OGOS ini genaplah tiga tahun karier Mawi diuruskan sepenuhnya oleh Maestro Talent & Management (Maestro). Selepas tarikh itu, seperti yang termaktub dalam kontrak, Mawi akan diberi pilihan sama ada mahu menyambung kontrak ataupun membawa haluannya sendiri. Ke mana haluan jejaka ini nampaknya masih lagi menjadi tanda tanya. Bagaimanapun, desas desus mengatakan Mawi akan angkat kaki meninggalkan Maestro dan mengambil keputusan untuk menguruskan kariernya sendiri. Andai benar dakwaan itu, pastinya pemergian Mawi satu kehilangan besar buat Maestro. Maklumlah, semua orang tahu Mawi adalah lubuk duit kepada syarikat pengurusan itu. Tetapi betulkah Mawi ingin meninggalkan Maestro yang selama ini begitu banyak menaburkan jasa padanya?
“Setakat ini saya belum memutuskan apa-apa. Semuanya masih lagi dalam perbincangan. Sejujurnya, sepanjang hampir tiga tahun bernaung di bawah pengurusan Maestro, saya berpuas hati dengan apa yang mereka lakukan untuk saya. Mereka menjaga kebajikan saya dengan baik. “Insya-Allah, mungkin saya akan menyambung kontrak dengan Maestro tetapi kontraknya hanyalah setahun. Dalam tempoh itu nanti, saya akan lihat bagaimana perkembangannya. Bagaimanapun, saya tak nafikan yang memang teringin untuk menguruskan karier sendiri. “Masih banyak lagi selok belok pengurusan yang saya masih belum mahir. Lagipun sekarang ini banyak job saya Maestro yang carikan. Tengoklah nanti, apabila sudah ada keupayaan serta tenaga kerja barulah saya yakin untuk melakukannya sendiri,” katanya.
Mawi ditemui pada majlis pelancaran Konsert Cornetto Love Sparks baru-baru ini di Planet Hollywood. Hadir sama, Pengarah Urusan Unilever (M) Holdings Sdn Bhd, Noel Lorenzana bersama-sama Duta Cornetto, Dafi, Juara AF5 Mila dan Juara AF6, Stacy. Sidang media khas umum perkahwinan TUAN punya badan belum mengesahkan apa-apa tetapi orang di luar sana sudah mula memukul canang membawa cerita mengatakan Mawi dan buah hati pengarang jantungnya, Ikin bakal menamatkan zaman bujang mereka Disember depan. Mereka bukan bercakap kosong sebaliknya lengkap dengan bukti kononnya ada yang ternampak Ikin sedang sibuk membeli belah barangan perkahwinan di sebuah negara jiran baru-baru ini. Malah, jejaka kelahiran Felda Taib Andak itu sendiri dikatakan begitu sakan membeli belah di Dubai sewaktu menjalani penggambaran di lokasi berkenaan bulan lalu.
Jika benarlah apa yang digembar-gemburkan itu bermakna semakin dekatlah hari bahagia dua pasangan sama cantik sama padan ini. Namun, Mawi sekali lagi menafikan yang dia bakal mendirikan rumah tangga pada tarikh seperti yang dihebohkan itu. “Mana ada, tak ada sebarang tarikh pun. Kami pun belum bincang apa-apa lagi. Kalau betul saya akan berkahwin, saya tidak akan merahsiakannya. Lagipun ini perkara baik dan tak perlu nak disorokkan daripada pengetahuan peminat. “Insya-Allah apabila sampai masanya nanti, saya akan adakan sidang media khas untuk mengumumkan berita baik itu. Saya tidak mahu ada pihak media yang berkecil hati nanti hanya kerana isu perkahwinan ini. “Mengenai isu membeli barangan hantaran di Dubai itu, saya akui ada beli barang di sana tetapi bukanlah hantaran perkahwinan seperti yang dihebohkan. Sebaliknya, saya beli banyak barang seperti kain untuk kegunaan keluarga dan Ikin sendiri. Bukannya untuk tujuan tertentu,” ujar jejaka berusia 27 tahun ini Diusik dengan pertanyaan apakah dia benar-benar sudah bersedia untuk bergelar suami, selamba Mawi menjawab, 50-50 sekali gus membuatkan orang yang berada di sekelilingnya tertawa besar mendengarnya.
petikan: Berita Harian / 23.06.08