Ramadhan akan tiba tidak lama lagi. Selepas itu fajar Syawal akan menjelma. Di Sarawak khususnya Bandaraya Kuching, apabila menjelangnya raya, ramai yang buat bisnes bermusim seperti berjual lauk-pauk di Bazaar Ramadhan, menjual biskut, buat baju raya dan bermacam-macam lagi. Dalam banyak-banyak bisnes yang agak lumayan pulangannya adalah menjual KEK LAPIS SARAWAK.
Sarawak memang begitu sinonim dan terkenal dengan Kek Lapisnya. Tanpa Kek Lapis, seolah-olah ada kekurangan pada hari raya. Kek Lapis telah popular sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu. Saya masih ingat masa tahun 70an, apabila hari raya, meja-meja penuh dengan Kek Lapis. Masa itu, Kek Lapis diletak sebijik-sebijik di atas meja. Malah ada sesetengah rumah terpaksa menyediakan 2 - 3 buah meja untuk meletak kek-kek tersebut seperti pameran kek!
Kek Lapis agak mahal harganya malah hingga mencecah ratusan ringgit. Bukan sahaja kos bahan-bahannya yang mahal, tetapi kreativiti serta masa untuk membuatnya yang memakan masa agak lama, malah ada yang memakan masa hingga 8 jam untuk di masak!
Istimewanya Kek Lapis Sarawak ialah, ia mempunyai berbagai-bagai nama yang begitu 'catchy' seperti Lapis Mawi, Lapis Astro, Lapis Sembilu, Proton Saga, Pua Kumbu, Puncak Kasih, Tikar Mengkuang dsbnya. Dan yang paling terkenal ialah Sisik Ikan.
Biasanya setiap tahun, ada sahaja kek baru yang dicipta, dan semestinya nama kek tersebut mengambil sempena nama seorang artis popolar, atau nama cerita wayang yang 'box office', nama drama popular dsbnya. Contohnya, semasa musim AF3, nama Mawi meledak satu Malaysia! Maka terciptalah Kek Lapis Mawi yang begitu unik. Apabila Kek Mawi di potong, nama MAWI dapat dibaca dengan jelas didalam kek tersebut. Sungguh menakjubkan!
Mulai awal puasa lagi, pengusaha Kek Lapis telah mula membuat promosi samada melalui flyer, sms, emel dan sebagainya. Di Bazaar Ramadhan, penjual memotong kek lapis dengan saiz yang kecil dan dimasukkan didalam sampul plastik kecil dan dipamerkan di gerai mereka. Malah ada juga yang membawa album gambar yang penuh dengan gambar kek untuk anda membuat pilihan den seterusnya membuat tempahan. Biasanya tempahan ditutup seawal 1 - 2 minggu sebelum raya kerana tempahan yang begitu banyak. Ini adalah kerana , masa yang panjang digunakan untuk memasak kek-kek tersebut. Sekiranya tempahan melebihi 100 biji, bayangkan bagaimana hendak membuatnya? Pengusaha yang mempunyai oven dan dapur yang besar mungkin tidak ada masalah. Tetapi bagi peniaga bermusim & sambilan, mereka menghadapi masalah besar untuk mengambil tempahan yang banyak.
Biasanya, kek dijual dari RM 40.00 ke RM 150.00 sebijik bergantung kepada bahan, kreativiti dan berat kek. Oleh itu tidak mustahil pengusaha mendapat beribu ringgit hasil penjualan kek lapis sepanjang musim raya. Saya ada seorang kawan yang mengusahakan kek lapis sejak 10 tahun yang lalu. Jangan terkejut kalau saya katakan purata jualan yang dia dapat setiap tahun adalah RM10 ribu ringgit. Kek Lapis beliau amat terkenal dan sedap serta tahan lama.
Sejak akhir-akhir ini, Kek Lapis begitu senang didapati pada bila-bila masa sahaja. Ia boleh dibeli di gerai-gerai kuih, Bakery Shop, di pasar Hujung Minggu iaitu di Satok, Kuching dan kedai-kedai biasa. Ini adalah disebabkan bertambahnya permintaan serta minat orang ramai untuk makan kek lapis ini terutama nya orang dari Semenanjung.
Kalau kita berjalan-jalan di Pasar Minggu Satok, kita akan lihat ramai orang semenanjung membeli kek lapis sebagai ole-ole dari Sarawak. Biasanya mereka akan mebeli 3 hingga 4 jenis kek. Mereka begitu tertarik dengan kreativiti serta warna yang pelbagai disamping rasanya yang enak.
Sekiranya anda berminat untuk membeli kek lapis ini terutamanya sahabat2 kita di semenanjung, anda boleh layari di laman web dengan menaip 'kek lapis sarawak' di mana-mana web search bar. Anda akan dapati banyak pengusaha yang mempromosikan produk kek lapis mereka di situ.
Bagi yang belum pernah makan Kek Lapis Sarawak..... cuba lah! Anda pasti nak lagi!!!!!