I made this widget at MyFlashFetish.com.

Monday, November 24, 2008

Dunia CAMELIA




Oleh Zaidi Mohamad zaidim@bharian.com.my

Gaya dan wajah wanita kelahiran Kuching ini pernah memikat hati jurugambar di Paris ketika berada di kota fesyen ituTIADA siapa yang mampu menidakkan kecantikan penyanyi yang cukup sinonim dengan gelaran ikon fesyen dan 'fashionista' ini, apatah lagi dia pernah disenaraikan sebagai antara wanita tercantik di dunia. Setiap keping gambar yang mengabadikan wajah wanita kelahiran Kuching, Sarawak ini begitu mempesonakan dan menambat hati. Gaya dan liuk lintuk Dayang Nur Camelia Abang Khalid, bagaikan peragawati hebat, namun celah Camelia dalam nada bergurau, dia tidak cukup tinggi untuk mempertimbangkan hasrat bergelar model.


Lalu tidak hairanlah, tidak semena-mena dan paling membuai hatinya hingga kini apabila kejelitaan semula jadi Camelia mampu menambat minat seorang jurugambar bernama Luc Furnol yang sudi mengambil gambarnya sebanyak tiga kali ketika berada di kota fesyen, Paris. Sayangnya, menurut Camelia, jurugambar itu sudah pun meninggal dunia. Itu menjadi antara kenangan paling indah pernah tersemat di dalam hidup pemenang kategori Selebriti Wanita Paling Bergaya Anugerah Stail EH! 2008 ini. Ketiga-tiga gambar itu dibingkaikan dan menjadi hiasan di kediamannya.

Mungkin tuah Camelia kerana dianugerahkan raut wajah menawan diimbangi dengan akal yang bijak, lalu bukanlah sesuatu yang asing dia sering dilamar sebagai jurucakap mempromosikan produk dan kempen kecantikan. Terbaru, Camelia kini bergelar duta dan jurucakap Innershine Prune Essence selama dua tahun. Bertemunya awal November lalu di kediaman yang didiaminya sejak hampir tiga tahun lalu, Hip jelmakan Camelia dalam dua sisi berbeza. Paling istimewa, Camelia menunjukkan sisi maskulinnya menerusi gaya rock chic dengan solekan sederhana melalui padanan topi fedora. Hiasan dalaman rumahnya termasuk koleksi lukisan yang melatari kediamannya menjadi ruang bereksperimentasi. Bercerita mengenai produk kecantikan dalaman itu, Camelia didekati pihak itu sejak Julai lalu. Lucunya, kata Camelia, ibu dan sanak-saudaranya yang terlebih dulu menggunakan produk itu dan Camelia pernah mencubanya.


“Saya mencuba produk itu (Innershine Prune Essence) sebelum puasa dan terbukti ia sangat berkesan, memberi tenaga dan menyegarkan. Tak sangka, tiba-tiba saya dihubungi Maggie Abang Saufi (pengurusnya) memaklumkan yang pihak itu berminat untuk menjadikan saya sebagai jurucakap. Kalau ibu saya sendiri menggunakannya, kenapa tidak saya menggunakannya juga sebagai makanan tambahan,” ungkapnya ringkas. Hati wanita berusia 34 tahun ini tidak pernah ralat apabila ramai pihak yang lebih mengagumi dirinya sebagai sosialit fesyen yang hebat bergaya, berbanding kerjayanya sebagai penyanyi. Percaya kepada prinsip muzik dan fesyen saling memerlukan dan berdiri di satu paksi yang sama, Camelia yakin ia adalah satu perkara organik dan semula jadi. Bagaimanapun, bukan bermakna Camelia ingin terus melupakan kerjaya nyanyiannya kerana bidang ini masih menjadi keutamaan dan keghairahannya yang tidak pernah ada batasan. Menurut Camelia, dia sedang mengusahakan ‘sesuatu’ tapi belum mahu berbincang lanjut mengenainya. Ia satu kejutan Camelia buat semua. “Biarlah apa yang saya sedang usahakan ini menjadi rahsia dulu, hingga ia benar-benar menjadi. Saya tidak mahu cakap selagi ia belum menjadi realiti. Dunia nyanyian masih menjadi nadi kepuasan di dalam kehidupan kerana saya suka berinteraksi dengan penonton dan peminat.

“Tak dinafikan memang saya suka berfesyen dan saya sukakannya. Bukan setakat industri hiburan saja mementingkan gaya dan fesyen, industri lain juga seperti sektor korporat juga ingin nampak hebat. Kalau di permaidani merah sekalipun, orang lebih ingin tahu apa yang dipakai selebriti, berbanding anugerah yang dimenanginya,” katanya yang pernah mengacarakan program Casa Impian. Tak mahu terpalit kontroversi MENYUSUR kisah peribadinya, Camelia diakui sangat berahsia orangnya dan seboleh-bolehnya dia tidak mahu membicarakan lanjut soal cinta biarpun kisah cinta yang mengaitkan dengan seorang anak kenamaan yang khabarnya sudah terputus di tengah jalan sebelum ini. Bijak menangani kontroversi secara ‘diam’ yang sedikit sebanyak melatari kehidupannya, Camelia terus tegar dan kuat mengharungi dugaan dan cabaran kehidupan yang belum tentu hujung pangkalnya. Ironinya hingga kini Camelia masih terus bersendirian sejak rumah tangga yang dibina bersama Mohd Ehsan Tun Ahmad Zaidi Edruce, gagal dipertahankan. Mereka berkahwin atas dasar cinta pada 17 Disember 1994 dan bercerai pada 13 November 1999. Biarpun pernah gagal dalam perkahwinan, Camelia tidak pernah menoleh ke belakang lagi dan terus bahagia meniti kehidupan mendatang. “Saya minta simpang dan dijauhkan daripada cerita kontroversi yang kurang enak. Jika kita melakukan sesuatu yang baik, Insya-Allah ia akan kembali dengan baik juga. Saya lebih selesa membuat hal sendiri daripada terus larut dengan kisah yang tidak berfaedah. Tiada resipi untuk saya terus kekal begini, cuma kita yang menentukan hala tuju perjalanan ini. “Sebagai manusia biasa, saya yakin kita tidak pernah berpuas hati dengan apa yang dicapai dan sentiasa ingin melakukan pembaharuan. Saya sendiri ingin meneroka pengalaman dan sisi baru dengan berjumpa orang baru di negara orang. “Kita yang memberi sari warna dalam kehidupan ini dan semuanya atas ketentuan Yang Maha Esa. Untuk itu kita tidak boleh terus statik dan sentiasa kena rajin berusaha dalam misi mencapai apa juga yang diingini. Saya bersyukur ada keluarga yang sangat menyokong dan merekalah menjadi nadi kekuatan saya. Kedua, ialah kerjaya dan ketiga barulah soal cinta,” ungkap Camelia yang pernah meledak dengan lagu Rindu Padanya.

Melihat kepada susun atur dan letak hiasan di rumah Camelia, ternyata wanita ini cukup mencintai apa juga subjek yang bersifat seni. Kata Camelia, mungkin dia seorang yang gemar duduk di rumah jika tiada sebarang aktiviti. “Saya sendiri yang mengubah susun atur dan letak hiasan di rumah ini. Ia memberi saya ketenangan dan kegembiraan yang tidak terkata. Di rumah saya bebas menjadi diri sendiri apatah lagi dengan melakukan kerja mengemas dan menghias rumah. “Jika kita menghias rumah untuk rasa menarik, demikian juga dengan apa yang kita pakai dan gayakan demi untuk kelihatan hebat,” kata Camelia yang gemar berjamming di studio mini di rumahnya pada masa senggang.

EKSPRESI: Camelia
Cinta: Sangat Berkuasa
Rumah: Ibarat rumahku syurgaku.
Gambar dan lukisan: Luahan peribadinya.
Seni: Cinta
Tips kecantikan: Jadilah dan sayangilah diri sendiri. Cintailah kehidupan dan sulaminya dengan gelak ketawa.

INFO: Camelia
** Selain mewakili produk Innershine Prune Essence, Camelia juga dilantik sebagai duta projek perumahan mewah, Ara Hill, yang dibangunkan Sime Darby Property di Ara Damansara, Petaling Jaya.
** Ditabalkan sebagai Selebriti Wanita Paling Bergaya di majlis Anugerah Stail EH! 2008.
** Suka melihat negara orang kerana banyak boleh kita pelajari kerana melihat sesuatu yang baru.
** Menerima Anugerah Essenze Artis Wanita Terbaik pada Majlis Makan Malam Gala Penerbitan Market Source di Pulau Pinang pada tahun 2007. Anugerah itu diberikan oleh majalah berbahasa Inggeris itu.

PROFIL: Camelia
Nama Penuh: Dayang Nur Camelia Abang Khalid
Umur: 34 tahun
Tarikh Lahir: 20 Jun 1974
Asal: Kuching, Sarawak
Kerjaya: Penyanyi, Model Iklan, Ikon Fesyen, Hos TV dan Jurucakap Produk
Album: Camelia (1997), I,II,III (1998), Memori, Mimpi & Kompilasi (1999), Untukmu (2003) dan Mysticam (2007)
Iklan/Produk: L'oreal, Epson, Nescafe, Ara Hill (Sime Darby Property)
Program TV: Casa Impian (Astro Ria)
Pencapaian Terbaik: Artis Baru Terbaik/Vokal Wanita Terbaik (Anugerah Industri Muzik Malaysia 1998)

1 comment:

  1. Hey,Saya Adlin.hmm..Adlin tak tahu nak panggil Aunty atau kakak.So Adlin nak tanya boleh tak kalau Adlin panggil Aunty Camelia??Dari mana boleh jadi artist??

    Boleh replay all my question at my blog....at comment..
    http://nuradlinathirah.blogspot.com
    ok..

    ReplyDelete