I made this widget at MyFlashFetish.com.

Saturday, March 13, 2010

KONTROVERSI AWAL AF8


Petikan : Utusan Malaysia Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED metra.mohamed@utusan.com.my

BIARPUN Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) belum membuka tirainya secara rasmi, kontroversi awal mengenai perjalanan akademi sudah mula tercipta. Membabitkan jadual siaran Diari Akademi Fantasia (AF) yang dilihat seakan tidak sensitif dengan waktu solat Maghrib sehingga kepada pemilihan pelajarnya, kontroversi mengenai soal tajaan dan iklan menambahkan lagi warna-warni AF untuk musim ini.

Mengenai pemilihan 12 pelajarnya yang akan memulakan saingan di konsert minggu pertama 20 Mac ini, boleh dikatakan, ia didominasi oleh barisan peserta dari bumi Borneo, khususnya pelajar wanita. Berdasarkan enam yang terpilih, empat daripada mereka berasal dari Sabah dan dua orang anak Sarawak.
Penyiaran Diari AF pula turut dipersoalkan kerana disiarkan sekitar pukul 7.30 malam berbanding sebelum ini yang bersiaran pukul 9 malam. Penjadualan baru itu sedikit sebanyak tidak menghormati waktu solat Maghrib.

Penajaan dan iklan untuk musim ini juga menjadi tanda tanya apabila AF kehilangan sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka tanah air yang sebelum ini menjadi 'penjana' akademi. Sememangnya, sedari musim pertama, 'legasi' AF tidak pernah terlepas daripada dilanda kontroversi yang sedikit sebanyak menaikkan tingkat populariti program realiti TV itu. Begitu juga dengan AF8. Ada cakap-cakap yang seolah-olah mencabar 'orang kuat' di dalamnya agar bekerja keras dalam memastikan akademi berjalan dengan baik dan lancar di bawah teraju pengetua barunya, Norman Abdul Halim.

Memulakan maklum balas mengenai apa yang diperkatakan, Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd., Zainir Aminullah dengan wajah tenang berkata, soal pemilihan pelajar adalah telus dan bukannya bias terhadap sesebuah negeri.
Juga tidak melibatkan kuota asal usul pelajar, katanya, ia secara kebetulan apabila bakat-bakat yang menyerlah, kebanyakannya dipersembahkan oleh peserta dari Sabah mahupun Sarawak.
''Di Astro, kami tidak ada kriteria dari mana mereka (pelajar) datang. Pemilihan dilakukan secara berperingkat-peringkat dengan bantuan juri.

''Masa pemilihan, memang agak sukar untuk memilih pelajar terbaik dan kebetulan bakat-bakat dari Sabah dan Sarawak lebih menonjol,'' katanya ketika ditemui di majlis memperkenalkan barisan pelajar AF8 di sebuah pusat hiburan terkemuka di Bandar Sunway, Petaling Jaya, baru-baru ini. Hadir sama, Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi dan barisan tenaga pengajar dan produksi AF8. Kenyataan Zainir turut disokong oleh Norman yang telah pun menjangkakan dari awal mengenai persoalan yang dilontarkan itu.Menurut Norman, dirinya turut mengakui bahawa Sabah dan Sarawak memiliki anak muda yang berbakat besar dalam bidang nyanyian ketika menjalani sesi uji bakat.

Norman turut menafikan bahawa pihaknya dan Astro telah menetapkan kuota melebihkan peserta atau pelajar dari sesebuah negeri untuk dibawa masuk ke dalam AF8.

Diari AF, tajaan dan iklan

Mengenai persoalan tentang jadual siaran Diari AF pula, Zainir berkata, walaupun disiarkan sekitar waktu solat Maghrib, Astro turut menyediakan pilihan lain bagi mereka yang terlepas menonton Diari AF apabila ia diulang tayang pada pukul 11.30 malam dan hari berikutnya.''Kita lihat saluran-saluran lain termasuk Ria (saluran 104, Astro) telah menyiarkan drama atau program-program menarik pada pukul 9 malam dan penonton sudah serasi dengan waktu itu.''Ia menjadi salah satu faktor mengapa Diari AF ditukar masanya kepada 7.30 malam. Kalau tidak sesuai menonton pada waktu itu, kami sediakan pilihan di waktu lain,'' jelasnya.Diari AF untuk musim kelapan juga bakal bersiaran hanya setengah jam berbanding satu jam sebelum ini.

Kepada pertanyaan tentang penajaan dan iklan, ujar Zainir, AF8 dilihat mencabar kerana badan-badan korporat kini lebih terarah kepada pengiklanan sempena Piala Dunia 2010.''Sungguhpun begitu, untuk musim ini, AF sangat berbesar hati mengalu-alukan kedatangan julung kalinya Cerebos selaku penaja utama di samping Maybelline dan Modenas sebagai penaja bersama,'' katanya.

Barisan pelajar AF8

Sementara itu, ibu tunggal serta pasangan adik beradik merupakan antara peserta yang terpilih mewarnai AF8 yang akan memulakan siarannya pada Sabtu ini (13 Mac).Peserta yang berasal dari Bintulu, Sarawak, Zafarina Jamhari atau Farina, 28, bukan sahaja berstatus ibu tunggal kepada seorang cahaya mata bahkan menjadi pelajar paling senior dalam AF musim ini.

Sementara pasangan adik beradik yang terpilih pula ialah Erma Suhaimi (Ema), 21, dan Siti Adira Suhaimi (Adira), 19, dari Ranau, Sabah. Ia sekali gus mencatat sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya pasangan adik-beradik dipilih menyahut cabaran dalam program realiti popular terbitan Astro itu.

Astro turut mengumumkan pelajar wanita lain iaitu Nadiawaty Ainul Basir (Ain), 24; Dayang Nor Anum Arjuna Aharun (Anum), 19; dan Nadia Emilia Roselan (Nad), 22. Tidak ketinggalan enam pelajar lelaki iaitu Muhammed Shahril Mohd. Saleh Hussein (Shah), 26; Muhammad Alid Kadim (Alif), 19; Muhd. Shahril Firdaus Eli (Daus), 22; Emirza Azwan Zulazrin Chew (Iwan), 20; Muhd. Firdaus Maulana Mohamed (Maulana), 22; serta Ahmad Shahir Zawawi (Shahir), 22.

Ditanya mengenai barisan pelajar AF8, Norman berkata, mereka dipilih bukan sekadar mampu untuk melontarkan vokal dengan baik tetapi soal karakter dan pemilikan aura sebagai penyanyi atau penghibur turut menjadi teras pemilihan. ''Kami melihat pelan jangka panjang. Kami akan menguatkan 'jenama' dan identiti yang ada pada mereka.

'Apa yang boleh saya katakan, 50 peratus daripada mereka sudah pasti akan ada karier selepas keluar AF nanti. Saya sudah nampak enam pelajar yang ada potensi,'' kata Norman penuh yakin.
Selain itu, Norman turut melontarkan nasihat ini kepada barisan pelajarnya: ''Jika kalah (tersingkir), biarlah ia berlaku secara bermaruah. Ketika di pentas, buat yang terbaik. ''
AF8 bakal membuka tirainya dengan konsert pengenalan pada 13 Mac manakala konsert minggu pertama pula akan bermula 20 Mac ini di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil.

No comments:

Post a Comment