I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday, October 23, 2008

Siti Nurhaliza belum bersedia!



Siti Nurhaliza belum bersedia menggalas tanggungjawab sebagai pelakon BAKAT lakonan walaupun sekadar melunaskan peranan kecil sudah teruji di pentas teater menerusi muzikal, P Ramlee The Musical, nyata pengalaman itu belum cukup untuk membawa Datuk Siti Nurhaliza Tarudin ke layar lebar. Ditemui pada majlis rumah terbuka yang dianjurkannya khusus untuk peminat di Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa, Ahad lalu, Siti mengakui, belum masanya untuk dia melangkah ke layar perak.

Tidak menafikan ada menerima tawaran ke filem termasuk daripada KRU yang berhasrat menerbitkan filem muzikal, Magika, bagaimanapun, anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang ini belum bersedia untuk mempelbagaikan bakat seninya. Bagi Siti, banyak faktor lain yang perlu dipertimbangkan sebelum dia memberikan kata persetujuan untuk kembali beraksi sebagai pelakon. “Satu daripadanya adalah faktor masa. Berlakon filem memerlukan komitmen yang besar sedangkan masa tidak mengizinkan Siti kerana banyak perkara lain perlu diselesaikan ketika ini.


SITI NURSAIDA kini bernaung di bawah syarikat produksi Siti Nurhaliza Porductions (M) Sdn Bhd.
“Membawakan watak utama bukan perkara main-main, jadi Siti perlu mempertimbangkan dengan baik semua aspek sebelum memberi kata persetujuan. “Tidak mudah untuk mencuba sesuatu yang berbeza apatah lagi lakonan menuntut kesabaran serta masa yang banyak. Siti minat berlakon cuma belum masanya lagi untuk Siti beralih ke layar perak,” katanya mengakui menerima tawaran daripada KRU namun masih belum memberikan kata putus kepada trio adik beradik itu. Tidak menolak akan melangkah ke lokasi filem jika ditawarkan karektor bersesuaian, Siti bagaimanapun, bersetuju untuk membawakan satu watak dalam animasi arahan Mamat Khalid, Kelip-Kelip. Penyanyi yang masyhur dengan lagu Jerat Percintaan itu berkata, dia tidak menghadapi masalah kerana hanya suaranya saja yang digunakan untuk filem berkenaan.

KELUARGA turut memeriahkan rumah terbuka Siti Nurhaliza.

“Siti sudah melihat sedikit petikan filem itu dan mendapati ia sangat menarik, apatah lagi Kelip-Kelip menggunakan teknologi yang memperlihatkan karya anak tempatan setanding animasi luar. “Siti sendiri memang berminat untuk mencuba, tambahan pula Siti tidak mempunyai banyak masalah kerana hanya suara saja yang digunakan,” katanya yang turut direncanakan membawakan lagu tema filem itu. Norman dalam satu kenyataan baru-baru ini, memaklumkan KRU ada menawarkan watak Puteri Gunung Tahan dalam filem muzikal, Magika yang menggandingkan Siti dengan penyanyi lelaki popular, Mawi.


Tegas penyanyi ini lagi, sebelum memberikan kata persetujuan untuk membintangi sesebuah filem banyak aspek perlu dikaji antaranya karektor bersesuaian dengan imej serta dirinya yang kini bergelar isteri. Kata Siti, dia tertarik dengan filem yang mempunyai mesej yang baik malah cukup meminati produksi bercorak keislaman seperti yang dihasilkan penggiat seni Indonesia menerusi Ayat-Ayat Cinta. “Tetapi itu tidak bermakna Siti hanya akan berlakon dalam produksi seperti itu saja. Siti juga minat untuk berlakon watak komedi dan aksi cuma mungkin akan memberi kelebihan jika filem itu mempunyai mesej yang baik,” katanya.


Lega impian 'open house' untuk peminat tercapai BERALHIH perbualan mengenai sambutan Aidilfitri bersama peminat, penyanyi berusia 29 tahun itu berkata, sebelum ini dia jarang berkesempatan untuk meraikan penggemarnya secara besar-besaran. Hanya selepas dua tahun mendirikan rumah tangga dengan usahawan terkenal, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, baru kini impian itu terlaksana. Jelas Siti, sudah lama dia menyimpan keinginan untuk meraikan peminatnya apatah lagi mereka banyak menyokong perjalanan kariernya yang sudah mencecah usia 12 tahun. “Kebetulan suami pun tidak menghalang, malah dia yang menggalakkan Siti supaya menganjurkan majlis rumah terbuka ini. Perancangan awal mahu diadakan saja di kediaman kami tetapi memikirkan keselesaan tetamu, Siti cuba memilih lokasi lain yang bersesuaian. “Tempat ini pun tidak jauh dari rumah, kebetulan Siti dan suami juga ada kelapangan akhirnya apa yang Siti impikan menjadi kenyataan.


“Alhamdulillah, ramai juga yang datang dan Siti mengambil kesempatan ini untuk merayakan Aidilfitri bersama mereka yang banyak membantu melicinkan perjalanan karier nyanyian Siti sepanjang berada di pentas seni,” katanya. Siti berkata, dalam kesibukan meneruskan karier nyanyian di samping menjalankan peranan sebagai isteri, dia bersedia meluangkan masa untuk bersama peminatnya. Tekad Siti, dalam setahun dia akan menyusun beberapa aktiviti bersama mereka bagi mendekatkan diri dengan mereka yang tidak putus berdoa kejayaannya sebagai anak seni. Setahun tanpa album terbaru selepas kelahiran Hadiah Daripada Hati, pertengahan Disember ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan Siti akan kembali dengan buah tangan terbaru. Album etnik kontemporari yang menyatukan Siti dengan nama besar dalam industri penciptaan lagu termasuk sentuhan komposer serta penyanyi terkenal Indonesia, Katon Bagaskara bakal mengukuhkan kembali popularitinya di persada nyanyian. “Sudah ada beberapa lagu yang siap disusun muziknya cuma menanti masa untuk dirakamkan. Mungkin hujung bulan ini Siti akan memulakan proses memasukkan vokal kerana Siti sendiri sudah rindu untuk kembali dengan album baru,” katanya.

No comments:

Post a Comment