I made this widget at MyFlashFetish.com.

Sunday, February 22, 2009

Debaran 4 finalis Mystarz LG

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my


Finalis My Starz LG

Penentuan pemenang My Straz LG akan diketahui pada malam kemuncak, Malam ini

KETIKA diperkenalkan dua tahun lalu, sambutan penonton kurang memberangsangkan. Malahan populariti program ini mungkin tidak sehebat program realiti yang lain.

Biarpun sudah masuk musim kedua dan kini bakal menjengah ke peringkat akhir menjelang Ahad ini, namun bahang program My Starz LG ini masih lagi di tahap suam-suam kuku. Lebih mengecewakan apabila masih ada yang tidak perasan mengenai perjalanan rancangan ini serta siapakah pesertanya.


Biarpun masih ada yang mempertikaikan program ini serta cuba membandingkannya dengan program realiti lain, namun satu hakikat yang tak mungkin dinafikan, empat peserta yang layak ke peringkat akhir Ahad ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) memang berbakat besar selain mempunyai wajah yang boleh diketengahkan sebagai penyanyi.

Hip menyelami hati dan perasaan empat peserta akhir My Starz LG iaitu Wana, Nashrin, Hairi dan Nashrin menjelang hari bersejarah itu serta harapan mereka.

Tak perasan punya bakat nyanyian

PESERTA kelahiran Kota Kinabalu Sabah ini mempunyai cerita menarik yang ingin dikongsikan. Walaupun mempunyai bakat dalam bidang nyanyian namun Mohd Hairi Kenneith atau Hairi sebenarnya seorang anggota kumpulan muzik di Sabah.

“Saya hanya aktif dalam bidang seni iaitu sekitar tujuh lepas selepas menyertai kumpulan muzik D’Fingers. Masa itu saya jadi gitaris mereka. Apabila vokalis mereka mengundurkan diri, saya menggantikan tempatnya.

“Saya memang tak tahu pun ada bakat nyanyian. Sewaktu menjadi gitaris untuk merekalah saya mengembangkan lagi bakat nyanyian yang sedia ada ini,” kata Hairi sambil memaklumkan penyertaannya dalam program My Starz Lg mendapat restu daripada anggota kumpulannya.

Walaupun ketika ini berlaku lambakan program realiti berkonsepkan pertandingan nyanyian, namun menurut Hairi rezekinya lebih memihak di program berkenaan.

“Saya tak kisah andai orang kata program ini tak glamor kerana sepanjang 12 minggu, banyak ilmu yang saya pelajari terutama mengenai cara menyanyi dengan betul,” cerita jejaka berusia 19 tahun ini.

Bakal menyampaikan lagu Kau Yang Bernama Seri dan Laguku Untukmu secara medley, Hairi tidak mahu menaruh harapan terlalu tinggi kerana baginya, persaingan malam itu sengit belaka.

“Masing-masing ada kelebihan tersendiri. Saya hanya akan fokus dari segi persembahan dan vokal. Malam itu nanti saya akan menyanyi secara duet bersama Fiq. Saya memilihnya kerana genre muzik kami yang serupa iaitu rock,” kata Hairi.

Peserta wanita perlu kerja keras

GADIS kecil molek dari Johor Bahru ini mempunyai pakej untuk bergelar penyanyi. Selain memiliki wajah fotogenik, Wana juga mempunyai mutu suara yang bagus. Maklumlah, pengalaman sebagai penyanyi kelab pastinya memberi kelebihan buat Wana atau nama sebenarnya Noriezuana Syed Shafudin.

“Menyanyi di kelab dengan pertandingan memang berbeza. Menyanyi di kelab lebih santai, tetapi untuk pertandingan ada banyak tekanan. Tapi saya berjanji akan memberikan yang terbaik,” kata Wana yang akan berduet dengan Jamal Abdillah menerusi lagu Kehebatan Cinta.

Ditanya apakah peluangnya dalam pertandingan akhir nanti, Wana melihat perkara itu secara positif.

“Saya akur dengan keadaan itu kerana biasanya program realiti seperti ini yang mengundinya terdiri daripada golongan remaja perempuan. Pastinya mereka ini mengundi peserta lelaki. Pun begitu, saya tak rasa peluang untuk peserta perempuan tipis cuma kami kena bekerja keras untuk menunjukkan persembahan yang terbaik,” kata peminat setia Anita Sarawak, Ziana Zain dan Misha Omar.

Mengulas gosip yang kononnya dia dan Hairi dikatakan bercinta, Wana berkata perkara itu timbul akibat salah faham mereka yang ternampak kemesraannya dengan pemuda itu.

‘Sebenarnya kami gemarkan lagu bernada tinggi dan disebabkan itu kami sering berbincang sama dan dia banyak membantu. Kami tak ada apapun,” tegas Wana yang akan menyampaikan lagu secara medley berjudul Ku Pendam Sebuah Duka dan Ku Tlah Jatuh Cinta.

Korban kerjaya demi cita-cita

DEMI cintanya dalam bidang nyanyian, peserta dari Batu Kawa, Sarawak ini sanggup meninggalkan kerjaya tetapnya sebagai Eksekutif Pemasaran semata-mata kerana ingin menyertai pertandingan ini.

Ternyata pengorbanan yang dilakukannya itu berbaloi apabila dia turut tersenarai sebagai empat peserta akhir My Starz LG.

“Apabila mendapat tahu saya berjaya tersenarai sebagai finalis program ini, memang gembira sangat kerana ini adalah platform terbaik untuk saya terus mengasah bakat untuk merealisasikan impian untuk menjadi penyanyi,” kata Cassandra Daniel Manja atau Cassie ini jujur.

Cassie yang sebelum ini pernah menjadi pramugari berkata dia sanggup berkorban kerana ingin membuat pembaharuan dalam hidupnya.

“Memang saya bercita-cita untuk menjadi penyanyi dan peluang ini memberi perubahan dalam kehidupan saya. Lagipun, saya memang ingin merantau ke Semenanjung dan membina kehidupan baru di sini,” katanya yang sebelum ini banyak mengadakan persembahan di Sarawak. Mengenai persiapannya menjelang malam final, Cassie berkata ketika ini dia hanya melakukan latihan dari segi vokal saja.

“Dalam minggu ini barulah saya berpeluang buat latihan dengan rakan duet saya, Sarah Raisuddin. Saya pilih Sarah kerana dia mempunyai vokal yang mirip penyanyi kulit hitam,” katanya sambil ketawa.

Diusik pertanyaan besar kemungkinan dia bakal dinobatkan juara memandangkan dia menjadi satu-satunya wakil dari negeri Bumi Kenyalang, Cassie membalas usikan itu dengan ketawa kecil.

“Pertama kali saya memang bangga kerana berpeluang mewakili orang Sarawak sebagai finalis program ini. Nak kata yakin sangat untuk menang tak boleh juga. Tapi, saya janji akan memberikan persembahan yang termampu pada malam itu,” katanya.

Nyanyian sekadar hobi

KALAU Cassie sanggup berhenti kerja semata-mata kerana ingin meneruskan impiannya bergelar penyanyi, lain pula dengan peserta dari Pulau Pinang ini. Bertugas di sebuah bank, Wan Nashrinie Zafri atau Nashrin pula diberi keizinan mengambil cuti tiga bulan semata-mata pertandingan itu.

“Rasa sayang hendak tinggalkan kerjaya yang sedia ada. Memandangkan majikan saya memberikan keizinan untuk mengambil cuti panjang, jadi saya pun ambil kesempatan itu. Alhamdulillah, tak sia-sia apabila erjaya ke peringkat akhir,” kata Nashrin yang bakal berduet bersama Misha Omar menerusi lagu Perlu Kamu pada malam final itu.

Mengulas pemilihan Misha sebagai rakan duet, Nashrin berkata penghayatan penyanyi itu ketika mengalunkan lagu membuatkan dia teruja untuk berpasangan dengan penyanyi yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu.

“Saya sebenarnya mempunyai kelemahan dari segi sebutan dan penghayatan. Jadi apabila berduet dengan Misha, mungkin sedikit sebanyak saya akan dapat nasihat daripadanya bagaimana mahu menghayati sesebuah lagu itu dengan baik,” kata Nashrin yang pernah mempunyai kumpulan nasyid bernama Al Hawari sewaktu zaman persekolahan dulu.

Ini adalah percubaan pertama Nashrin menyertai program realiti dan bertanding dalam My Starz Lg adalah pilihannya sendiri.

“Saya tahu sebelum ini memang ada banyak program realiti tetapi saya lebih selesa menyertai My Starz LG. Walaupun sebelum ini ada yang mengatakan juaranya iaitu Tasya tidak begitu menyerlah tetapi saya percaya itu semua bergantung kepada rezeki masing-masing. Mungkin nasib saya dan dia berbeza,” katanya Nashrin penuh yakin.

Ditanya apakah dia sanggup meninggalkan kerjaya tetapnya seandainya dia diberi peluang menjadi artis rakaman, Nashrin berkata dia perlu memikirkan perkara itu semasak-masaknya.

“Nyanyian bagi saya hanyalah sekadar hobi dan kerja sambilan. Saya tak pernah terfikir pun untuk berhenti kerja. Tapi tengoklah nanti, jika bidang ini mampu memberikan masa depan yang cerah, mungkin saya akan fikirkan kembali keputusan saya itu,” katanya.

Tugasan lagu:

  • Wana - Medley (Ku Pendam Sebuah Duka dan Ku Tlah Jatuh cinta) Duet (Jamal Abdillah - Kehebatan Cinta)
  • Hairi - Medley (Laguku Untukmu dan Kau Yang Bernama Seri) Duet (Fiq - Debunga Wangi dan Opera Hidup)
  • Cassie - Medley (Langit Ke-7 dan Ku Mahu)
    Duet (Sarah Raisuddin - Mercy)
  • Nashrin - Medley (Kaulah Segalanya dan Si Gadis Ayu)
    Duet (Misha Omar - Perlu Kamu)

    Info

    Tarikh: 22 Februari 2009
    Masa: 9 malam
    Lokasi: Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)
    Penyanyi undangan: Faizal Tahir, Mawi dan Rossa.
  • No comments:

    Post a Comment