UJIAN menyanyikan lagu rancak sudah melebihi tahap memuaskan. Namun, kebolehan peserta Gang Starz musim kedua menyanyikan lagu berentak perlahan masih diragui.
Mungkin pemilihan lagu rancak dilihat sesuai dengan konsep program realiti yang mencungkil bakat vokal berkumpulan itu. Sepanjang konsert berlangsung, kebanyakan peserta memilih lagu rancak untuk menghiburkan penonton dan juri ketika tampil menerusi persembahan masing-masing. Konsert minggu keenam di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Ahad lalu, sekali lagi memperlihatkan hampir semua peserta menyampaikan lagu rancak antaranya wakil Filipina, Paragon Child dengan lagu Let Get It Started, D’Reborn (Percayalah dan Khayalan), D’Raz (Kekasih Gelapku dan Keliru) dan One Nation Emcess (Cek Mek Molek).Persembahan peserta yang dinilai juri profesional yang terdiri daripada penyanyi dan komposer, Ajai dan penyanyi rap Singapura, Sheikh Haikal serta juri undangan Zainal Abidin. Pemilihan lagu rancak itu diakui Ajai yang turut berasa ragu dengan kebolehan peserta menyampaikan lagu dalam rentak perlahan pada setiap persembahan sebelum ini.“Setakat ini saya tidak nampak peserta yang mampu menampilkan suara yang mantap dan menyerlah ketika menyampaikan lagu berentak perlahan. Kebanyakan mereka memilih lagu berentak pantas kerana senang untuk dinyanyikan selain mampu mengurangkan kesilapan ketika persembahan,” katanya.
Sheikh Haikal yang turut menyokong perkara itu memaklumkan peserta seharusnya menonjol bakat yang mereka ada jika mahu terus bersaing.“Peserta perlu tahu konsert ini sudah naik ke peringkat kedua. Jadi peserta perlu menunjukkan bakat yang ada pada mereka dengan menyinar pada setiap persembahan,” katanya.Ketika ditemui selepas berakhirnya konsert, mereka menyifatkan setiap peserta mempunyai tarikan dan kreativiti masing-masing.Mengulas mengenai persembahan pentas yang menarik daripada kumpulan Step daripada Thailand sehingga mampu meraih undian SMS tertinggi, Ajai sebaliknya meluahkan rasa bosan dengan persembahan yang disifatkan biasa saja. Step menyampaikan lagu Oh Oh Oh dengan keunikannya tersendiri.
Menurutnya, dari segi tarian kumpulan berkenaan mungkin berjaya menarik perhatian namun tidak dalam nyanyian malah persembahan mereka juga tidak menunjukkan peningkatan berbanding peserta lain.
Pada konsert itu, wakil negara yang dianggotai Mohd Dzul Faiz Ismail, 15, serta pasangan adik-beradik, Farhana, 22, dan Fazlyana Muhamad, 14, menyampaikan lagu Itu Kamu gagal meneruskan kemaraan apabila diumum tersingkir. Menurut Ajai, peserta negara itu mempunyai kekuatan vokal cuma berdepan masalah dari segi susunan muzik, pilihan lagu dan suara.“Mereka boleh menyanyi dengan baik tetap berdepan masalah dari segi penyampaian ketika mengadakan persembahan. Apabila mereka menyanyi seperti ada yang tidak kena daripada suara dan pemilihan lagu.“Begitupun, dari sudut harmoni mereka sudah menampakkan peningkatan pada persembahan kali ini. Persembahan mereka ternyata berbeza dan lebih baik daripada sebelumnya,” katanya.
Sementara itu, Farhana ketika ditemui berkata kegagalan meneruskan persaingan dalam program realiti itu tidak melunturkan semangatnya untuk meneruskan impian dalam bidang seni.“Kami sentiasa bersedia untuk tersingkir menerusi pertandingan ini. Kami menjadikan ia sebagai motivasi untuk melakukan persembahan yang lebih baik pada episod seterusnya. Biarpun tersingkir kami tetap meneruskan impian dalam bidang seni.“Inilah adat pertandingan ada menang dan ada yang kalah. Kami bersyukur dan bertuah kerana dapat menyertai pertandingan ini. Banyak perkara yang kami pelajari daripada tenaga pengajar dan peserta daripada negara lain yang sama-sama menyertai pertandingan ini,” kata Farhana yang berkerja sebagai penyanyi di Majlis Sukan Negara. Turut berada dalam kelompok bahaya ialah wakil Filipina, 3.5. Walaupun diberi peluang tampil menyanyikan lagu dengan gabungan sementara anggota asalnya, Pau. Namun 3.5 perlu berusaha lebih gigih untuk memastikan perjuangan mereka dapat diteruskan sehingga ke peringkat akhir.Peserta lain yang turut mendapat maklum balas positif daripada pihak juri ialah kumpulan dari Indonesia yang diwakili tiga gadis jelita, 3 Voices menerusi lagu Makhluk Tuhan Paling Seksi selain wakil negara, Akasia dengan lagu Buttons dan Nour El Ain.Di samping dihiburkan dengan persembahan artis jemputan, Ruffedge yang menyampaikan lagu Mulanya Di Sini, penonton turut dikejutkan dengan gimik penampilan penyanyi asal lagu Keliru, Nurul yang tampil spontan menyatakan tidak bersetuju dengan komen yang diberikan Ajai kepada D’Raz.
Petikan : Harian Metro / 25.06.08
Komen Jefbuj
Kumpulan Paragon Child tetap menyerlah ! Minggu ini mereka telah menyelitkan lirik bahasa melayu di dalam rap mereka, sungguh membanggakan! Saya percaya mereka memang benar2 ingin menjadi Juara musim ini. Semangat ini harus diikuti oleh kumpulan yang lain. Mereka mempunyai pakej yang sempurna untuk menjadi sebuah kumpulan yang bakal menjadi idola satu hari nanti! Syabas Paragon Child !