I made this widget at MyFlashFetish.com.

Wednesday, June 18, 2008

Arab Perlu Kawal Harga Minyak


MEMILIKI kekayaan dan kemewahan menjadi idaman semua manusia. Lebih-lebih lagi dalam dunia yang semakin materialistik sekarang. Pendek kata, ada duit semua jadi. Bagaimanapun, sebagai manusia, kita sentiasa diuji oleh Allah untuk menilai tahap keimanan masing-masing.
Allah berfirman: Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, Maka dia akan berkata: Tuhanku telah memuliakanku. Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya Maka dia berkata: Tuhanku menghinakanku. (al-Fajr: 15-16).
Kini, bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh dunia diuji dengan kenaikan harga minyak dan barang makanan lain.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto, HARUN OSMAN menemu bual Pengarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Prof. Madya Dr. Muhamad Rahimi Osman bagi mengupas fenomena ini.

MEGA: Mengapakah ahli-ahli Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) yang majoritinya negara Islam tidak berkuasa menentukan harga bahan mentah itu di peringkat dunia?DR. RAHIMI: Masalah utama negara-negara Islam ialah mereka tidak boleh bersatu. Ini menjadi ‘modal’ kepada negara Barat untuk menyerang Islam. Apabila tidak bersatu, maka mudahlah negara Islam diperkotak-katikkan oleh Barat. Ini bukan sahaja melibatkan aspek ekonomi tetapi hal berkaitan politik, ketenteraan dan sebagainya. Sebab itu al-Quran menyuruh kita bersatu. Jika berpecah kita boleh hilang kekuatan.

Saya teringat kata-kata bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Henry Kessinger: “Kuasailah minyak dan anda kuasai dunia, kuasai makanan dan anda kuasai rakyat.” Falsafah inilah yang menjadi asas kepada Barat. Sebab itulah, serangan yang dilakukan ke atas Iraq walaupun kononnya atas alasan pembinaan senjata berat oleh Iraq tetapi matlamat sebenarnya adalah menguasai telaga-telaga minyaknya.
Memanglah harga minyak ini ditentukan oleh pasaran global tetapi ada peranan kuasa Barat yang menyebabkan ia berlaku. Antaranya ialah krisis di Asia Barat seperti Perang Teluk, krisis Israel dengan Lebanon dan ugutan-ugutan Israel untuk menyerang Iran. Dan kita tahu bahawa di belakang semua ini ialah AS yang menyokong kuat sekutu-sekutunya. Ini selain faktor seperti kegiatan spekulator harga.
Apakah yang menjadi penghalang kepada negara-negara Arab di bawah OPEC untuk bersatu sehingga minyak boleh dijadikan ‘senjata’ dalam dunia moden ini?DR. RAHIMI: Seperti yang disebut tadi, perpecahan negara-negara Arab adalah pokok kepada masalah ini. Malah ada pepatah Arab menyebut, “Seolah-olah sudah sepakat supaya kita tidak akan sepakat.” Kata-kata ini menggambarkan betapa sukarnya orang Arab hendak bersatu.
Mungkin itulah juga hikmahnya, mengapa Rasulullah SAW dihantar kepada masyarakat Arab untuk menyatukan mereka atas dasar Islam. Penyatuan itu berjaya di kalangan kabilah-kabilah Arab. Tanpa berpegang kepada asas Islam sudah tentu sukar bagi kita hendak bersatu.
Saranan bersatu ini dijelaskan menerusi firman Allah: Dan janganlah kamu berbantah-bantahan, jika tidak nescaya kamu akan menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu...(Al-Anfaal: 46)
Kebanyakan tindakan yang menghalang penyatuan negara Arab ini lebih kepada aspek keduniaan seperti mengekalkan kuasa politik dan ekonomi. Mereka bimbang jika tidak mengikut telunjuk Barat, mereka akan hilang kuasa memerintah di negara masing-masing.
Kita tahu bahawa Allah memberi nikmat kepada Negara-negara Arab ini yang tanahnya kering kontang dengan emas hitam iaitu minyak. Maka sudah sepatutnya, komoditi itu digunakan sebagai ‘senjata’ untuk kebaikan dan manfaat negara Islam seluruh dunia. Namun, hakikat yang berlaku adalah sebaliknya. Inilah yang amat dikesali.

Melihatkan kepada keahlian OPEC, tujuh daripada 11 negaranya adalah negara Islam. Sepatutnya apabila berhadapan dengan isu-isu melibatkan kepentingan Islam, negara Arab boleh gunakan minyak sebagai ‘senjata’ untuk melawan Barat walaupun mereka tidak ada kuasa dari segi ketenteraan dan ekonomi.
Dari satu segi, apabila hasil bumi yang Allah kurniakan itu disalahguna maka kita gagal bangunkan negara-negara Islam. Sebaliknya lebih mengharapkan Barat yang memberi bantuan pada negara Islam yang berkenaan.
Sebelum kekalutan kenaikan harga minyak, kita dibebani kenaikan harga pelbagai barang keperluan termasuk beras. Apakah konsep kemajuan dan pembangunan dalam perspektif Islam?DR. RAHIMI: Islam menekankan kemajuan dan pembangunan tetapi ia mestilah bersepadu. Mesti seimbang antara spiritual dan fizikal. Bukan seperti kemajuan di Barat yang lebih pentingkan fizikal sahaja. Dalam Islam yang lebih penting ialah pembangunan insan dan akhlak.
Umat Islam adalah khalifah di bumi sebagaimana firman Allah: Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan khalifah di muka bumi… (al-Baqarah: 30)

Sebagai khalifah di muka bumi kita harus membangunkan alam dan menggunakan sumber-sumbernya dengan optimum untuk kebaikan umat. Bukannya jadi hamba dunia.
Jadi, ciri penting dalam kriteria ini ialah akhlak. Apabila pembangunan tidak disertai pembangunan rohani maka ia akan menjuruskan kepada kehancuran. Ia boleh membawa kepada kerosakan alam sekitar, kenaikan harga barang dan ketidakstabilan politik. Inilah yang ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya: Telah berlaku kerosakan di darat dan lautan akibat perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar). (ar-Rum: 41)

Projek pembangunan mesti mengutamakan kepentingan dharuriat (asas) seperti makanan asasi, pendidikan, infrastruktur seperti jalan raya dan kesihatan. Selepas aspek tersebut dipenuhi barulah beralih kepada kepentingan hajat yang membawa kepada keselesaan hidup. Kemudian barulah mencapai ke tahap kamaliat (kesempurnaan) iaitu barang-barang mewah.

Bagi Malaysia, yang perlu diutamakan ialah pengeluaran makanan asasi iaitu pengeluaran padi. Ini penting supaya tidak bergantung kepada negara asing yang boleh mengeksploitasi kekurangan makanan. Kita berada di landasan yang betul apabila kerajaan memberi tumpuan kepada pertanian untuk menyediakan makanan kepada masyarakat sehingga mencapai tahap sara diri. Ini boleh dicapai melalui penggunaan pelbagai teknologi seperti biotek dan teknologi nano.

Dalam keadaan sekarang, apakah peranan yang boleh dimainkan oleh institusi zakat dalam membantu golongan penerima yang layak?DR. RAHIMI: Islam menyediakan mekanisme pengagihan harta supaya ia tidak berlegar di kalangan orang kaya sahaja. Justeru, institusi zakat mempunyai matlamat serampang dua mata iaitu selain sebagai ibadat ia juga sebagai dasar fiskal ekonomi bagi bantu golongan yang memerlukan. Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang, sudah tentu golongan fakir miskin makin tertekan.

Bagi menjamin ia dapat berperanan sedemikian, pengurusan zakat perlu cekap. Ini dapat dicapai melalui jumlah kutipan dan agihan kepada masyarakat.
Cuma isunya ialah bagaimana memperkukuhkan lagi institusi zakat supaya sistem agihannya dapat membantu golongan miskin keluar daripada paras kemiskinan dan akhirnya menjadi golongan pembayar zakat di masa akan datang.

Untuk itu, proses agihan ini tidak boleh terlalu rigid. Sepatutnya jika seseorang itu disahkan layak menerima zakat, berikan sahaja jangan ia terhalang disebabkan mereka tidak di daerah atau negeri lain. Walaupun kita memahami bahawa semuanya perlu melalui prosedur tetapi ia perlu dipermudahkan terutama kepada golongan mualaf. Jangan sampai mereka seperti ‘bola’ ditendang ke sana ke sini untuk mendapatkan bantuan zakat.

Adalah malang jika institusi zakat kita gagal menemui golongan fakir miskin sebaliknya media massa yang lebih berjaya mengesan mereka. Sebagai petugas zakat, mereka perlu mempunyai tanggungjawab bawah menyampaikan bantuan itu adalah amanah Allah. Jika gagal, maknanya kita berdosa.

Dalam sejarah, Rasulullah SAW membelanjakan semua wang zakat yang dikutip. Walaupun ada asnaf amil di situ yang boleh digunakan untuk pentadbiran dan lain-lain, tujuh lagi asnaf yang layak menerima zakat perlu menerima bahagian mereka masing-masing. Jangan hanya kita berbangga dengan jumlah kutipan zakat semata-mata.

Banyak saranan dibuat agar mengamalkan hidup sederhana atau mengubah tabiat hidup akibat kenaikan pelbagai harga barang. Apakah saranan Islam dalam hal ini?DR. RAHIMI: Saranan tersebut memang selari dengan Islam yang menyuruh umatnya bersederhana dalam berbelanja dan berbelanja secara berhemah. Allah berfirman: Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta) mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak pula (kikir), dan adalah perbelanjaan itu di tengah-tengah antara yang demikian. (al-Furqaan: 67)

Dalam masyarakat sekarang, memang berlaku banyak pembaziran sama ada di jabatan kerajaan atau syarikat-syarikat dan individu. Ia boleh dilihat melalui penganjuran pelbagai majlis keraian, program hiburan yang tidak mendatangkan pulangan yang baik kepada negara dan masyarakat. Kita perlu berjimat dan membuat simpanan untuk masa depan. Inilah yang terkandung dalam firman Allah ayat 43 hingga 29 surah Yusuf.

Saranan Islam supaya mengamalkan perbelanjaan berhemah itu sudah lama lebih-lebih lagi dalam situasi sekarang. Ia penting untuk memastikan pendapatan kita mencukupi untuk keperluan hidup. Lagipun pembaziran itu adalah saudara syaitan.
petikan : Utusan Malaysia / 17.06.08