I made this widget at MyFlashFetish.com.

Monday, August 25, 2008

Persembahan Bagus, Vokal Tenggelam


Tha Paragon Child

3.5

TIDAK dinafikan persembahan semua kumpulan yang beraksi di peringkat akhir Gang Starz musim kedua di Stadium Malawati, Shah Alam, pada keseluruhannya memang menarik dan menghiburkan. Ia menyerlahkan kreativiti daripada setiap peserta terutama dalam gerak tari dan penyusunan semula lagu yang hendak dinyanyikan mengikut kesesuaian imej dan gaya masing-masing. Bagaimanapun seperti kata seorang juri dalam pertandingan ini, Sheikh Haikal, disebabkan masing-masing terlalu memberi tumpuan untuk memberikan persembahan terbaik, kebanyakan kumpulan lalai terhadap kualiti vokal.



Konsep program Gang Starz adalah pertandingan mencari bakat baru yang boleh menyanyi secara berkumpulan dianggotai sekurang-kurangnya tiga orang. Mencari keharmonian vokal dianggap lebih sukar daripada kumpulan muzik kerana tumpuan vokal terletak pada seorang penyanyi saja. Daripada konsep itu, persembahan keseluruhan daripada juara Gang Starz musim kedua, One Nation Emcees (ONE) memang cukup menakjubkan dan menghiburkan. Sorakan penonton dalam Stadium Malawati menjadi petanda awal mereka bakal menjuarai pertandingan ini. Biarpun tampil dengan imej hip hop, tetapi lagu yang dinyanyikan malam final seolah-olah kena dengan mereka.

DAPAT PERHATIAN: Wakil Filipina, kumpulan 3.5 dianggotai Jellica (dari kiri), Stef dan Sharra.
Persembahan ini diadakan dalam dua pusingan. Pada pusingan pertama, One Nation Emcees menampilkan medley lagu Kuda Hitam, Madu & Racun dan Don’t Punk With My Heart. Memang menarik apabila muzik dangdut seperti Kuda Hitam dan Madu & Racun diadunkan dengan rentak hip hop. “Persembahan yang cukup bertenaga. Anda memilih lagu yang popular jadi apa yang bayangkan ialah anda perlu membuat persembahan yang lebih popular daripada lagu itu,” katanya yang kemudian memberikan empat bintang kepada kumpulan itu. One Nation Emcees dianggotai oleh Nur Hassan Baias (Jojoe), Mohd Norzaidi Edris (Zydee), Mohamed Fareezan Mohamed Murtaza (Kozae) dan Shamimi Amalina Norhisham (Mimi). Syafinaz yang turut memberikan empat bintang kepada One Nation Emcees juga mengakui betapa persembahan mereka cukup menarik dan menghiburkan.


“Tapi yang paling menonjol ialah Mimi. Awak (Mimi) melakukan sesuatu yang istimewa dalam kumpulan ini,” katanya. Bagi persembahan pusingan kedua, One Nation Emcees membawakan lagu Mas Mona dan Kenanganku yang dinyanyikan oleh Datuk Jeffrydin. Kali ini Zydee pula tampil sebagai vokalis utama untuk membawakan kedua-dua lagu itu. Memang menarik dan menghiburkan apabila Jeffrydin bukan saja turut menyanyi bersama tetapi turut ‘sporting’ apabila dia sama-sama menari dengan mereka. Di sebalik keseronokan melihat aksi itu, vokal Zydee agak tenggelam, sebutan kurang jelas dan nafasnya seperti tercungap-cungap. “Awak bernasib baik kerana Datuk Jeffrydin menjadikan persembahan anda menjadi lebih baik. Jeffrydin memberikan jiwa kepada persembahan anda,” kata Ajai.

Kumpulan Akasia yang mendapat gelaran ‘kumpulan makcik-makcik’ juga tidaklah menghampakan sangat. Persembahan mereka memang sederhana tetapi memang masing-masing ada usaha untuk memberikan persembahan terbaik. Pada awalnya mereka membawakan lagu Salam Terakhir nyanyian asal Sudirman dan Destinasi Cinta yang dipopularkan oleh Datuk Siti Nurhaliza. Dirasakan lagu Salam Terakhir agak jelas kurang sesuai untuk dinyanyikan secara beramai-ramai. Namun, keserasian mula terbina apabila mereka menyanyikan lagu Destinasi Cinta. Dalam persembahan pusingan kedua, Akasia menyanyikan lagu Ting Ting dan Hatinya Tak Tahan. Mereka berpadu suara dengan Noraniza Idris. Sayangnya, mereka ditenggelami dengan vokal Noraniza menjadikan penonton seperti tidak melihat persembahan daripada Akasia.

Selepas tampil dengan persembahan yang agak hambar pada pusingan pertama, wakil dari Indonesia, D’Reborn kembali dengan aksi lebih bertenaga pada pusingan kedua London Bridge dan Seandainya Masih Ada Cinta. Gabungan vokal bersama penyanyi undangan, Dayang Nurfaizah memang menyerlah. Penyanyi itu seolah-olah menyuntik tenaga kepada D’Reborn untuk beraksi lebih bertenaga. “D’Reborn, anda memang ‘lahir semula’ menerusi persembahan kali ini. Indonesia memang sentiasa melahirkan kumpulan vokal berbakat besar. Anda harus membuktikannya,” kata pengurus artis yang juga pengarah dan pelakon teater Filipina, Audie Gemora yang menjadi juri dalam program ini.

Inisiatif wakil Filipina iaitu kumpulan 3.5 menyampaikan lagu bahasa Melayu, Ceritera Cinta nyanyian Jaclyn Victor dan Rio Febrians memang amat memuaskan. Untuk lagu itu, 3.5 yang terdiri daripada Jellica Mateo (Jeli), Sherylad Deza Virgen (Sharra) dan Stephanie Lazaro-Bainbrigge (Stef) dengan vokal mengikut lenggok masing-masing berduet dengan Lah VE. Mereka juga berpadu suara dengan Lah menyanyikan lagu Endless Love, sebelum beraksi lebih ligat ketika menyanyikan lagu Power Of Love, De Javu dan Proud Mary . Sementara itu, Paragon Child juga tidak ketinggalan untuk cuba menarik perhatian penonton tempatan apabila mereka turut menyanyikan lagu bahasa Melayu, Hi Hi Bye Bye bersama penyanyi lagu itu, Ezlyn. Bersama Ezlyn juga mereka berduet menyanyikan lagu Hips Don’t Lie.

Komen Jefbuj :

Walau apapun keputusan malam itu, saya rasa D' Reborn atau Paragon Child yang sepatutnya dinobatkan menjadi Juara! Setakat lagu 60an dan rentak hip hop, tidak akan bertahan sepertimana komen saya sebelum ini. Kalau dibandingkan dari segi vokal, kumpulan One Nation Emcees jauh ketinggalan. Saya percaya kalau undi dibuka kepada negara luar, semestinya Kumpulan Paragon Child atau D'Reborn yang akan jadi juara!