imran@hmetro.com.my
Pada saat peserta rancangan realiti corak sama, sudah mampu menyusun kembali lagu mahu didendangkan, peserta AF7 adalah sebaliknya apabila ada antara mereka masih gagal untuk mengenal vokal sendiri dan menyanyi mengikut nota lagu.
Dua jam menyaksikan konsert yang berlangsung di Stadium Sri Putra, Bukit Jalil, malam kelmarin terasa amat menyesakkan. Persembahan peserta membosankan dan lebih penting ada antara mereka tidak tahu apa yang harus dilakukan di atas pentas.
Sewaktu sidang akhbar sebaik konsert tamat, Pengetua AF7, Datin Seri Tiara Jacquelina menyatakan pihaknya memilih lagu bertemakan 80-an pada minggu ini.
Sistem pembelajaran turut mengalami 'transformasi' apabila peserta mengikuti kelas lakonan di bawah bimbingan Ida Nerina terlebih dulu sebelum melakukan kelas vokal dan persembahan, bagi membolehkan mereka memahami apa yang ingin disampaikan.
Apa yang dijelaskan Tiara, ternyata tidak berlaku di pentas apabila hampir semua peserta tidak memahami apa yang dinyanyikan. Mereka kelihatan kurang selesa dengan gerak nampak terlalu mekanikal. Ia tidak organik atau dalam erti kata lain persembahan peserta tidak telus dan jujur.
Sebagai bukti apabila pengkritik tetap Adlin Aman Ramli bertanya kepada peserta berasal dari Johor Bahru, Johor, Afiq (Akim) Hakim Ahmad mengenai maksud senikata HA! HA! Oo! Oo! dalam lirik lagu Anak Pengembala, dia berkata ia tanda 'gembira' sedangkan Adlin menjelaskan ia tanda pengembala menghalau ternakannya.
Ia jelas menunjukkan pelajar tidak faham apa yang dinyanyikan, dan Adlin menyelar sikap peserta ini yang disifatkan kurang serius kerana walaupun menjalani latihan selama tiga hari tetapi apa yang dipersembahkan ibarat persediaan dibuat dalam masa tiga jam saja.
Pengkritik jemputan Profesor Madya Khiril Johari Johar pula menegur beberapa peserta termasuk Akim, Ahmad (Obri) Sobri Hasmuni, Mohd Qhauhd (Qhaud) Abdul Rashid dan Mohd Rashidi Mohamad Isa (Sidi) yang gagal menyanyi dengan baik.
Sebaik buka mulut ada antara nada suara mereka lari dari tempo, penyampaian kurang jelas dan persembahan tidak konsisten. Rata-rata persembahan mereka tidak ubah seperti menyanyi di pentas sekolah sempena sambutan akhir tahun atau berkaraoke. Walaupun lagu 80-an kedengaran mudah untuk dipersembahkan tetapi ia sarat dengan maksud dan memerlukan gaya dan imaginasi tinggi.
Minggu ini hanya ada dua saja peserta yang cemerlang sewaktu mengadakan persembahan, Ismaliza (Isma) Ismail, yang menyanyikan lagu Seloka Cinta Remaja nyanyian asal kumpulan Freedom dan peserta dari Sarawak, Mohd (Hafiz) Hafiz Mohd Suip yang menyanyikan lagu Mat Disko dendangan asal Sudirman Arshad.
Sementara itu, kelmarin dua pelajar tersingkir dari AF7 iaitu Zuzafrini (Rini) Zulkifli, yang menyanyikan lagu Seloka Cinta Remaja dan Obri yang menyanyikan lagu asal nyanyian mendiang Broery Marantika, Abang Beca.
Sewaktu ditemui sebaik konsert tamat, Rini menjelaskan dia sedih apabila tersingkir tetapi tidak akan putus semangat. Dia pernah cuba menghasilkan album bersama adik kembarnya turut bercadang meneruskan perjuangan dalam bidang seni.
Sementara itu, Obri pula berkata selepas ini segala aktiviti seninya akan diuruskan pihak Astro Entertainment Sdn Bhd dan tidak berasa ralat terasa tersingkir kerana mempunyai ijazah yang mampu menjamin masa depan.
No comments:
Post a Comment