Petikan : HMetro/Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Syarifah Dayana Syed Bakriam@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: “Saya bukan melarikan diri daripada membayar hutang along...(tapi) mereka (along) nak saya mati!” Demikian dakwa Mohd Yazli Yaacob, 38, suami pelakon Wan Nor Azlin Wan Mohd Husain, yang keluar dari persembunyiannya, semalam.Malah, bapa kepada tiga anak itu sambil menitiskan air mata menyatakan dia bukan melarikan diri daripada melaksanakan tanggungjawab kepada keluarga, namun memerlukan masa untuk selesaikan masalah utama iaitu hutang pinjaman along.Menurutnya, dia akan tetap kembali ke pangkuan keluarga apabila semua masalah itu dapat diselesaikan nanti.“Dengan penuh rasa rendah diri, saya memohon maaf kepada keluarga dan isteri. Saya tidak mahu perkara ini berlaku, tetapi ia tetap berlaku,” katanya ketika ditemui di sebuah hotel di sini, semalam.
Mohd Yazli mengakui dia menghilangkan diri hampir dua bulan selepas rumahnya di Damansara diserang ceti haram kerana menghadapi masalah hutang dengan 31 along.
“Saya kecewa dengan apa yang berlaku terutama laporan media yang mensensasikan kejadian ini. Semuanya gara-gara saya silap membuat keputusan dan akhirnya ia memakan diri. “Saya terpaksa meminjam wang daripada along kerana terdesak membayar hutang. Saya pernah menjadi penjamin untuk beberapa rakan kongsi dan bila tiba masa mereka tidak membayar hutang berkenaan...saya menjadi mangsa.“Hutang saya hanya dalam lingkungan RM30,000 hingga RM50,000, tetapi kerana jumlah bunga yang tinggi, maka hutang saya menjadi hampir RM300,000,” katanya yang mendakwa menjadi mangsa ‘permainan’ along untuk memeras ugut segala wang miliknya sehingga menyebabkan dia kehilangan semua harta dimiliki.
Menurutnya, lebih memeritkan keadaan apabila along terbabit memaksanya membayar ‘bunga’ hutang terbabit mencecah RM5,000 sehari atau 60 peratus faedah setahun.“Jumlah bunga yang perlu ditanggung melebihi pinjaman yang saya buat. Sehingga kini, saya masih berusaha menjelaskan semua hutang berkenaan.“Malah, jika dikira jumlah hutang sebenar membabitkan ‘bunga’ yang tertunggak sejak beberapa bulan lalu, tidak mustahil hutang itu meningkat kepada RM1 juta atau RM2 juta kini,” katanya.
Menurutnya, dia sudah membayar balik hutang along sekitar RM300,000 sejak sembilan bulan lalu, namun jumlah baki hutang langsung tidak susut.Ditanya bagaimanapun dia boleh terjebak, Yazli mendedahkan dia mula membuat pinjaman along atas pujukan rakannya, namun menjadi ‘kambing hitam’ selepas pinjaman dibuat itu gagal dilunaskan.Berikutan itu, seorang temannya yang juga seorang kenamaan memperkenalkannya dengan satu kumpulan samseng dikenali ‘Geng Aceng’ yang berjanji memberi perlindungan jika berdepan sebarang gangguan daripada kumpulan along.
“Saya yang kusut ketika itu diyakinkan kumpulan samseng itu mampu menghentikan ancaman along selain menjaga keselamatan anak dan isteri saya.“Justeru, saya membayar RM30,000 kepada kumpulan itu supaya mereka dapat menjaga keselamatan keluarga saya. Namun, apa yang berlaku ialah mereka tidak berbuat apa-apa terutama selepas kejadian rumah kami disimbah cat pada 30 Julai lalu,” katanya.Menurutnya, kumpulan samseng terbabit sebaliknya umpama menangguk di air keruh apabila ketua mereka terus mengugutnya supaya membayar wang perlindungan selepas kejadian itu.
“Akibatnya, saya terpaksa menyerahkan kereta Hyundai Matrix kerana tidak mampu membayar jumlah yang mereka mahukan,” katanya.Menurutnya, Jumaat minggu lalu, kumpulan samseng terbabit merampas kereta Mercedes yang dimilikinya kerana dia enggan membuat sebarang bayaran.“Saya bukan hanya menjadi mangsa ugutan along, malah kini turut diburu kumpulan samseng yang memeras ugut wang saya,” katanya. Mohd Yazli berkata, dia akan cuba melunaskan semua hutang berkenaan dan meminta isteri dan keluarganya memahami apa yang dihadapinya.“Saya sangat tertekan dan fikiran jadi buntu. Tindakan along mengugut keluarga saya menyebabkan maruah dan nama baik saya tercemar. Saya kehilangan segala-galanya,” katanya.
Menurutnya, ancaman dan gangguan berterusan daripada along itu menyebabkan dia tidak boleh bergerak dan bekerja sekali gus menghalang niatnya untuk melunaskan hutang itu.
komen Jefbuj
Ini sebagai pengajaran. Walau terdesak macamana sekalipun, kita jangan silap langkah dengan mendapat wang segera dari Along. Harus diingatkan, bunga yang dikenakan oleh Along adalah ' daily basis ' maknanya kalau kita pinjam RM 100.00 bunganya mungkin RM 10.00 sehari. Kalau kita lunaskan hutang dalam sebulan maka bunga nya RM 300.00. Kalau 3 bulan, hampir RM 1000.00 ! Berbaloi ke ? Tepuk dada tanya selera !