Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my
PERSEMBAHAN pembukaan 12 finalis OIAM 3 dengan penuh gaya dan bertenaga. Gambar kecil, kiri, Esther yang digeruni 11 peserta lain. |
Gadis kelahiran Kota Kinabalu digeruni peserta lain One In A Million musim ketiga kerana diberi imuniti
BELUM panas lagi! Demikian gambaran suhu persembahan konsert pertama One In A Million (OIAM) musim ketiga di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Jumaat lalu. Bagaimanapun, ia tidaklah hingga sampai ke tahap membosankan atau mengecewakan.
Dua belas peserta dipilih ibarat memulakan senaman memanaskan badan dan meregangkan otot dengan memilih genre lagu kegemaran.
Seperti dijangka, penyingkiran awal juga tidak terjadi sebaliknya kejutan memberikan imuniti kepada peserta paling terbaik membuat persembahan pada setiap konsert dianggap antara ramuan baru program realiti yang sudah bersiaran tiga musim ini di 8TV.
Esther, peserta kelahiran Kota Kinabalu yang pernah mengikuti uji bakat sebuah program realiti di sebuah stesen TV berbayar ini menjadi calon pertama diberikan imuniti.
Mendendangkan lagu Better In Time yang dipopularkan Leona Lewis, vokal serak-serak basah Esther yang persis Azharina memukau pandangan dua pengkritik tetap pertandingan ini, Syafinaz Selamat dan Paul Moss. Pujian melambung yang diterima peserta berusia 21 tahun ini daripada kedua pengkritik terbabit ternyata cukup munasabah.
ESTHER bagaikan tidak percaya dipilih sebagai pemenang imuniti konsert pertama, malah Paul dan Syafinaz berasakan peserta kelahiran Kota Kinabalu ini mempunyai vokal yang hebat. |
Menurut Esther, dia amat terkejut dengan keputusan ini, malah pemberian imuniti itu membuatkannya seolah-olah berada dalam program tersohor, Survivor. Tidak menidakkan keupayaan 11 peserta lain, Esther yang dianggap antara saingan terdekat peserta lain ini percaya yang dia layak untuk berada di pentas OIAM 3. Kemenangan imuniti ini, sekali gus memberikan kuasa pengecualian kepadanya untuk tidak diundi peminat dan tiada penyingkiran berlaku terhadapnya sehingga minggu seterusnya.
“Saya tidak boleh memberitahu sebab apa saya layak menerima imuniti ini. Mungkin jawapan ini terletak kepada Paul Moss dan Syafinaz Selamat yang menilai saya. Syukur, selama tiga tahun mencuri peluang menyertai pertandingan nyanyian, akhirnya usaha saya ini memberi impak untuk saya tentukan hala tuju selepas ini. Terima kasih kepada OIAM 3 yang nampak bakat saya.
“Bagaimanapun, saya percaya kepada persaingan sihat dan 11 peserta yang lain juga mempunyai kehebatan masing-masing. Mereka bagus-bagus belaka, hinggakan saya tidak boleh menggambarkan keistimewaan itu. Saya juga tidak berasakan yang saya sudah cukup baik,” katanya sambil berseloroh memberitahu mungkin dia menerima imuniti disebabkan kuat berpeluh.
Bagi pengkritik yang dianggap bermulut laser, Paul Moss, dia dan Syafinaz sepakat memilih Esther kerana kemampuan penyanyi genit itu menyampaikan lagu dengan penuh perasaan dan baik. Malah, katanya lagi, ada beberapa peserta lagi yang turut membuat persembahan baik cuma tidak sebagus Esther.
“Saya gembira 12 peserta ini mempunyai ciri berbeza dan tidak seperti program realiti lain. Esther memberikan corak persembahan lain dan sesuatu yang ekstra di atas pentas. Oleh itu, dia mampu pergi jauh dan menerima ganjaran imuniti,” katanya ringkas.
Mengakui pendapat sama ialah Syafinaz Selamat. Penyanyi yang terkenal dengan vokal soprano dan klasik ini berpuas hati dengan mutu persembahan diberikan 12 peserta. Menurut Syafinaz, Pija antara saingan terdekat yang dianggap mampu menerima imuniti, cuma kelebihan faktor X terarah kepada Esther.
“Saya gembira dengan persembahan mereka dan hampir 90 peratus memberikan yang terbaik. Selebihnya, ada juga yang saya agak kurang berpuas hati kerana yakin mereka mampu membuat lebih baik daripada minggu pertama. Ada peserta yang gementar hingga menjejaskan fokus untuk memberikan persembahan habis-habisan. Apa yang saya boleh katakan, mereka adalah calon yang terbaik pada musim ini.
“Esther mempunyai tona suara sangat baik dan saya suka. Ada sesuatu padanya dan kualiti suaranya patut dipuji. Dia cantik dan sangat bersemangat, malah mempunyai perasaan sewaktu menyanyi hingga mampu membuatkan orang yang menonton akan tersentuh. Kalau tak ada Esther, maka laluan mudah untuk Pija menerima imuniti ini,” katanya.
Imuniti mampu bangkit elemen drama
PERTAMA kali diperkenalkan pada musim ini, penggunaan terma imuniti mempunyai alasan konkrit kenapa ia diwujudkan. Kata Ahmad Izham Omar selaku Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, ia sepatutnya sudah mula dipraktikkan sejak musim kedua namun atas beberapa sebab ia tidak mampu direalisasikan.
Selain elemen kejutan yang cukup sinonim dengan program realiti sebegini, katanya, imuniti mampu membangkitkan elemen drama dalam usaha menarik perhatian penonton.
“Apabila ada drama, lebih ramai orang akan tertanya-tanya dan bercerita mengenainya. Secara tidak langsung, program ini akan mula disedari dan diperkatakan. Jika sebelum ini pengkritik mempunyai komen positif dan negatif terhadap peserta, namun kita sendiri tidak tahu siapakah yang terbaik di antara semua yang ada. Lalu, imuniti ini jelas akan menunjukkan siapakah peserta khusus yang layak diberi perhatian mengikut komen pengkritik,” katanya yang turut menyertai sidang media selepas berakhirnya konsert pertama.
Imuniti memberi isyarat awal untuk peserta terus memberikan persembahan memberangsangkan. Impaknya cukup tinggi kerana semangat bersaing akan terus ada dalam usaha untuk kekal dan merebut ganjaran RM1 juta kepada mereka yang layak.
Menurut Aweera, peserta musim ini yang memperjuangkan rock kapak dan 1980-an, dia dan rakan lain tidak menafikan kemantapan vokal Esther dan digeruni.
Persembahan jejaka berusia 18 tahun ini menerusi lagu Aku Dah Bosan nyanyian asal Amy Search masih pada tahap yang boleh dibanggakan. Kecomelan Aweera atau nama sebenarnya Nasharul Aweera Noriyissham ini mungkin ada nilai tambah untuk terus menarik perhatian pengundi wanita.
Bagi Amylea yang pernah mendapat tempat kedua di Akademi Fantasia musim ketiga pula, dia juga bersetuju dengan rakan lain mengenai aura vokal yang ada pada Esther. Katanya lagi, suara Esther jarang ada di Malaysia.
“Kita tidak boleh berdengki dengan menidakkan bakat Esther kerana harus diakui dia memang berbakat besar dan penyanyi sepertinya memang amat diperlukan bagi mengisi ruang industri kita. Saya juga dengan hati terbuka bersedia untuk memberikan lagu ciptaan sendiri untuk dinyanyikannya,” kata Amylea yang menyanyikan lagu Aku Skandal, lagu asal nyanyian kumpulan Hujan.
Hakikatnya, Amylea kini semakin matang dan sudah mula tahu apa yang ingin dicapainya dalam dunia seni. Baru saja melahirkan album sulung, Amylea nampak lebih jelas hala tujunya berbanding dulu. Persembahannya pada tahap yang tidak mengecewakan Begitu juga dengan peserta golongan artis lain seperti Pija, Tomok, Nine, Han dan Rizu.
Juara Mentor musim pertama Pija dianggap berada di dalam zon selesa kerana penyanyi genit kelahiran Kota Kinabalu ini cukup berbakat besar. Bimbang juga tahap keyakinan berlebihan peserta ini menjadi faktor yang mungkin boleh melemahkannya. Mendendangkan lagu popular, Lagu Untukmu nyanyian kumpulan Meet Uncle Hussain, Pija agak terkejut apabila diberitahu yang dia adalah calon terdekat Esther untuk memenangi imuniti.
“Saya tidak sangka bersaing rapat dengan Esther. Menariknya kami dari negeri sama dan apa-apapun saya tidak boleh selesa kerana minggu mendatang terlalu mencabar buat diri saya dan rakan lain,” katanya ringkas.
komen jefbuj
Memang tidak dinafikan Esther mempunyai pakej yang sungguh sempurna! Buka mulut kita dah meremang bulu roma! Dia menyanyi macam dia bercerita... dengan penuh jiwa dan mimik muka nya selamba seolah2 tiada apa yang digusarkan. Pelek bin ajaib kenapa dia tidak terpilih masa audition AF ???? Yang dapat top 12 tu takdelah nak kata out tapi Esther jauh lebih baik. Dia berada dikelompok yang lebih profesional! Apa-apapun saya kira ini tergantung kepada pengundi wanita. Nak ke undi Esther??? Seperti biasa mereka lebih teruja mengundi budak lelaki yang kiut miut, jambu, macho tanpa mengra dari aspek suara yang ada kualiti.Kita tunggu & lihat!!
Peserta yang lain tidak kurang hebat. Tapi apa yang dapat saya katakan kebanyakkan peserta wanita memiliki suara ala-ala meneran ( ala2 penyanyi kulit hitam ). Mungkin itu yang Paul Moss mahu.... sebab baru ada taste antarabangsa... betul tak? Yang suara2 lenggok ala melayu tu boleh lah masok Bintang RTM kot?
No comments:
Post a Comment