terbuka seperti itu. Entah kerana ada kuasa ajaib yang membantu ataupun tuah penulis sendiri, Mawi yang ditemui sewaktu menjalani penggambaran klip video di Rebak Island Resort, Langkawi - A Taj Hotel hujung minggu lalu rela untuk berkongsi kisah suka dukanya sepanjang bergelar kekasih kepada gadis yang berasal dari Johor Bahru itu. Ibarat membaca sebuah novel, helaian demi helaian lembaran percintaan mereka disingkap Mawi. Tuturnya, tidak pernah dia menyangka perkenalan singkat membawa hubungan mereka sejauh ini. Namun itulah yang dikatakan jodoh.
Pun begitu laluan mereka untuk sampai ke tahap ini tidaklah semudah yang disangka. Adat orang bercinta, tidak lengkap andai tidak melalui ujian getir yang hampir saja menggugat keharmonian hubungan mereka. “Sejak kami bercinta, ada saja dugaan yang mendatang. Paling hebat apabila ada insan yang sering menaburkan cerita buruk terhadap kami berdua. Dengan saya, mereka memburukkan Ikin dan dengan Ikin pula macam-macam mereka cucuk sehingga membuatkan hubungan kami hampir berantakan. “Setiap kali membicarakan hal ini, ia berkesudahan dengan pergaduhan. Saya tahu ada orang yang tidak senang melihat kami bahagia. Justeru, kami sudah berjanji, apa saja cerita yang didengar, biarlah diselidik terlebih dulu kebenarannya. “Yang pasti hubungan kami berlandaskan kepercayaan. Pun begitu, saya akui apabila berlaku hal seperti ini, cinta kami berdua makin kuat,” ujar Mawi tenang, setenang wajahnya malam itu.
Menjawab persoalan mereka yang masih ragu-ragu dengan keputusannya untuk menjadikan Ikin sebagai suri hidupnya, Mawi menegaskan isu itu tidak sepatutnya ditimbulkan. “Apapun yang berlaku saya akan pastikan perkara (perkahwinan) ini akan diteruskan juga. Jangan menuduh Ikin yang bukan-bukan kerana saya lebih kenal siapa dirinya yang sebenar. Dia tidaklah seburuk seperti yang disangkakan. “Mengenali Ikin, dia seorang yang sentiasa mengambil berat pasal diri saya dan ikhlas berkawan dengan saya. Dia menerima saya sebagai Asmawi Ani dan bukannya Mawi. “Malahan, dia selalu telefon saya untuk bertanyakan khabar dan dia cukup bersederhana dari segala segi. Lagipun kami sama-sama terbabit dalam dunia seni jadi sedikit sebanyak kami memahami antara satu sama lain,” ujar pelantun Langit Biru sambil memberitahu hubungan mereka itu sememangnya mendapat restu keluarga kedua-dua belah pihak.
DITANYA bagaimanakah mereka berdua memadu kasih memandangkan statusnya sebagai penyanyi popular yang sentiasa menjadi perhatian orang, Mawi berkata perkara itu tidak pernah menjadi masalah buat mereka. “Selalunya kami dating di kedai mamak. Lazimnya kalau kami ingin keluar makan, saya akan ditemani pembantu saya, Ali dan selepas itu barulah Ali akan tinggalkan kami berdua. “Kalau hendak diikutkan, kami memang jarang berjumpa. Seminggu sekali, itupun bergantung kepada jadual saya. Mujurlah telefon dan SMS menjadi penghubung kami berdua,” cerita Mawi yang mengakui dirinya bukanlah seorang yang romantik. Dalam pada tidak mengaku romantik, Mawi sempat juga memberi kejutan kepada gadis kesayangannya itu. Cuma dia agak keberatan untuk menjelaskan dengan lebih lanjut apakah kejutan yang dilakukannya itu. Bersembang dengan Mawi tidak lengkap rasanya andai perbualan itu tidak menyelitkan pertanyaan bilakah Bintang Paling Popular ini akan mendirikan rumah tangga. Apatah lagi ketika ini spekulasi mengenai tarikh perkahwinan mereka semakin hangat disebarkan. Seperti yang dijangka, tidak ada kenyataan rasmi yang keluar dari mulut lelaki ini. “Tunggulah, kami memang sedang menuju ke arah itu. Tapi bilakah masanya, akan saya umumkan kerana saya mahu berlaku adil kepada semua pihak. “Mengenai majlis perkahwinan kami, kalau boleh saya mahukan seringkas yang boleh. Buat apa yang wajib saja. Tapi, saya sedar status saya sebagai selebriti menyukarkan impian seperti itu untuk dilaksanakan,” ujar Mawi yang teringin untuk mengadakan majlis perkahwinannya di kampungnya sendiri iaitu Felda Taib Andak, Kulai Johor .
Ikin Satu Dalam Seribu
KEPUTUSANNYA ini barangkali bakal mengundang kontroversi namun bagi Mawi kontroversi bukanlah sesuatu yang asing buatnya. Malah, sejak keluar dari sangkar emas Akademi Fantasia lagi, Mawi sudah sinonim dengan kontroversi. Justeru, apabila Mawi bersetuju untuk mengundang Ikin menjadi model video klip lagu Satu Dalam Seribu, dia sudah bersedia untuk berdepan dengan pelbagai tanggapan negatif masyarakat. “Apabila dimaklumkan pihak syarikat rakaman yang saya akan digandingkan dengan Ikin untuk video klip lagu ini, saya terus saja bersetuju. Pada saya itu bukanlah satu kesalahan kerana ia juga mendapat sokongan rakan media. “Lagipun, Ikin juga seorang pelakon dan kebetulan dia sekarang tidak terikat dengan mana-mana penggambaran. Malah, hubungan yang terjalin antara kami juga membuatkan saya selesa untuk digandingkan bersamanya,” tegas Mawi. Ditanya tidakkah nanti Ikin akan dituduh cuba menumpang popularitinya apabila muncul dalam video klip arahan Saifullizam Mohd Shah itu, Mawi berkata dia sudah lali dengan tanggapan itu. “Sebelum ini pun saya pernah digandingkan dengan ramai artis ternama seperti Datuk Siti Nurhaliza, M Nasir dan Jamal Abdillah dan orang tetap juga mengatakan yang mereka menumpang populariti saya. “Jadi saya tak kisah pun dengan perkara itu sebab ia bukan datang dari mulut saya,” tutur Mawi lembut. Mengakui sedikit segan kerana itulah kali pertama dia bergandingan dengan pujaan hati, Mawi berkata dia sedaya upaya untuk melakukan tugas itu dengan baik. “Tak dapat dinafikan perasaan malu, janggal dan gementar itu tetap ada. Tapi, kami bersikap profesional. Harap-harap klip video ini akan meletup apabila siapa dihasilkan,” seloroh Mawi sambil ketawa.