I made this widget at MyFlashFetish.com.

Sunday, October 26, 2008

PELAN PERKAHWINAN MAWI @ ASTRO


MENYEDARI bahawa populariti Mawi yang dikatakan mungkin menurun selepas berkahwin, Astro selaku pihak yang telah ‘melahirkan’ Mawi ke dunia seni mempunyai perancangan dalam memastikan penyanyi popular itu terus bertahan di hati peminat.Ditawarkan untuk berkecimpung dalam arena penyiaran, Mawi sudah tentunya bakal diketengahkan untuk menjadi seorang pengacara bagi sesebuah program.

Sementelah, Mawi juga pernah mengendalikan beberapa rancangan seperti Mawi Di Bumi Anbia di saluran Oasis (saluran 106, Astro).Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB), Zainir Aminullah berkata, bukan sahaja Astro, sememangnya niat untuk memasuki bidang penyiaran terdetik dari hati Mawi sendiri.“Ramai yang memperkatakan populariti Mawi akan menurun selepas kahwin.“Namun di Astro, kami akan tetap komited dalam memastikan karier Mawi terus maju dan bertahan.“Ini kerana, kejayaan Astro juga ada sedikit sebanyak disumbangkan melalui Mawi,’’ kata Zainir ketika ditemui pada sidang media pengumuman khas tarikh pernikahan Mawi-Ekin kelmarin.

Ujarnya, menerusi bidang penyiaran, Mawi tidak semestinya diserap sebagai pengacara.“Berkemungkinan pengacara, tetapi tidak semestinya pengacaraan sahaja,’’ jelasnya.Bagi Mawi pula, ketika diajukan soalan mengenai hal tersebut, dia secara ringkas memberitahu bahawa walaupun bergelar pengacara atau apa jua tugas di bidang penyiaran, dia tetap tidak akan melupakan bidang nyanyian.Kata Mawi, bidang nyanyian adalah bidang yang yang telah menaikkan namanya selepas bergelar juara Akademi Fantasia musim ketiga.
“Nyanyian masih utama namun kalau ada apa jua tawaran termasuk berlakon, saya tidak akan melepaskannya,’’ katanya.

Program nikah di Astro
Sementara itu, Zainir berkata, Astro yang menjadi penyiar rasmi majlis pernikahan dan resepsi Mawi akan menghidangkan pelbagai program menarik khusus untuk peminat penyanyi itu dan penonton Astro.Bermula dengan siaran langsung pengumuman khas Mawi mengenai tarikh pernikahannya di saluran Awani (saluran 501, Astro), program istimewa sempena majlis itu akan bermula pada 17 Disember ini.“Melalui saluran Oasis, kami akan menyiarkan kursus perkahwinan yang disertai Mawi dan Ekin dalam tiga bahagian dari Masjid Putrajaya, Putrajaya.“Ia kemudiannya disusuli majlis pernikahan, majlis resepsi, dokumentari khas kisah cinta Mawi-Ekin dan majlis resepsi istimewa.“Program-program ini disiarkan melalui tiga saluran iaitu Oasis, Ria serta Prima,’’ katanya.

Jelas Zainir, menyiarkan program menarik sempena pernikahan Mawi-Ekin sememangnya sesuatu yang mencabar kerana ia melibatkan banyak tenaga kerja dan sudah tentunya hal-hal berkaitan logistik.Sungguhpun begitu, hasil perbincangan yang diadakan hampir saban minggu antara Astro dan Mawi, ia pasti akan dapat dilaksanakan dengan lancar.“Sudah tentu ada pembahagian tugas dilakukan dan mendapat kerjasama yang baik daripada Mawi.“Mawi sendiri terlibat dalam perbincangan dan memberikan idea seperti penetapan tarikh serta konsep,’’ ujarnya.
Mawi dan RM5 juta

Dalam pada itu, Zainir menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan kononnya Mawi telah diberikan RM5 juta daripada Astro sebagai bayaran hak penyiaran eksklusif majlis pernikahan.Kata Zainir, ia hanyalah satu spekulasi kerana sokongan Astro dalam penyiaran majlis itu merangkumi pelbagai perspektif.“Kami tidak membeli hak penyiaran tetapi ini adalah tanda kerjasama antara Astro dan Mawi.“Di Astro, sudah tentu kami gembira apabila Mawi dan Ekin akan bernikah. Untuk itu, kami akan lakukan yang terbaik dalam berkongsi kepada penonton mengenai perjalanan majlis pernikahan itu nanti,’’ tambahnya.

Program-program istimewa Astro sempena pernikahan Mawi-Ekin
*17 Disember 2008 (Rabu) - 9.30 malam
Oasis (saluran 106, Astro)
Kursus kahwin Mawi-Ekin (bahagian 1)
*18 Disember 2008 (Khamis) - 9.30 malam
Oasis (saluran 106, Astro)
Kursus kahwin Mawi-Ekin (bahagian 2)
*19 Disember 2008 (Jumaat) - 9.30 malam
Oasis (saluran 106, Astro)
Kursus kahwin Mawi-Ekin (bahagian 3)
*20 Disember 2008 (Sabtu) - 11 pagi
Oasis (saluran 106, Astro)
Siaran langsung majlis pernikahan Mawi-Ekin
*28 Disember 2008 (Ahad) - 11 pagi hingga 6 petang
Prima (saluran 105, Astro)
Siaran langsung majlis resepsi keluarga Mawi dari Felda Taib Andak, Johor
Dokumentari kisah cinta Mawi-Ekin
*11 Januari 2009 (Ahad) - 6 petang
Ria (saluran 104, Astro)
Dokumentari persiapan persandingan Mawi-Ekin
*11 Januari 2009 (Ahad) - 7.30 malam
Ria (saluran 104, Astro)
Siaran langsung majlis resepsi istimewa Mawi-Ekin dari Hotel Palace Of The Golden Horses

No comments:

Post a Comment