I made this widget at MyFlashFetish.com.

Friday, August 22, 2008

Juara Gang Starz 2 ?

petikan Berita Harian / Zul Husni Abdul Hamid /220808
Laluan makin sukar: Sesiapa saja boleh menjadi juara Gang Starz
kerana setiap kumpulan miliki keistimewaan tersendiri

SEANDAINYA diselami perasaan setiap mereka, pastinya jawapan yang sama dibisikkan. Bersyukur kerana masih diberikan kepercayaan untuk bertahan dalam Gang Starz 2, walaupun terpaksa menempuh laluan sukar untuk melangkah ke tahap itu. One Nation Emcees yang mewakili Malaysia masih tidak dapat melindungi perasaan terkejut meskipun ramai meramalkan mereka dengan mudah akan membolosi ruang beraksi di final. Akui Mimie, ketika beraksi pada konsert ke-11, dua minggu lalu, mereka bertarung hebat dengan perasaan sendiri. Apatah lagi, konsert itu juga menjadi titik penentu apakah One Nation Emcees akan terus bertahan atau hanya tinggal sejarah dalam pertandingan itu.


“Kami terlalu berdebar namun di pentas kami cuba sebaik mungkin mengawal perasaan itu. Membolos ke final adalah pencapaian di luar jangkaan. “Berbanding kumpulan lain, One Nation Emcees punya kekurangan kerana vokal kami tidak semantap mereka. Namun, kami sentiasa cuba memberikan yang terbaik dan apa yang penting, mahu semua penyokong terhibur dengan apa yang dipersembahkan setiap kali kami membuat persembahan,” katanya. Jujur kata Mimie, ketika Gang Starz 2 mendekati kemuncak, mereka semakin peka dengan kehendak juri. Mungkin di permulaan mereka agak keliru tetapi pengalaman banyak mematangkan One Nation Emcees.


Sekali pun pada persaingan akhir itu, mereka masih melakukan kesilapan dalam pemilihan lagu, One Nation Emcees berjanji untuk final Gang Starz nanti, identiti mereka sebagai kumpulan hip hop akan diserlahkan menerusi pilihan lagu bersesuaian. Akui Mimie, kekuatannya hampir tergugat setiap kali One Nation Emcees teruk dikritik namun semangat yang diberikan tiga teman sekumpulannya memberikan keyakinan untuk dia meneruskan perjuangan. “Mungkin kami punya kekurangan dari segi vokal tetapi One Nation Emcees punya kelebihan dari segi lain. Sama seperti kumpulan lain, setiap kami punya keistimewaan masing-masing. “Jujurnya setiap kumpulan punya potensi besar untuk meraih kejuaraan dan bagi kami, apa yang penting berusaha keras supaya tidak memalukan nama negara sendiri,” kata Mimie yang melihat persaingan hebat diterima daripada D’Reborn dan Paragon Child kerana mereka mempunyai kekuatan pada vokal dan persembahan.


BERBEZA trio tiga gadis dari Filipina, 3.5 yang mengakui, mereka dilanda debaran cukup hebat sebelum dimaklumkan layak ke final. Suasana hingar bingar di dewan, ditambah masalah bahasa membuatkan mereka tidak mampu membaca apa yang sedang berlaku. “Disebabkan itu, kami tidak dapat menahan perasaan sebaik diumumkan terpilih ke final. Pencapaian ini cukup membanggakan kerana kami bekerja keras untuk melangkah ke final. “Kekuatan ini kami terima daripada Sharra dan kami harus berterima kasih kepadanya. Pengalaman Sharra banyak membantu 3.5 malah dia yang menyedarkan kami 3.5 ialah sebuah kumpulan vokal dan bukan penyanyi solo,” kata Jellica Mateo atau akrab disapa Jeli dipersetujui Stephanie Lazaro-Bainbrigge (Stef). Enggan meramalkan siapa yang bakal meraih kejuaraan, keutamaan 3.5 adalah pada persembahan yang menyerlahkan kelebihan vokal mereka. Apa yang penting ketika ini, adalah memberikan persembahan yang memuaskan hati penyokong mereka di samping membanggakan teman mereka, Pow yang terpaksa berkorban apabila digugurkan daripada menyertai Gang Starz. “Lebih membuatkan kami terharu, Pow ada memberitahu dia akan bersama pada malam final nanti. Sudah pasti kedatangannya menyuntik kekuatan kepada 3.5 kerana kumpulan ini tertubuh juga atas usahanya,” kata Jeli.


SEMENTARA itu, D’Reborn yang juga wakil tunggal Indonesia mengakui, mereka tidak mahu meletak harapan yang tinggi kerana semuanya serba berkemungkinan. Pernah dulu mereka yakin untuk terus bertahan, malah persembahan juga mendapat pujian juri. Malangnya undian penonton tidak berpihak lalu meletakkan mereka dalam kelompok tiga terbawah. “Terasa peluang untuk ke final itu ada tetapi memikirkan apa yang pernah kami lalui dulu membuatkan kami sedikit ragu. Justeru, kami hanya mampu berdoa dapat ke final malah turut bersedia jika keputusan adalah sebaliknya. “Tahu tak kami juga sudah mengemas semua barang tapi ternyata kami masih diberi kesempatan untuk meneruskan langkah dalam pertandingan ini,” kata Alex mewakili tiga lagi temannya. Akui Christy, mereka melihat kelebihan kepada Paragon Child dan One Nation Emcees yang mempunyai tenaga luar biasa apabila di pentas. Disebabkan itu katanya, mereka mementingkan pemilihan lagu yang tepat kerana ia memainkan peranan besar di samping menyerlahkan kekuatan D’Reborn sebagai sebuah kumpulan vokal. “Yang utama jangan mudah rasa puas kerana itu hanya membataskan langkah untuk terus menjadi yang terbaik. Kami sentiasa menerima saranan dan cuba memperbaiki kerana semua itu memberi motivasi kepada D’Reborn untuk memantapkan kemunculan. “Persaingan memang kuat namun kami akan terus belajar kerana proses itu tidak akan berhenti jika mahu dihormati dan disegani apabila berada di gelanggang profesional nanti,” katanya. Menang, kalah perkara kedua


BERLAINAN dengan Paragon Child yang menyangkakan perjuangan mereka hanya terhenti setakat konsert ke-11, apatah lagi ketika pengumuman dibuat mereka disatukan bersama One Nation Emcees. “Sangka kami pasti tersingkir selepas One Nation Emcees diumumkan terpilih. Tapi, ternyata ia sebaliknya dan ketika ini sukar untuk kami menceritakan apa yang bermain di fikiran. “Semuanya bercampur baur malah pada mula tadi, agak sukar juga untuk mengawal rasa terkejut itu. Siapa yang tidak mahu ke final, lebih lagi apabila memikirkan perjalanan panjang yang sudah kami rentasi,” kata mereka. Akui Paragon Child, matlamat mereka pada final nanti adalah melakukan persembahan terbaik tanpa terlalu memikirkan soal persaingan. Menang atau tidak bagi mereka, itu perkara kedua kerana jika terlalu memikirkan kemenangan tumpuan mereka akan terjejas malah memberikan lebih tekanan. “Siapa pun yang menang nanti sememangnya mereka layak kerana setiap kami berusaha keras untuk mencapai tahap ini. Kami akan berkongsi kegembiraan itu, malah lebih membuatkan Paragon Child terharu kerana kami tidak menyangka akan mampu bertahan sejauh ini,” kata mereka. Serasi dengan lagu etnik


ANTARA percaya dan tidak, Akasia dari Malaysia turut menggalas harapan untuk mengharumkan nama negara apabila turut terpilih dalam senarai Top 5. Meskipun ramai meramalkan perjalanan mereka tidak panjang, ternyata usaha lima wanita yang membentuk Akasia sejak 1 Mei lalu membawa mereka ke final. “Masa diumumkan lima kumpulan akan terpilih ke final, kami menaruh sedikit harapan dan alhamdulillah, rezeki berpihak kepada Akasia,” kata mereka. Akur persembahan mereka tidak sekuat kumpulan lain, namun itu tidak pernah dijadikan alasan untuk menafikan kelebihan yang mereka miliki. Disebabkan itu, Akasia berani melakukan percubaan malah bereksperimen sepanjang menyertai Gang Starz untuk mencari konsep terbaik dalam persembahan mereka. “Memang kami serasi dengan lagu etnik cuma konsep persembahan itu perlu divariasikan supaya tidak menimbulkan kebosanan kepada penonton. “Bukan mudah untuk kumpulan yang baru bergabung mencipta keserasian tetapi kami sentiasa berusaha dan memperbaiki kelemahan yang ada. “Peluang ini tidak akan kami sia-siakan dan Insya-Allah, Akasia cuba memberikan yang terbaik untuk tidak menghampakan mereka yang percaya dengan kelebihan kami,” kata mereka.
komen jefbuj
Sejak dari mula lagi saya telah menyokong Paragon Child!!! Paragon Child yang memiliki suara yang mantap, begitu bertenaga apabila berada di atas pentas. Disamping itu mereka dapat menghafal lagu Bahasa Malaysia dan memberi persembahan yang begitu menakjubkan setiap kali persembahan mereka. Pilihan ke 2 saya adalah 3.5 juga dari Filipina. Mana ada penyanyi berkumpulan semantap mereka di Malaysia sekarang? Mereka mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Maka tidak hairanlah bila diberi apa jenis lagupun mereka selalu membuat yang terbaik.
Bukan menidakkan kebolehan kumpulan lain, pendapat saya persembahan mereka walaupun mantap tetapi tidak memberi kelainan langsung. Contohnya kumpulan D'Reborn, kebolehan mereka kira setaraf dengan kumpulan dan band2 dari Indonesia yang telah lama bertapak di Malaysia. Bukak mulut je, kita dah tau ini kumpulan Indonesia. Walaupun saya peminat setia kumpulan dari Indonesia namun saya mahukan kelainan dari biasa.
Kumpulan One Nation Emcees pula, saya memang tidak suka irama Hip Hop dipertandingkan. Memang tiada seni langsung. Setakat terkinja-kinja atas pentas dan rapping tanpa irama, macamana nak lawan orang yang menyanyi dengan irama & melodi???? Kadang2 saya pelik dengan pengundi2 diluar sana, suka sangat terpengaruh dengan irama sebegini. Cuba tengok kumpulan Hip Hop kat Malaysia yang meletup2 sebelum ni... di manakah mereka sekarang???
Saya tak ada komen untuk AKASIA, bagi saya tiada istimewa nya kumpulan ini untuk dibincangkan. Saya tidak faham bagaimana pengundi boleh mengundi mereka. Bagus sangat ke mereka dari kumpulan yang tersingkir sebelum ini yang lebih layak???? Ko piker lah sendiri.... bak kata Nabil!
Apa-apapun saya harap Paragon Child yang menang final nanti. Walaubagaimanapun saya dapat agak, dari trend yang kita lihat..... mungkin One Nation Emcees yang bawak piala juara nanti... :P