HAMPIR sebulan menanti akhirnya naib juara Akademi Fantasia Musim Keenam (AF6), Mohammed Idris Mohd Zaizizi, 22 atau Riz mendapat rezeki apabila dipelawa menjayakan Konsert Penutupan Citrarasa 2008 di Miri, Sarawak.
Konsert anjuran Kementerian Pelancongan Malaysia itu bakal berlangsung 21 Jun ini, jam 8 malam, di Perkarangan Tempat Letak Kereta Kompleks Boulevard.Tawaran dibuat pihak pengurusan artis untuk konsert terbabit De'Media and Event Entertainment, disambut Riz dengan perasaan gembira.Jelas Riz, dia turut menarik nafas lega memandangkan selepas musim AF6 tamat anak jati kelahiran Gerik, Perak itu masih belum menerima sebarang tawaran untuk mengadakan persembahan."Saya tidak nafikan apabila hari berganti minggu dan perkembangan kerjaya agak perlahan membuatkan saya bimbang. Bukan kata sebelum ini tidak ada persembahan dijayakan, tetapi ia lebih kepada persembahan promosi."Melihat pada perkembangan kerjaya agak perlahan sebaik keluar AF6, apa yang terlintas di fikiran sebelum ini bagaimana saya mahu meneruskan kehidupan sekiranya tiada tawaran menyanyi. Tiada tawaran bermakna tiada kerja dan bila tiada kerja bermakna tidak ada gaji," katanya.
Begitupun atas nasihat rakan lebih senior, Riz cuba mengambil sikap tunggu dan lihat."Kebanyakan bintang AF terdahulu ada memberitahu kepada saya, perkembangan yang berlaku kepada saya mahupun pada rakan lain adalah perkara biasa. Pada peringkat awal memang jarang mereka mendapat tawaran mengadakan persembahan. "Masa terluang digunakan untuk mempromosi diri dengan bertemu dengan pihak media dan menjalani sesi fotografi. Itu jugalah yang dilakukan syarikat pengurusan Maestro Talent and Management sebaik saya dan rakan AF6 lain keluar daripada akademi," katanya.Bercerita lanjut mengenai persembahan pertamanya itu kata Riz dia bakal menyanyikan lagu Separuh Masa (Delima), Seribu Tahun (Imran Ajmain), Kasih Latifah (Spider) dan Mungkin (Anuar Zain). Menghairankan, Riz tidak menyenaraikan singlenya yang dinyanyikan kali pertama di konsert akhir AF6, hanya Sandiwara, pada malam persembahan itu nanti.
"Saya menghadapi masalah kerana tidak mempunyai minus one lagu itu. Perkara itu sudah saya ketengahkan kepada pihak pengurusan dan mereka kini sedang mengusahakannya. "Minggu lalu saya baru saja selesai merakamkan kembali Hanya Sandiwara di studio," katanya.Menyentuh perancangan kerjaya pada masa depan, kata Riz dia menunggu untuk merakamkan satu lagi lagu ciptaan Ajai yang diberikan pengetua Ramli M S sewaktu berada dalam akademi."Baru-baru ini pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia musim ketiga, Amelia ada bertemu saya memberitahu dia ada mencipta satu lagu khas untuk saya. "Sebenarnya dia mahu saya menyanyikan lagu itu pada konsert akhir tetapi pihak pengurusan berpendapat ia tidak sesuai kerana bimbang dianggap bias oleh penonton setia. Begitupun saya berminat untuk menyanyikannya sekiranya ia bagus dan boleh dimuatkan dalam album bakal dihasilkan nanti," katanya lagi.Selain Riz, Konsert Penutupan Citrarasa itu turut disertai artis popular dan berpengalaman antaranya Aishah, Elyana, Datuk Ahmad Jais, Karen, Pija, Deja Moss, Lotter dan Kogee.
petikan ; Harian Metro / 20.06.08
komen jefbuj
Ayuh, peminat RIZ mari turun ramai2 ke Miri untuk melihat Riz dari dekat! Jangan lupa bawa autograph dan semestinya kamera anda!