KUALA LUMPUR 3 Mac - Rancangan realiti popular, Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) mencipta rekod baru apabila enam daripada 20 orang calon pelajarnya merupakan mereka yang sudah berkahwin.
Ia sekali gus membuktikan status bukanlah penghalang untuk menyertai rancangan realiti berkenaan.
Enam calon tersebut ialah Kelana Ayu, 40, yang berasal dari Sarawak, Mohd. Rashidi Mohamad Isa, 27, (Perak) dan Lizda Nuryanti Abidin, 27, (Sabah).
Tidak ketinggalan Claudia Fay Geres, 24, (Sarawak); Ismaliza Ismail, 30, (Kuala Lumpur) dan Rubisa Tiasin, 23, (Sabah).
Kesemua 20 calon pelajar untuk musim ketujuh diumumkan dalam sidang akhbar yang diadakan di ibu negara hari ini.
Tahun lalu, dua peserta yang sudah berkahwin menyertai rancangan tersebut iaitu kakak kepada penyanyi Datuk Siti Nurhaliza iaitu Siti Norsaida Tarudin atau Saida dan Khairul Nizam Baharom (Toi).
Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul, pihaknya telah melakukan saringan yang cukup ketat untuk memilih calon yang benar-benar berbakat untuk musim ini.
Tambahnya, AF7 juga memperlihatkan bilangan calon yang menghadiri uji bakat musim ini telah mencecah lebih daripada 9,000 penyertaan di lima buah lokasi sesi uji bakat dan sekali gus mengatasi rekod enam musim yang lalu.
"Kami percaya dengan pemilihan yang dilakukan ini dapat membuktikan bahawa AF masih merupakan rancangan realiti paling popular.
"Apa yang kami mahukan adalah untuk melahirkan satu lagi bakat yang bukan sahaja menyanyi tetapi sebagai seorang penghibur," jelasnya.
Namun begitu, kata Khairul, bukan kesemua calon tersebut akan menyertai AF7 serta-merta.
Sebaliknya, 20 calon berkenaan perlu menyertai minggu orientasi dan kem muzikal selama enam hari bermula 1 Mac lalu.
Melaluinya, mereka akan dinilai oleh tenaga pengajar sebelum diserapkan sebagai 12 atau 14 orang pelajar AF7.
Keputusan akan diumumkan dalam program Tirai Akademi Fantasia 7 yang akan disiarkan pada Sabtu dan Ahad ini menerusi saluran Ria (saluran Astro, 104) pada pukul 9 malam.
Dalam pada itu, Khairul memberitahu, pengetua bagi musim ini hanya akan diumumkan pada Isnin depan menerusi rancangan Diari Akademi Fantasia.
No comments:
Post a Comment