NORYN Aziz dan Ikhwal Hafiz Ismail bersama anugerah dimenangi pada World Championship of Performing Arts Ke-12 di Hollywood, Los Angeles, baru-baru ini.
SEPANG 12 Ogos - "Hanya Tuhan yang tahu bagaimana perasaan dan tekanan yang saya hadapi ketika itu. Saya berjaya membuktikan bahawa Malaysia juga mampu hasilkan bakat yang bagus."
Demikian reaksi penyanyi terkenal, Noryn Aziz apabila muncul sebagai artis pertama negara yang berjaya melayakkan diri ke peringkat Grand Final, World Championship of Performing Arts (WCOP) yang berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Penyanyi itu berkata demikian kepada wartawan sejurus tiba dari Los Angeles di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.
Dalam pertandingan yang diadakan dari 18 hingga 26 Julai lalu, Noryn berjaya mengalahkan lebih 5,000 peserta mewakili 41 buah negara yang bertanding untuk ke peringkat tersebut.
Sebelum ini, beberapa artis Malaysia seperti Syafinaz Selamat, Dina, Deja Moss dan Datin Norish Karman pernah menggondol pingat emas pada pertandingan yang serupa.
Bagaimanapun, belum pernah lagi artis Malaysia berjaya ke peringkat kemuncak pertandingan yang dianggap sebagai Olimpik dalam bidang seni persembahan.
Selain itu, Noryn juga berjaya dinobatkan sebagai Penyanyi Pop Terbaik di samping membawa pulang tiga pingat emas dan satu perak menerusi kategori pop, R&B jazz, komposisi asli serta broadway.
Bukan itu sahaja, Noryn turut merangkul Anugerah Industri yang diberikan oleh penganjur kepada artis yang berpotensi untuk diketengahkan ke pasaran AS.
Meskipun mendapat tempat kedua iaitu tewas kepada peserta Jamaica yang dinobatkan sebagai juara, Noryn masih menganggap ia satu pengalaman memberangsangkan dalam karier seninya.
"Memang saya tidak nafikan banyak tawaran yang saya terima daripada wakil industri muzik di sana untuk merakamkan album dan lagu. Semuanya terlalu awal untuk dikatakan dan saya masih mempertimbangkannya," ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Ikhwal Hafiz Ismail, 16, atau lebih dikenali sebagai Iqwal turut mengharumkan nama negara dalam pertandingan berkenaan.
Selain memperoleh empat emas dan satu perak dalam WCOP, Iqwal turut membawa pulang anugerah Artis Antarabangsa Terbaik 2008 dalam sebuah lagi pertandingan iaitu Anugerah Bakat Baru Terbaik 2008 yang diadakan di Kodak Theatre, Los Angeles.