Oleh Rozdan Mazalan
“Ini semuanya atas kehendak diri sendiri. Saya betul-betul tekad untuk menurunkan berat badan. Badan saya mula naik sejak umur 12 tahun lagi dan sehingga umur 24 tahun. Saya rasa sudah sampai masanya saya berbuat demikian. “Jika hendak diikutkan dari dulu lagi saya boleh berbuat demikian sebab mak saya seorang guru aerobik dan pengamal herba tradisional. “Tetapi masa itu saya tidak mahu lagi dan sekarang ini herba yang dibuatnya banyak membantu selain mengamalkan diet dan bersenam,” katanya yang membuat keputusan untuk mengurangkan berat badan dengan berat hati pada mulanya.
Kini Mek yang sudah 15 bulan tidak menjamah nasi masih mengamalkan herba kerana percaya banyak khasiat yang diperoleh dengan mengamalkan pemakanan itu. “Apabila berat badan menurun secara mendadak banyak syarikat kesihatan mempelawa saya untuk menjadikan saya sebagai duta mereka, namun saya tidak mahu menipu orang ramai kerana apa yang saya makan hanyalah herba yang mak buat. “Saya juga bercadang untuk mengeluarkan produk herba kesihatan ini dengan menggunakan nama saya sendiri tidak lama lagi lebih-lebih lagi produk herba itu pun sudah mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan. “Alhamdulillah, baru-baru ini saya mendapat tempahan sebanyak satu kontena produk kesihatan untuk dipasarkan ke India. Jika tidak ada aral melintang mungkin saya akan melancarkan produk herba ini dalam masa terdekat ini,” katanya.
Selain mengamalkan herba, Mek tetap melakukan aktiviti senaman secara berjadual kerana baginya tanpa senaman hasilnya tidak akan berjaya. “Setiap hari saya akan mengambil masa selama dua jam untuk berjoging dan memakan buah-buahan untuk menambahkan tenaga. Selain itu juga saya tetap memakan makanan yang berkanji seperti bihun yang diambil satu kali sehari. “Selang dua minggu sekali saya akan berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat selain banyak membaca buku-buku berkaitan kesihatan. “Alhamdulillah kini saya percaya dengan usaha yang saya lakukan ini menampakkan hasilnya dan saya juga percaya sesiapa saja akan berjaya dengan usaha gigih yang mereka lakukan. “Kini saya merasakan semakin berkeyakinan untuk terus bergiat aktif dalam bidang yang saya ceburi ini,” katanya yang kini mengendalikan program Nasi Lemak Kopi ‘O’ setiap Jumaat dan Sabtu menerusi TV9.
Info
Nama: Nik Sayyidah Fatiha Yazid
Umur: 25 tahun
Tarikh Lahir: 14 Ogos 1982 Asal: Kota Bharu, Kelantan
Adik Beradik: Anak Sulong dari tiga beradik
Pendidikan: Ijazah Pentadbiran Undang-undang, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam. Program TV: Salam Pantai Timur, Nasi Lemak Kopi 'O' dan Ezora