Puas dibawa berubat, jawapannya tetap sama apabila kebanyakan doktor yang ditemui mengatakan dia sebenarnya normal serta tidak menghidapi sebarang penyakit berbahaya. Tanda tanya mengenai penyakitnya itu akhirnya terjawab juga apabila ustaz yang merawatnya itu mengesahkan yang dia menjadi mangsa perbuatan sihir seseorang. Biarpun terluka kerana mengetahui orang yang menganiayanya itu seseorang yang amat dikenali namun jelas Chef Wan kepada Hip, bukanlah menjadi sifatnya untuk membalas dendam. Tegasnya, biarlah perbuatan individu itu dibalas Tuhan di akhirat kelak. Apa yang pasti, menurut Chef Wan kehidupan akan tetap diteruskan dan dia juga tidak akan mengalah kerana dia percaya Tuhan maha adil dan sentiasa melindungi mereka yang berada di pihak yang benar.
Hip: Apa sebenarnya yang berlaku kepada Chef Wan?
Chef Wan: Kejadian ini sebenarnya sudah lama berlaku dan sejak kebelakangan ini ia makin serius sehingga mengganggu kerjaya saya. Selama terkena sihir itu, hidup saya tidak lagi normal. Siang dan malam sentiasa diburu ketakutan. Mana tidaknya, setiap kali malam menjelma tidur saya akan diganggu dengan bunyi-bunyian yang menyeramkan seperti ada benda yang merangkak dan mencakar di atas siling rumah. Kadang-kadang saya dengar ada benda terjatuh. Malah, pernah juga saya melihat ada bayangan putih terapung-apung di balkoni rumah sehingga membuatkan saya ketakutan dan tidak boleh tidur sepanjang malam. Bukan itu saja, saya juga diserang penyakit gatal-gatal di seluruh badan. Berminggu-minggu lamanya sehinggakan seluruh badan menjadi bintat dan membengkak. Kaki pula bagai dicucuk jarum. Selera makan mula hilang dan saya akui keadaan ini amat menyeksakan sehingga mengganggu fikiran dan tumpuan pada kerja mula berkurangan. Bayangkan, bagaimana kita hendak bersemangat membuat kerja apabila badan letih dan tidak cukup tidur. Akibatnya, banyak tawaran kerja dan projek yang datang terpaksa ditolak.
Hip: Bagaimana Chef Wan tahu yang penyakit itu gara-gara ilmu hitam?
Chef Wan: Saya sudah bertemu dengan ramai doktor dan setiap kali menjalani rawatan mereka mengatakan semuanya normal. Saya tidak mengidap sebarang penyakit sedangkan hakikatnya saya sendiri merasainya. Jadi apabila doktor sendiri gagal mengesan puncanya, jadi saya pun beralih ke perubatan tradisional. Hasil rawatan ustaz terbabit, saya diberitahu yang saya menjadi mangsa ilmu sihir seseorang yang tidak senang dengan saya. Dan setiap kali apabila saya menjalani rawatan, kebanyakan bomoh dan ustaz yang ditemui semua mengatakan benda yang sama. Mungkin dia yang bomohkan saya itu tak puas hati melihat kesenangan dan kejayaan yang saya raih sebelum ini. Jadi apabila ini berlaku, puaslah hati dia dan tercapailah hajatnya untuk menutup periuk nasi saya.
Hip: Sebagai orang yang berpendidikan tinggi, Chef Wan percaya dengan perkara seperti ini (ilmu hitam)?
Chef Wan: Tak percaya macam mana pula apabila perkara ini menimpa diri kita sendiri. Apa lagi yang perlu dijelaskan apabila saya berjumpa dengan doktor, mereka gagal mengesan penyakit saya walhal badan saya gatal-gatal dan membengkak. Lagipun saya percaya akan kewujudan jin dan syaitan kerana perkara itu sendiri sudah termaktub di dalam al-Quran.
Hip: Mungkin bukan kerana dengki tetapi orang yang bomohkan Chef Wan itu sebenarnya berdendam gara-gara mulut laser Chef Wan sendiri?
Chef Wan: Selama ini semua orang sudah sedia maklum siapakah Chef Wan sebenarnya. Saya bukan jenis orang yang cakap belakang. Jika ada perkara yang tak kena di mata saya, saya akan tegur orang itu secara berdepan. Biasalah, kebenaran ada kala pahit untuk ditelan. Lagipun, saya bukanlah jenis orang yang suka mengambil tahu serta mengacau hal peribadi orang lain. Malah, kebanyakan masa saya dihabiskan di luar negeri kerana menjalani pelbagai penggambaran program masakan. Jadi bila masanya saya nak bergaduh dengan orang lain? Saya percaya orang yang buat saya itu memang dengki dengan saya dan mahu melihat saya jatuh dalam bidang ini. Itulah juga kenyataan yang dikeluarkan ustaz yang merawat saya.
Hip: Tidak mahu ambil apa-apa tindakan sementelah Chef Wan kenal individu itu?
Chef Wan: Bukanlah sifat saya untuk membalas dendam atau memulangkan balik apa yang dihantarnya kepada saya itu. Bagi saya biar Allah saja menghukum dia di akhirat kelak. Saya pasrah dengan apa yang berlaku dan saya tahu saya juga akan menjadi sepertinya kalau saya berniat untuk membalas dendam. Saya percaya Tuhan akan menolong insan yang teraniaya. Tapi harus diingat, selagi nyawa di kandung badan, saya tidak akan mengaku kalah. Perjuangan akan tetap diteruskan sampai bila-bila. Saya tidak akan berhenti dari melakukan apa yang saya lakukan ketika ini. Malah, ia seolah-olah menjadikan semangat saya lebih kuat. Cuma di sini saya ingin mencabar dia supaya tampil berdepan kalau benar dia yang membomohkan saya kerana saya sendiri hendak tahu apa salah saya terhadapnya.
Hip: Serik untuk mempercayai sesiapa selepas ini?
Chef Wan: Kejadian ini bagaikan petanda supaya saya lebih berhati-hati dalam mempercayai sesiapa saja. Tapi mujurlah semua rakan-rakan, peminat memberi sokongan tidak berbelah bagi serta melahirkan simpati mereka terhadap apa yang berlaku. Malah mereka juga mendoakan kesejahteraan saya sehingga ke akhir hayat. Dan semangat mereka itulah yang menjadikan saya kuat untuk berdepan semua ini.
Oleh Farihad Shalla Mahmud/ BH/230708
KOMEN JEFBUJ
Perkara bomoh membomoh ni berlaku sejak dulu lagi malah berleluasa hingga kini. Hasad dengki manusia memang tidak boleh diubat. Selagi org itu tidak jatuh selagi itulah mereka berusaha.
Macam kes Chef Wan, beliau adalah seorang selebriti & jutawan, maka tidak hairanlah ramai org yang dengki. Sekiranya Chef Wan memang tahu siapa yang membomohkan dia, sepatutnya Chef Wan cepat bertindak. Jangan bila sudah terlantar baru nak berubat. Nasihat saya, Chef Wan harus bersemuka dengan org itu dan menyelesaikan segala masalah. Chef Wan sendiri mungkin tidak tahu kemungkinan beliau tersalah cakap atau membuat sesuatu yang menyinggung perasaan org. Biasanya seseorang itu berbuat sesuatu dengan bersebab. Apa-apapun terserahlah kepada empunya badan!