I made this widget at MyFlashFetish.com.

Saturday, May 16, 2009

SIAPA JUARA AF7 ?

Oleh Nurulhisham Abdul Latiffnurul@bharian.com.my

Pengetua Akademi Fantasia musim ketujuh, Datin Seri Tiara Jacquelina berkongsi pendapat mengenai kekuatan dan kelemahan lima finalisMUSIM ketujuh Akademi Fantasia (AF) akan mencapai kemuncaknya esok. Bertempat di Stadium Putra Bukit Jalil, juara seterusnya program realiti popular itu akan diketahui apabila pengacara rancangan terbabit, AC Mizal, mengumumkan nama pelajar berkenaan pada penghujung konsert final. Apakah Isma, ibu beranak lima, mampu muncul mengungguli AF? Bolehkah Hafiz menjadi peserta lelaki dari Malaysia Timur pertama muncul juara? Dapatkah Aril menyaksikan dirinya sebagai pelajar tersingkir pertama yang bergelar pemenang? Semua itu hanya terjawab apabila AF7 melabuhkan tirai menjelang tengah malam, 16 Mei ini.

Usah juga peminat lupa kepada dua pelajar lain, Yazid dan Akim, yang mampu bertahan sehingga ke konsert terakhir. Jika bukan kerana tarikan kuat yang ada pada diri masing-masing, belum tentu peminat dapat melihat aksi kedua-dua jejaka ini pada konsert kemuncak nanti. Walau apa pun tekaan saat ini, yang pasti, pengetua akademi, Datin Seri Tiara Jacquelina mempunyai pandangannya sendiri terhadap lima pelajar yang berjaya ke peringkat akhir. Ikuti apa kata Tiara mengenai finalis AF untuk musim terbaru ini.

ISMA:
“Isma bermula dengan gaya begitu sederhana dan kelihatan seperti ibu muda beranak lima. Minggu-minggu awalnya, saya belum nampak sebarang magis pada Isma. “Saya mula sedar dia mempunyai potensi besar pada minggu dia menyanyikan lagu Amy Search, Gila. Cabaran sebenar Isma adalah untuk keluar dari imejnya yang keibuan itu dan ‘menjadi’ Isma yang lain. Bermula dari situ, Isma berani untuk mencuba sesuatu yang baru, mencari gerak dan bentuk persembahan yang sentiasa berbeza. “Kami mencabar Isma supaya berdiet dan cuba mencari jiwa seorang pop star dalam dirinya. Sekarang, apabila saya perhatikan dia dalam kelas pun, dia sudah nampak serasi bersama pelajar belasan tahun seperti Hafiz dan Akim. Isma semakin ‘remaja’ dan cantik! “Persembahan Isma yang saya rasa paling berkesan ialah ketika dia menyampaikan lagu Hot and Cold pada minggu kesembilan. Isma menguasai koreografi yang rumit hasil titik peluhnya berlatih sepanjang minggu.

“Isma, kalau dia hendak berentap dengan saingan di luar nanti, dia kena kenali apa yang ada pada dia yang tak ada dengan penyanyi sedia ada. Isma mesti mencari ‘point of differentiation’ yang jelas, dan tidak mustahil Isma boleh menjadi inspirasi kepada mereka yang sudah berkeluarga untuk terus mengejar dan mencapai impian.”

HAFIZ
“SEJAK minggu pertama lagi, kita sudah nampak kualiti seorang bintang pada Hafiz. Pengkritik melihat Hafiz perlu diuji dengan sesuatu yang bakal membawa persembahannya ke tahap yang luar biasa dan tidak lagi ‘play safe’. Cabaran yang diberi kepada Hafiz setiap minggu, daripada lagu rap kepada lagu masterpiece P Ramlee, memaksanya supaya terus meningkat dan berani mendorong dirinya untuk mencapai tahap yang lebih tinggi setiap minggu. “Hafiz seorang pelajar yang sangat bersopan santun, sangat menghormati orang sekelilingnya. Saya rasa sifat ini akan membawanya sangat jauh kerana kualiti ini terlalu jarang ada pada penghibur sedia ada dalam industri kita. “Saya takkan lupa persembahan Hafiz pada minggu teater muzikal. Dia menyampaikan lagu Di Mana Kan Ku Cari Ganti hingga saya terpaksa menahan sebak. Pada minggu lalu pula dia membawakan lagu I Believe I Can Fly dengan begitu berkesan sekali.”

ARIL
“KEKUATAN Aril adalah pada personaliti dan keyakinannya apabila beraksi di atas pentas. Aril turut mempunyai kualiti kepemimpinan yang tinggi, yang saya rasa akan membawanya jauh sebagai ketua industri hiburan kita. Dia juga seorang pelajar yang kreatif dan berani, seorang penghibur yang sentiasa berfikir. “Saya rasa potensi Aril sudah kelihatan sejak konsert minggu pertama lagi, tetapi semakin menyerlah apabila berjaya mengatasi ujian menyanyikan lagu Andainya Aku Pergi Dulu. Antara persembahan Aril yang paling meninggalkan kesan pada saya adalah minggu ketika dia beraksi bersama band.”

YAZID
“YAZID bermula sebagai pelajar yang paling tak ada keyakinan diri dan rendah semangatnya. Dia capkan dirinya sebagai gagap dan gemuruh. Pada awal-awal dulu, dia cuba bersembunyi di sebalik alasan itu. “Mulai minggu ketiga, fakulti berhasil menembusi tembok itu dan kita mulai melihat potensi sebenar Yazid. Yang paling menarik ialah apabila Yazid sendiri sedar bahawa dari satu minggu ke satu minggu, dia tetap terselamat daripada proses penyingkiran serta mempunyai potensi untuk menjadi juara. “Yazid terlampau jujur dan rendah diri, Mungkin itulah masalah utamanya. Dia juga sangat mudah terganggu dengan sesuatu dan hilang fokus. “Sekarang, Yazid semakin mempunyai keyakinan dan tumpuan. Dia sudah menemui potensi dalam dirinya ketika menyanyikan lagu U2, begitu juga ketika dia menyanyi pada minggu teater muzikal, seterusnya sepanjang minggu ini. Fakulti kini sedang fokus mempersiapkan Yazid untuk menghadapi dunia realiti di luar AF!”

AKIM
“PADA saya Akim ialah pelajar yang paling ketara transformasinya, dari zero ke hero. Dia agak lambat untuk menonjol, lebih-lebih lagi di antara pelajar yang ramai pada minggu-minggu awal. “Transformasi Akim pada fizikal, bermula dengan tercukurnya kumis yang saya panggil ‘hidup segan mati tak mahu’ itu serta potongan rambut yang lebih trendy. Saya rasa perubahan ini serta keyakinan dirinya apabila mendapat tepukan gemuruh penonton setiap kali beraksi, banyak membangkitkan semangat Akim untuk terus maju. “Saya pertama kali melihat bintangnya bersinar apabila dia menyanyikan lagu Aurora, dan saya semakin kagum apabila dia mengatasi cabaran sebagai Sultan Melaka sewaktu mengadakan persembahan pada minggu teater muzikal. Paling ketara perubahannya ketika dia menyanyikan I’m Yours minggu lalu.”

No comments:

Post a Comment