I made this widget at MyFlashFetish.com.

Tuesday, October 14, 2008

MASIH TEKA-TEKI



Oleh Farihad Shalla Mahmudfarihad@bharian.com

Mawi dan Ikin belum ada tarikh pasti mengenai majlis perkahwinan walaupun ada yang kata tunggu saja Disember KISAH cinta mereka mungkin tidak seagung kisah cinta Laila dan Majnun, Shah Jehan dan Mumtaj atau Romeo dan Juliet. Namun apabila ia membabitkan pasangan paling sensasi ketika ini iaitu Mawi dan Ikin, aura cinta yang mereka miliki menyamai pasangan terkenal dunia itu. Mungkin ada yang beranggapan, apa yang perlu digembar-gemburkan sangat mengenai kisah asmaradana pasangan ini, namun sama ada suka atau tidak, terimalah hakikat kerana apa saja yang membabitkan Mawi, Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007 ini, masih ramai yang ingin mengetahuinya.

Jika tidak masakan apabila menyelak halaman muka surat khabar atau mana-mana majalah hiburan menjelang ketibaan lebaran, wajah Mawi dan Ikin dipilih untuk menghiasinya. Dan cerita yang mengiringi gambar itu pastinya tarikh keramat perkahwinan mereka. Sejak mengumumkan yang mereka berdua adalah pasangan kekasih Mac lalu, tidak dinafikan itulah perkara utama yang ramai ingin tahu. Namun penantian hanya tinggal penantian, sehingga kini baik Mawi mahupun Ikin mereka lebih selesa mendiamkan diri dari membicarakan perkara itu. Walaupun ada yang meneka Disember depan adalah tarikh untuk si pelantun Aduh! Saliha ini mendirikan mahligai bahagianya namun tegas Mawi masih belum ada keputusan rasmi berhubung soal itu.

"Saya pun hairan macam mana orang lain boleh tahu bila saya hendak kahwin sedangkan kami sendiri masih belum menetapkan sebarang tarikh. Malahan sehingga sekarang belum ada persiapan kerana keluarga kedua-dua belah pihak masih dalam perbincangan berhubung persediaan bakal dilakukan. "Kebanyakan tarikh yang ditimbulkan itu semuanya saya tak tahu menahu. Nampaknya media yang pilihkan tarikh kahwin untuk kami. "Lagipun nak kahwin macam mana kalau kursus kahwin pun saya tidak sempat pergi. Tunggulah, nanti bila tiba masanya saya akan kongsikan saat bahagia itu bersama pihak media dan peminat," jelas Mawi kepada Hip sewaktu sesi fotografi di Restoran Al Nafourah, Hotel Le Meridien, KL Sentral, baru-baru ini. Untuk rekod seperti yang disebutnya dalam B*Pop, pasangan ini akan mengikuti kursus kahwin selepas Aidilfitri. Adat orang popular, semakin Mawi cuba berahsia, semakin banyak cerita mengenai perkahwinan mereka. Terbaru kononnya lokasi perkahwinan mereka dikatakan akan berlangsung di Hotel Palace Of Golden Horses.

Antara alasan Mawi memilih lokasi berkenaan adalah kerana mereka ingin menikmati segala kemudahan yang disediakan di situ seperti menunggang kuda, menaiki bot sekali gus merakamkan detik itu sebagai memori paling indah untuk hari bahagianya. "Itu tidak benar. Saya tidak pernah membuat sebarang perjanjian dengan mana-mana pihak hotel. Apa yang awak dengar itu khabar angin saja," tegas Mawi sekali gus menamatkan spekulasi yang sedang bertiup kencang itu. Tidak terhenti setakat itu saja, Mawi turut ditanya kononnya majlis perkahwinannya itu nanti menjadi rebutan dua stesen televisyen gergasi iaitu TV3 dan Astro yang mahu mendapatkan hak sebagai penyiar rasmi. "Ya, saya akui ada mendapat tawaran daripada kedua stesen berkenaan tetapi apa yang boleh saya katakan adalah, semua itu masih dalam peringkat perbincangan. Belum ada sebarang keputusan rasmi lagi. "Jujurnya, saya sendiri kurang selesa apabila majlis ini disiarkan di kaca televisyen tetapi apabila memikirkan dengan cara itu peminat saya dapat melihat saya naik pelamin maka saya akur dengan permintaan itu," tuturnya. Drama 'rajuk dan pujuk' ADAT ketika bercinta, ada masa suka, ada kala duka. Ketawa, sedih, bergaduh lalu merajuk itu semua adalah asam garam dalam kehidupan. Mawi dan Ikin juga tidak lepas dari melalui situasi itu. Barangkali sudah menjadi tuah penulis apabila berpeluang melihat 'drama' secara langsung membabitkan pasangan ini. Sewaktu sesi temubual dilangsungkan, Ikin secara tidak sengaja menceritakan detik perkenalan mereka secara lebih terbuka. Malangnya, perkara seperti itu menurut Mawi lebih bersifat 'dalam kain' dan tidak seharusnya didedahkan kepada sesiapa pun. Gara-gara teguran Mawi itu, Ikin terus sentap dan tidak mahu meneruskan perbualan. Sebaliknya gadis bermata cantik ini hanya duduk membatukan diri sambil meminta Mawi saja yang bercerita kepada penulis. "Awak sajalah yang cakap, nanti kalau saya cakap banyak salah pula," ujar pemilik nama penuh Nora'asikin Rahmat dalam nada merajuk. Menyedari kesilapannya itu serta enggan membiarkan buah hatinya itu merajuk panjang Mawi dengan selamba memujuk dengan kata-kata yang cukup romantis. "Ala ala meh duduk sini, janganlah marah, mari sini kita sembang sama-sama," pujuk Mawi membuatkan mereka yang berada di sekeliling termasuk pihak pengurusannya dan jurusolek tersenyum simpul melihat drama singkat itu berlangsung di depan mata. Susah senang bersama MUNGKIN ada yang beranggapan, cinta mereka lahir kerana wang dan juga harta. Namun jelas Ikin untuk kesekian kalinya, dia menyenangi Mawi kerana jejaka itu mempunyai karakter yang cukup menghiburkan hatinya. Katanya lagi, selain seorang yang kelakar, Mawi adalah seorang yang bertanggungjawab dan mampu memimpinnya ke jalan yang diredai Allah. "Dia memang istimewa buat saya. Walaupun sebelum ini ada yang mengatakan yang saya gunakan bomoh semata-mata untuk memikat hatinya tapi saya sudah buktikan itu semua silap. Cinta saya terhadap Mawi cukup tulus. "Saya akur kehidupan seorang artis ada pasang dan ada surut dan saya sudah bersedia untuk berdepan dengan apa saja kemungkinan yang akan terjadi. Saya sanggup susah senang bersamanya sehingga ke akhir hayat kami," ujar Ikin yang bercita-cita untuk membuka butik pakaian muslimah ini.


PROFIL: Mawi Nama: Asmawi Ani Tarikh Lahir: 25 Ogos 1981 Asal: Felda Taib Andak, Kulai Johor Antara Pencapaian: Juara Akademi Fantasia 3, Bintang Paling Popular 2005, Artis Pilihan SMS Digi Anugerah Era 2005 dan Anugerah Juara Lagu Kategori Irama Malaysia dan Persembahan Terbaik Anugerah Juara Lagu 2005. Antara Iklan: Poweroot, Silky Man, Mamee Slurpp.



PROFIL: Ikin Nama: Nora'Asikin Rahmat Tarikh lahir: 5 November 1979 Asal: Johor BahruDRAMA: Kawan Kerjaya: Pelakon, model dan pengusaha butik. Tajaan Lokasi: Restoran Al Nafourah, Hotel Le Meredien, KL Sentral Tajaan Pakaian: Baju Melayu Mawi (Kelrina House Of Fashion, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, 0192116277) Tajaan Pakaian: Baju Ikin (Syaiful Bahrim 03-62011331/62011113). Dandanan: Valshuq (012-9132000)

No comments:

Post a Comment