Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my
KRITIKAN yang dilemparkan Syafinaz Jumaat lalu mengundang pelbagai reaksi di kalangan penonton. |
Teguran keras lebih cepat sedarkan peserta untuk perbaiki kelemahan
APABILA pengkritik tetap One In A Million 3, Syafinaz Selamat melemparkan kritikan keras dengan menyamakan corak nyanyian seorang pesertanya, itu, Aweera seperti salakan anjing, ramai yang terkejut.
Ada juga yang menyifatkan kritikan Syafinaz itu sebagai keterlaluan untuk peserta yang masih lagi hijau dalam bidang seni. Dan sebagai seorang yang berpengalaman serta terikat dengan nilai kesopanan dan adat orang Melayu, tentunya kritikan itu dianggap keterlaluan dan memalukan Aweera.
Pun begitu, dakwaan itu disangkal Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Izham Omar.Sambil menyifatkan tindakan penyanyi bersuara soprano itu sebagai bertepatan dengan tugas yang disandangnya itu.
Beliau berharap orang ramai terutama penonton program ini dapat melihat kritikan itu sebagai sesuatu yang positif terutama untuk pembangunan peserta itu sendiri.
“Setiap orang mempunyai pendapat yang berbeza dan saya akur dengan perkara itu. Namun, saya melihat kritikan itu sebagai satu pengajaran kepada peserta berkenaan supaya bangkit dan perbaiki kesalahan yang ada.“Kalau masa kita belajar dulu pun, kalau kena marah atau nasihat dengan yang lembut, kita akan cepat alpa dan buat kesalahan serupa pada masa akan datang. Namun ia berbeza kalau kena marah dengan perkataan yang kasar, pasti kita akan ingat dalam fikiran sampai bila-bila,” jelasnya ketika dihubungi Hip, kelmarin.
Biarpun dia mengakui terkejut dengan kritikan Syafinaz ketika menonton program OIAM malam Jumaat lalu, namun reaksi spontan itu sebenarnya dia kagum dengan kesungguhan Syafinaz dalam usaha untuk melahirkan penyanyi yang berwibawa.
“Memang saya terperanjat bila mendengar komen sedemikian dari mulut Syafinaz tapi pada masa yang sama, saya tahu waktu itu dia (Syafinaz) memang marah sangat dengan Aweera kerana nyanyian yang sumbang dan menyakitkan telinga.
“Malah, perkataan menyalak itu bagaikan satu metafora supaya peserta berkenaan tahu akan kesilapan yang dilakukannya. Dia seharusnya menerima kritikan itu dengan hati yang terbuka kerana ini adalah pertandingan yang memberikan hadiah bernilai RM1 juta.
“Bukan saja Aweera, tapi semua peserta harus tahu dan sedar akan hal itu,” tegasnya yang mengakui persembahan minggu kedua itu hambar berbanding minggu pertama.
Mengulas lanjut perkara itu, Ahmad Izham berkata perkara itu berlaku mungkin disebabkan kebanyakan peserta terlalu memfokuskan persembahan minggu pertama tanpa memikirkan pertandingan ini berlangsung untuk jangka masa panjang dan setiap minggu mereka perlu menghasilkan yang terbaik.
“Kalau kita lihat, tenaga kebanyakan mereka untuk minggu kedua agak tumpul sedikit berbanding minggu pertama. Barangkali kerana mereka begitu bersungguh-sungguh untuk meyakinkan semua pihak pada minggu pertama menyebabkan persembahan Jumaat lalu, kelihatan tidak bertenaga dan hambar.
“Bagaimanapun, saya kagum dengan persembahan Esther. Dia berjaya membawakan lagu Mengenangmu yang dipopularkan Kerispatih dengan cara tersendiri,” katanya.
Ditanya mengenai ada permintaan daripada penonton supaya menghapuskan saja sistem imuniti, Ahmad Izham nyata tidak bersetuju dengan cadangan itu.
“Kita tahu, tidak semua penonton mengundi peserta berdasarkan bakat. Ada yang mengundi berdasarkan paras rupa atau sebab lain. Jadi dengan memberikan imuniti kepada peserta yang terbaik untuk sesuatu minggu itu, kita sebenarnya memberikan garis panduan kepada penonton supaya mengundi peserta yang bagaimana yang industri hiburan perlukan,” katanya.
komen jefbuj
Itulah padahnya, kalau terlampau rakus menunjuk skill sebagai Juri. Tak salah mengkritik tapi biarlah berlapik. Saya rasa dah beribu komen pembaca dan penonton tentang keceluparan Juri dalam Realiti TV di Malaysia. Apa, nak lawan Simon American Idol ke?? Tak payah lah, kita ada adab sopan. Penjadi Pengkritik terbaik Asia pun bukan lesen untuk mengaibkan orang di TV yang ditonton seantero dunia. Dapat pujian sangat ke bila dah mengaibkan orang? 'Lu pk lah sendiri !'. Nasihat saya, mengkritik biar berpada, ikut resam kita, tiada siapa yang sempurna. Masa zaman 60an - 90an dulu takde pulak Juri mengkritik on the spot tapi peserta ok pulak. Bila dah dikritik terok ia dapat mempengaruhi minda penonton dan impak nya kepada peserta itu sendiri. Cuba Syafinaz sendiri dikritik hebat oleh Juri bila menyanyi... boleh terima ke???
No comments:
Post a Comment