Perjalanan hidup Mawi berubah sekelip mata sejak bergelar juara AF3 SEANDAINYA ditanya kepada Raja Sistem Pesanan Ringkas (SMS), cuma jawapan ringkas mampu diberikan penyanyi bernama Mawi ini mengenai kediaman barunya yang dikatakan bernilai jutaan ringgit. “Iya memang saya ada membeli rumah sebagai aset masa depan. Mana ada sampai RM1 juta, ada-ada saja,” kata Mawi berseloroh yang agak keberatan untuk bercerita panjang mengenai banglo bernilai lebih RM1 juta itu ketika ditemui pada majlis minum petang yang diadakan di PNB Darby Park, baru-baru ini.
Banglo mewah yang terletak di pinggir kota raya itu difahamkan dibeli penyanyi yang terkenal dengan lagu Aduh Saliha itu daripada orang perseorangan selepas diperkenalkan oleh temannya. Hip difahamkan kediaman dua tingkat yang dilatari pemandangan indah dengan kehijauan pepohon di sebuah kawasan eksklusif turut menjalani proses pengubahsuaian untuk keselesaan penghuninya. Ketika ini, Mawi yang sedang menjalani penggambaran untuk filem keduanya, Jin Notti menyewa di sebuah kondominium di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.
Sumber memberitahu Hip, Mawi baru-baru ini turut mengadakan majlis tahlil dan kesyukuran walaupun belum menetap secara rasmi di kediaman barunya itu. Melewati kejayaan selepas menjuarai pertandingan realiti, Akademi Fantasia musim ketiga, tiga tahun lalu mengubah sepenuhnya hidup pemuda kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu. Bagaikan mengharungi sebuah kisah fantasi yang dipenuhi warna indah, perjalanan hidup Mawi berubah sekelip mata apabila tuah berpihak kepadanya sebaik menjulang trofi juara AF3. Rentetan kisah hidup Mawi yang umpama menyelak helaian novel yang sarat plot serta sukar untuk ditebak pengakhirannya membuatkan apa saja yang dilakukan pemuda berusia 29 tahun itu menjadi perhatian.
Sebaik berita mengenai banglo bernilai RM1 juta itu disebarkan, seakan mengesahkan khabar yang hangat bertiup dan diperdebatkan pihak media. Sejak mengakui menjalin hubungan istimewa dengan pelakon, Nora’ashikin Rahmat atau Ikin pada 30 Mac lalu, ramai pihak menantikan perkembangan terkini merpati dua sejoli itu. Pembelian banglo itu juga dikaitkan sebagai persediaan untuk dirinya dan isteri tercinta beristirahat. Mawi yang popular dengan lagu Terharu, bagaimanapun, dalam keadaan tersipu cuba menyembunyikan perkara itu. “Semuanya masih baru dan tidak perlulah saya ulas panjang. Tunggu saja masanya nanti. Apabila tiba masa yang tepat, saya akan umumkan kepada semua pihak. “Bimbang juga kalau bercerita panjang, nanti dikata orang menunjuk-nunjuk pula. Bersabarlah kerana perkara yang baik ini tidak akan saya sembunyikan,” janjinya. Memohon pengertian semua pihak supaya memberikannya sedikit ruang untuk menentukan masa depannya, Mawi juga berharap segala spekulasi mengenai tarikh pernikahannya tidak lagi diperdebatkan.
Cerita baru mengenai Mawi:
· KINI sibuk di lokasi penggambaran filem terbitan KRU Film, Jin Notti yang menggandingkannya dengan penyampai radio Hot FM, Fara Fauzana. Biarpun produksi filem sulung lakonannya, Aduh Saliha masih belum tamat, Mawi tidak serik untuk mencuba.
· MEMBAWAKAN watak komedi sebagai Ajis, pemuda kampung yang berprinsip dan mementingkan kesempurnaan.
· BARU pulang dari Mesir dan Jordan menjayakan rakaman Mawi Di Bumi Anbia. Banyak tempat menarik dilawatinya di sana. Apa yang membuatkan Mawi terpegun apabila dia berkesempatan melawat makam anbia seperti Nabi Daniel, Luth dan Harun.
· ANTARA detik terindah dan tidak mampu dilupakannya apabila berpeluang menatap dengan mata sendiri satu daripada tujuh keajaiban dunia iaitu piramid. Kawasan sekitarnya bagi Mawi terlalu cantik.
· SATU lagi kenangan yang tidak mungkin dilupakan apabila berpeluang mengalunkan azan di Masjid Hassan di Mesir tanpa menggunakan alat pembesar suara. Lebih membuatkan Mawi terharu apabila laungan azan itu dapat didengari di seluruh kawasan berkenaan.
petikan : Utusan Malaysia / 070708