Chong Wei jumpa Hyun-il penentu ke finalHANYA satu lagi kemenangan memisahkan Lee Chong Wei daripada pingat Sukan Olimpik Beijing selepas menjadi pemain perseorangan pertama negara singgah ke separuh akhir selepas Rashid Sidek pada 1996. Kini, Chong Wei hanya perlu memastikan kejayaan di peringkat itu, hari ini jika mahu sekurang-kurangnya pingat perak atau andainya gagal, perlukan kemenangan ketika penentuan tempat ketiga, Ahad ini.
Hujan di Beijing sebaik perlawanan antara Lee Chong Wei dan Sony Dwi Kuncoro, semalam jelas satu rahmat buat pemain negara yang mudah menjinakkan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2004 itu 21-9, 21-11. Biarpun bermula agak gugup apabila lawan mendahului 6-3 pada set pertama, keyakinan Chong Wei, 26, menggunung sebaik mendahului 11-8 sebelum memenangi set itu dengan 21-9. Sony cuba bangkit pada set kedua tetapi cabarannya hanya setakat 6-6 sebelum Chong Wei terus membuka langkah untuk menamatkan perlawanan dengan 21-11.
"Saya tak sangka dapat menang semudah ini. Tumpuan saya hanya untuk memulangkan segala pukulannya kerana saya tahu dia gemar mengasak. "Memang saya sedikit gugup pada set pertama tapi selepas itu, saya mula yakin dan dapat bermain mengikut strategi yang diatur," katanya yang menjalani ujian doping selepas perlawanan itu, yang ketiga baginya sejak tiba di Beijing. Ini adalah kemenangan ketiga Chong Wei ke atas Sony, 24, dalam tempoh 12 bulan selepas pemain nombor dua Indonesia di belakang Taufik Hidayat itu menyekat laluannya di suku akhir Kejohanan Dunia, Ogos tahun lalu. Chong Wei memegang rekod pertemuan mereka dengan 5-1. Di separuh akhir, Chong Wei akan berdepan dengan Lee Hyun-il dari Korea Selatan yang menewaskan prospek tuan rumah China, Bao Chunlai, 23-21, 21-11 manakala satu lagi saingan peringkat sama adalah di antara Chen Jin (China) menentang Lin Dan yang menewaskan Peter Gade Denmark, 21-13, 21-16.
Mengenai lawannya di separuh akhir, Chong Wei mengakui tidak memikirkan perkara itu kerana baginya fokus utamanya adalah kepada permainan sendiri. "Dua-dua lawan itu adalah sama kuat. Jadi, tak guna saya fikirkan semua itu kerana lebih baik saya mempersiapkan diri sendiri menghadapi perlawanan itu," katanya. Sementara itu, Misbun Sidek yang juga jurulatih Rashid ketika 1996, berkata Chong Wei masih berada pada landasan tepat dengan fokus pemain itu begitu jitu. "Saya tiada masalah dengan Chong Wei biarpun ketika ini kita harus berhati-hati apa lagi selepas melangkah sejauh ini," katanya.