AKADEMI Fantasia musim ketujuh yang bermula Mac lalu bakal melabuhkan tirainya esok. Bagaimanapun transformasi yang dijanjikan Astro untuk musim ini masih kelam. Malah ramai berpendapat, AF7 lambat panas tidak seperti AF yang lalu. Mungkin sudah terlambat untuk didebatkan soal transformasi dan kisah lambat panas kerana yang menjadi teka-teki pada saat akhir ini ialah siapa yang bakal bergelar juara? Mungkinkah pelajar wanita akan mempertahankan gelaran itu sekali lagi memandangkan ibu kepada lima cahaya mata, Isma sering kali mendapat undian tertinggi? Tetapi jika menilai dari sudut vokal, kekuatan vokal Isma tidak begitu mantap berbanding pelajar lain yang masih bertahan.
Di awal AF7, kedudukan wanita berusia 30 tahun itu sukar untuk digugat tetapi semakin terancam apabila Yazid, pelajar dari Johor Bahru melonjak serta merta. Jika melihat dari undian, Yazid juga berkemungkinan besar bergelar juara kerana undian sejak akhir-akhir ini sering berpihak kepadanya. Namun jangan menidakkan kebolehan pelajar dari Kuching, Sarawak, Hafiz yang memiliki vokal konsisten setiap minggu. Walaupun jarang berada di tangga pertama, sesekali Hafiz berjaya mengenepikan Isma dan Yazid terutama selepas berakhirnya konsert. Sayangnya undian untuk anak muda berusia 18 tahun ini tidak konsisten sebagai mana persembahannya. Jika menilai dari kebolehan vokal, ramai melihat gelaran juara layak menjadi milik Hafiz. Jejaka berambut kerinting itu dikatakan bakal memecah monopoli juara wanita selama dua musim.
Mawi, Zahid, Mila, Nubhan dan Dafi, bekas pelajar AF sepakat menyatakan Hafiz bakal bergelar juara AF seterusnya walaupun undian SMS harian sering kali tidak berpihak kepadanya. Mawi berkata jika berdasarkan kepada undian setiap hari yang dipaparkan di kaca televisyen menerusi Astro Ria, secara terang-terangan Isma bakal membawa pulang trofi juara. Tetapi melihat dari segi bakat, Mawi menyandarkan harapan pada Hafiz. “Setakat ini saya melihat orang yang layak untuk menjadi juara AF musim ini adalah Hafiz kerana bakat semula jadi sebagai penyanyi yang dimilikinya. Persembahan Hafiz setiap minggu juga tidak pernah menghampakan, tetapi jika mengikut undian sudah tentu akan menjadi milik Isma,” katanya. Selain Hafiz, bekas juara AF musim ketiga itu juga tertarik dengan persembahan bersahaja pelajar bernama Aril yang diserap masuk pada minggu ke sembilan. Peserta yang pernah mencetuskan fenomena Tsumawi itu berpendapat, Aril boleh pergi jauh kerana dia diminati golongan muda.
Zahid juga sependapat dengan Mawi, kata juara AF musim kedua itu pula, Isma tidak kurang hebatnya tetapi cukuplah dua wanita saja bergelar juara dan takhta itu perlu kembali kepada pelajar lelaki. “Hafiz memiliki bakat dan suara yang baik tetapi cukuplah dua kali wanita menjadi juara. Harapan saya kali ini, biarlah lelaki pula menjadi juara. “Cuma kali ini saya merasakan AF lambat panas dan saya juga kurang bersetuju apabila dua pelajar disingkirkan dalam satu minggu. Kasihan pada mereka kerana tidak sempat nak belajar apa-apa tetapi terpaksa disingkirkan,” katanya. J
Juara wanita pertama, Mila yang pernah berduet dengan Hafiz menerusi lagu Terlanjur Cinta melihat kelebihan pelajar itu ketika mereka berduet. “Bagi Mila pelajar musim ini kebanyakannya berbakat dan boleh menyanyi berbanding zaman Mila dulu. Ketika itu kebanyakan kami bermula dengan kosong hingga sering dihentam teruk pengkritik. Tetapi Mila melihat potensi juara ada pada Hafiz kerana ketika berduet dengannya dulu, Mila nampak kegigihan serta kesungguhannya. “Kalau dari segi aura pula Mila nampak pada Isma kerana dia sering mendapat undian yang tinggi. Mila juga melihat AF7 ada kelainan kerana setiap minggu ada saja konsep berbeza diketengahkan seperti muzikal yang berbeza dari kami dulu,” katanya.
Dafi pula berkata, bersandarkan kepada undian tertinggi dari minggu pertama awal-awal lagi Isma akan bergelar juara. Bagaimanapun, peminat kini lebih bijak memilih peserta yang benar-benar memiliki bakat. “Dafi pernah menjadi penonton, pengundi dan juga peserta, melalui pemerhatian Dafi kebanyakan pengundi berada atas pagar. Mereka biasanya akan mengundi peserta yang membuat persembahan terbaik. Jadi Dafi rasa tidak mustahil Hafiz boleh menjadi juara, kerana berdasarkan apa yang Dafi perhatikan keputusan undian Hafiz selalunya yang tertinggi setiap kali selepas konsert. “Hafiz bukan setakat boleh menyanyi, tetapi dia juga seorang penghibur malah Dafi yakin ramai yang suka dengan Hafiz kerana persembahan serta personalitinya yang baik,” kata bekas pelajar musim kelima itu.
Pemenang tempat ketiga bagi musim keenam, Nubhan pula berkata, keunikan nada suara Hafiz adalah antara keistimewaan yang dimiliki jejaka itu. Gayanya yang sederhana dan tidak suka mencari perhatian juga menyebabkan penonton berasa senang dengannya. “Hafiz memiliki kawalan vokal yang bagus. Biarpun undiannya tidak berapa tinggi, Nubhan yakin dia boleh menarik perhatian penonton pada konsert akhir nanti,” katanya.
No comments:
Post a Comment