SERI KEMBANGAN: Jika sebelum ini juara Akademi Fantasia 3, Asmawi Ani atau Mawi, 27, asyik berdolak-dalik perihal perkahwinannya, namun pada majlis pengumuman tarikh hari bahagia itu semalam, jumlah wang hantaran pula menjadi teka-teki.Sekalipun Mawi memaklumkan keluarga Nora’ Ashikin Rahmat atau Ekin, 29, memberi sepenuh keputusan kepadanya mengenai wang hantaran, dia mengakui ia belum diputuskan dan masih dalam perbincangan.“Buat masa ini, saya tak boleh memberitahu berapa wang hantaran akan diterima Ekin nanti. Saya masih keliru mengenai jumlahnya. Namun, sama sekali bukan senaskhah al-Quran kerana sebenarnya terlalu awal untuk saya memberitahu.“Apapun, tidak akan ada sidang media kedua atau selanjutnya untuk mengumumkan perkara itu. Pada saya, cukuplah hanya sekali untuk menjelaskan segalanya,” kata Mawi yang akan membawa sembilan dulang hantaran untuk Ekin dan dibalas 11 dulang pada majlis perkahwinan mereka kelak.
Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) tiga tahun berturut-turut itu bagaimanapun, berkata jika terus didesak selepas ini, dia mungkin akan memberitahu juga kepada media.
“Tetapi, bukan sekarang kerana masa tidak sesuai,” katanya pada sidang media bersama Ekin di Theatrette Conference, Hotel Palace Of Golden Horses di sini.Sidang media Mawi dan Ekin itu sepatutnya bermula jam 2.30 petang, terlewat hingga jam 3 petang.Namun, seawal jam 1 tengah hari wakil media sudah sedia menunggu.Apapun, kelewatan itu bukan kerana bakal pengantin itu tidak bersedia, tetapi menunggu isyarat daripada Astro Awani (saluran 501) menyiarkannya secara langsung.Mawi ada kalanya kelihatan ‘gementar’ menjawab soalan media. Mujur, ada pengacara popular, Aznil Nawawi yang banyak membantu. Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Maestro Talent & Management (Maestro), Freddie Fernandez dan Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Zainir Aminullah.
Mawi dan Ekin sepakat memilih 20 Disember depan untuk diijabkabulkan sebagai suami isteri di sebuah masjid di Johor Bahru.Pada malam sama, majlis resepsi keluarga Ekin akan diadakan di Stadium Tertutup Johor Bahru manakala majlis resepsi pihak Mawi dijadualkan berlangsung 28 Disember di Dewan Felda Taib Andak, Kulai.Pada malam 27 Disember, Mawi akan menghiburkan peminat di konsertnya di Padang Felda Taib Andak secara percuma. Tidak di situ saja, pada 11 Januari 2009, pasangan merpati dua sejoli itu sekali lagi disandingkan dalam majlis khas di Hotel Palace Of Golden Horses.Berikut soal jawab Mawi bersama media bagi menjelaskan perkahwinannya.
MEDIA (M): Ceritakan secara terperinci majlis resepsi di Johor Bahru, Felda Taib Andak dan Kuala Lumpur nanti? (meliputi tema dan perancang perkahwinan)
MAWI: Saya rasa belum masanya untuk bercerita secara terperinci. Bagaimanapun, apa yang boleh dikatakan persandingan di sebelah keluarga Ekin, kami akan menggunakan konsep moden kontemporari. Di Felda Taib Andak pula Jawa dan Hotel Palace Of Golden Horses, ala-ala Arab
(M): Perasaan pertama Mawi terhadap pengumuman ini? Rasa terbeban?
MAWI: Saya tidak pernah anggap ia satu beban. Cuma, darah gemuruh biasalah. Saya faham benda ini perkara penting dalam hidup saya, kebahagiaan saya. Malah, saya pun sudah berjanji sebelum ini dan gembira akhirnya dapat ditunaikan juga.
(M): Apakah Mawi dan Ekin akan bertunang?
MAWI: Seperti yang pernah saya maklumkan sebelum ini, kami tidak akan bertunang. Saya dan Ekin sepakat yang kami akan terus bernikah saja.
(M): Bagaimana dengan habuan tajaan RM5 juta yang dikatakan daripada Astro itu?
MAWI: Perkara itu tidak benar pun dan khabar angin saja.ZAINIR: Jumlah dimaksudkan memang tidak relevan. Namun, spekulasi tidak dapat dielak. Apa yang pasti, Astro memberi yang terbaik. Dalam soal ini, Astro tidak bertindak sebagai badan penyiar saja tetapi apa yang dilakukan sebagai satu keluarga. Lagipun, Mawi kelahiran Astro yang sudah menempa pelbagai kejayaan dan tentunya menyiarkan saat bahagia dengan Ekin, sesuatu yang harus dikongsi bersama.
(M): Mawi pernah kata mahu buat majlis perkahwinan sederhana tetapi tiga majlis resepsi nampak seakan besar-besaran?
MAWI: Ikutkan saya, memang suka majlis yang sederhana. Maklumlah, bila buat besar takut orang kata menunjuk, begitu juga kalau sebaliknya. Jadi, selepas difikirkan sebaiknya memang patut saya mengadakan majlis seperti ini (besar) untuk peminat.
(M): Mawi lahir daripada program realiti TV, jadi tidakkah Mawi rasa majlis kahwin ini sudah seperti program realiti TV?
MAWI: (ketawa), Ini bukan seperti realiti TV. Semua orang hendak berumah tangga. Namun, inilah rezeki saya dan syukur pada Tuhan.
(M): Kenapa ambil masa lama untuk umum hubungan Mawi dan Ekin?
MAWI: Pada mulanya, kami bukan terusnya bercinta. Kami sebagai kawan borak dan keluar makan di kedai mamak saja. Jadi, saya rasa tidak perlulah ia diketahui umum.
(M): Kini Mawi baru tiga tahun dalam karier ini, apakah rasa tertekan membuat keputusan untuk menamatkan zaman bujang agak awal?
MAWI: Saya tidak rasa tertekan tetapi ini satu kerelaan.
(M): Bagaimana Mawi melamar Ekin?
MAWI: Saya melamarnya menerusi panggilan telefon ketika berada di Syria.
(M): Bila dan apakah ayat Mawi ketika melamar?
MAWI: Saya melamar Ekin pada 30 April lalu dengan ayat ringkas, “Kita kahwin bulan 12”.
(M): Orang pertama yang tahu mengenai lamaran itu?
MAWI: Balik daripada Syria, saya beritahu pada kakak. Selepas berbincang, keluarga saya ke rumah Ekin untuk merisik pada Jun lalu dan majlis perkahwinan pula ditetapkan enam bulan kemudian.
(M): Apa yang menyebabkan Mawi tertarik dengan Ekin?
MAWI: Saya memilih Ekin untuk menjadi teman hidup kerana dia sering menemani saya ketika sedih dan gembira. Memahami kerjaya saya dan boleh bergaul baik dengan orang di sekeliling saya. Malah, dia berjaya membuat ibu saya, Ramlah Sarlan tersenyum dan ketawa kerana bukan senang hendak membuat ibu tersenyum atau ketawa.
(M): Apakah kaitannya tarikh 20 Disember pada Mawi hingga memilihnya sebagai tarikh bersejarah?
MAWI: Tiada apa-apa kaitan. Cuma, ia (20 Disember) pertengahan cuti sekolah. Jadi, budak-budak sekolah bolehlah datang nanti (sambil ketawa).
(M): Selepas berkahwin, bagaimana kerjaya seni Ekin, apakah dia (Ekin) akan menjadi suri rumah?
MAWI: Saya tidak akan sekat Ekin untuk aktif dalam seni sama ada berlakon atau menjadi pengacara. Terpulang, pada Ekin untuk buat keputusan.
No comments:
Post a Comment