Oleh HASHNAN ABDULLAH / Utusan / 121108
PUTRAJAYA 11 Nov. – Kerajaan tidak menolak kemungkinan menetapkan paras minimum bagi harga runcit petrol dan diesel domestik meskipun harga minyak mentah di pasaran dunia terus menunjukkan trend penurunan. Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, ia bagi mengelakkan kerajaan terus menanggung jumlah subsidi yang besar sehingga menjejaskan perbelanjaan pembangunan sektor lain. Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut bila paras minimum itu akan dilaksanakan. ‘‘Penetapan paras minimum itu terpulang pada mesyuarat Majlis Ekonomi yang diadakan setiap minggu. ‘‘(Jika ada) kerajaan mungkin dapat menjimatkan perbelanjaan subsidi dan seterusnya membolehkan wang tersebut digunakan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sebelum menyampaikan anugerah Kecemerlangan Perniagaan Beretika 2008 di sini, hari ini. Pada majlis itu, Bukit Kiara Properties (bagi kategori syarikat besar); Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (syarikat sederhana) dan Pusat Tuisyen Sri Wijaya (syarikat kecil) diumumkan sebagai pemenang utama anugerah tahunan itu.
Menurut Shahrir, jangkaan perbelanjaan bagi pemberian rebat minyak dijangka mencecah RM5 bilion manakala subsidi minyak iaitu 30 sen bagi setiap liter pula dijangka berjumlah RM18 bilion. ‘‘Ia merupakan beban yang besar untuk negara. Sudah sampai masanya untuk kita timbang apa yang baik untuk negara, selain harga minyak yang rendah. ‘‘Harga minyak yang rendah tetapi tidak ada projek pembangunan atau langkah merangsangkan ekonomi, juga tidak baik untuk negara,” katanya.
Ditanya sama ada harga minyak akan berada di paras sekitar RM2 akhir tahun ini, beliau berkata, ia tidak sukar jika dilihat pada harga pasaran minyak mentah dunia sekarang. ‘‘Tetapi rakyat seharusnya terus mengamalkan sikap berhemat dalam perbelanjaan seharian walaupun harga minyak jauh lebih rendah berbanding ketika ia mula dinaikkan Jun lalu. ‘‘Dan ia dijangka akan turun lagi dalam masa terdekat,'' katanya.
No comments:
Post a Comment