I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday, June 05, 2008

Mawi tinggalkan Maestro?



Petikan : Utusan Malaysia / 5-06-08/ METRA SYAHRIL


KONTRAK Mawi bersama Maestro akan berakhir dan juara AF3 masih belum membuat keputusan sama ada kekal di bawah naungan Maestro atau sebaliknya.
BEBERAPA bulan sahaja lagi, kontrak ‘hayat’ Asmawi Ani atau lebih popular dengan panggilan Mawi bersama Maestro Talent & Management (Maestro) akan berakhir.
Sepanjang tiga tahun bernaung di bawah Maestro, Mawi dilabel sebagai anak emas syarikat rakaman itu lantaran dia merupakan satu-satunya juara Akademi Fantasia (AF) yang paling menyerlah.
Namun, selepas mengecap segala populariti, Mawi dilaporkan bakal meninggalkan Maestro dan mencari haluan baru dalam mewarnai masa depan karier seninya.
Mempunyai keinginan untuk menguruskan hal ehwal karier sendiri, Mawi bagaimanapun menjelaskan, urusan pengurusan karier seninya termasuk kontrak rakaman dengan Maestro masih dalam proses perbincangan.
Khabarnya, tempoh setahun untuk membuat keputusan sama ada kekal bersama Maestro atau sebaliknya sudah pun berakhir.
“Memang kontrak saya akan tamat tidak lama lagi. Buat masa ini, apa yang boleh saya katakan adalah kami sedang berbincang. Berilah sedikit masa lagi untuk saya buat keputusan,’’ katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Konsert Cornetto Love Sparks di Planet Hollywood, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menurut Mawi, walaupun teringin melakukan urusan mengenai soal kerjaya secara sendiri, namun dia mengakui, masih belum mempunyai kekuatan untuk berbuat demikian.
Baginya, Maestro selama ini telah melakukan kerja dengan baik terutama dalam urusan penyusunan jadual setiap artis yang berada di bawahnya.
“Saya amat berpuas hati dan selesa dengan cara pengurusan Maestro. Mungkin selepas ini saya akan cuba untuk menguruskan soal kerjaya dengan sendiri,’’ jelasnya juara AF musim ketiga itu.
Ditanya sama ada dia pernah dilamar untuk bernaung di bawah syarikat rakaman lain, Mawi menjelaskan, perkara tersebut tidak berlaku.
“Kalau ada tawaran pun, saya akan berbincang terlebih dahulu,’’ katanya yang turut mengimpikan untuk mengadakan konsert solo di Istana Budaya tahun depan.
Sementara itu, Mawi yang baru sahaja pulang bercuti dari Korea Selatan turut diajukan persoalan mengenai perihal perancangan majlis perkahwinannya bersama Nora’Asikin Rahmat atau Ekin.
Menafikan akan melakukan majlis tersebut pada hari jadinya iaitu 25 Ogos ini, Mawi menjelaskan, dia akan membuat sidang media khas untuk mengumumkan tarikh perkahwinannya.
“Saya mahu berlaku adil kepada semua media. Saya tidak mahu ada media yang ketinggalan yang kemudian akan memarahi saya nanti.
“Sampai satu masa, saya akan memberitahu segala-galanya dan tidak akan berahsia mengenai soal kahwin,’’ janji Mawi.
Mengenai soal Ekin yang dikatakan telah membeli-belah di Jakarta, Indonesia, Mawi berkata, dia sendiri tidak diberitahu apa yang dibeli oleh kekasihnya itu negara jiran itu.
“Memang saya tahu dia (Ekin) ke Jakarta tetapi saya tidak tahu apa yang dibelinya.
“Mengenai dakwaan yang mengatakan saya membeli barangan persiapan kahwin di Dubai pula, ingin saya jelaskan, saya cuma membeli kain untuk keluarga.
“Ada beli untuk Ekin sekali tetapi tidaklah sedondon warnanya dengan saya. Cuma beli kain, itu sahaja,’’ ujar Mawi lagi.
Sementara itu, Konsert Cornetto Love Sparks yang bertema Mulanya Di Sini akan diadakan di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada 28 Jun ini bermula pukul 7.30 malam.
Selain Mawi, konsert tersebut akan dihangatkan dengan penampilan juara AF6, Stacy.
Turut mengadakan persembahan adalah Dafi dan Gita Gutawa, Mila dan kumpulan Estranged.
Tiket untuk menghadiri konsert itu boleh didapati menerusi peraduan sistem pesanan ringkas (SMS).
Bagi menyertai peraduan tersebut, orang ramai hanya perlu membeli aiskrim Wall’s Cornetto dan menghantar kod unik yang terdapat pada penutup kon melalui SMS ke 36326.
Dalam pada itu, Stacy atau nama sebenarnya Stracie Angie Anam yang ditemui memberitahu, dia merasa amat bertuah kerana diberi peluang mengadakan persembahan pada konsert terbabit.
‘‘Ini merupakan aksi pertama saya selepas bergelar juara AF6. Sudah tentu saya rasa bertuah dan gembira.
‘‘Konsert ini akan saya jadikan sebagai platform untuk berkongsi pengalaman dengan Mawi, Mila dan artis lain,’’ katanya.