I made this widget at MyFlashFetish.com.

Thursday, March 04, 2010

BERTUAH BADAN BAKAL PELAJAR AF8

PETIKAN DARI : BLOG BADRUL/MURAI.COM
Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam Satu Malaysia!
Minggu lepas Ajieb dari Murai ada buat rakaman untuk rancangan Apa Kata M beliau dan menjemput Diddy Hirdy untuk menjadi artis jemputan. Apa yang menarik, rakaman ini diadakan di Akademi, tempat yang bakal diduduki oleh pelajar-pelajar AF8 selama tiga bulan (untuk yang berjaya ke final lah!).
Jadi, sebagai pengurus Diddy, saya menjadi antara orang luar yang terawal dapat melihat keadaan di dalam akademi. Dan berada di dalam akademi selama dua jam, apa yang dapat saya katakan adalah, bertuah badan pelajar-pelajar AF8 ini. Sepanjang AF berlangsung hampir ke musim yang kelapan ini, saya belum pernah lagi melihat keadaan di dalam akademi. Musim pertama dulu adalah juga menjenguk bungalow tempat tinggal mereka, tapi lebih kepada persekitaran di luar sahaja.
Kali ini saya dapat melihat keseluruhan tempat mereka tinggal dan belajar. Menurut Diddy, keadaan di dalam akademi jauh lebih besar berbanding ketika beliau berada di akademi. Kalau nak tahu lebih lanjut perbezaannya, nantikan rakaman Apa Kata M bersama Ajieb tak lama lagi. Dari pandangan saya pula, apa yang saya boleh katakan, bakal pelajar AF8 ini sangat beruntung!
Bermula dengan ruang belajar yang sungguh luas dan selesa. Ada beberapa kelas besar untuk mereka belajar. Satunya adalah kelas tarian yang lengkap dengan sistem audio dan visual, satu lagi kelas vokal yang dilengkapi dengan piano, manakala satu lagi bilik tempat untuk mereka jamming, lengkap dengan gitar serta set dram.
Ada beberapa ruang lain lagi yang tersedia untuk mereka melepak dan mungkin juga belajar. Satu ruang lengkap dengan sistem audio dan visual, mungkin juga tempat untuk mereka menonton kembali konsert yang telah lalu. Ada ruang rehat lengkap dengan sofa, malah banyak kerusi dan sofa hampir di seluruh ruang.
Selain itu, terdapat juga bilik solat tersedia untuk mereka menunaikan ibadah. Ada juga ruang makeup khusus yang disediakan oleh penaja. Selain dari itu, ruang dapur yang cukup luas (lebih besar dari sesetengah ruang tamu rumah orang biasa) dan set beberapa set meja makan untuk mereka menikmati juadah yang mungkin ada di antara mereka belum pernah merasa sebelum ini.
Dari ruangan tempat mereka belajar, saya ke ruangan hostel mereka. Gila! Memang sangat mewah. Hostel lelaki dan wanita terpisah agak jauh tetapi kedua-duanya mempunyai kemewahan yang sama. Bukan hanya setakat bilik tidur, hostel mereka dilengkapi dengan ruang tamu yang sangat luas, serta dapur yang cukup lengkap dengan peti sejuk dan peralatan lainnya.
Memang bertuah badan! Itu hanyalah dari segi fizikal yang mereka bakal nikmati apabila masuk ke dalam akademi nanti. Saya percaya lebih banyak lagi tajaan yang bakal mereka perolehi sama ada dari segi pakaian atau hadiah-hadiah lainnya. Dan jangan lupa pula soal tenaga pengajar yang bakal mendidik mereka selama tiga bulan.
Mereka akan diajar oleh tenaga-tenaga pengajar di antara yang terbaik di Malaysia. Nyanyian, tarian, drama dan lain-lain ilmu lagi bakal diturunkan kepada kedua belas pelajar nanti. Sayang sungguh kalau peluang yang sebegini hebat tersedia untuk mereka disia-siakan. Kalau mereka hanya mengimpikan glamor dan populariti, mereka akan pulang dengan kekosongan, bukan sahaja pada minda tapi juga pada hidup mereka.
Kalau dilihat dengan kemewahan yang tersedia, seumpama anak-anak golongan yang berada belajar di sekolah yang berprestij dengan yuran pengajian yang sangat tinggi. Dan mereka ini pula dapat belajar di akademi tanpa membayar satu sen pun! Hebat sungguh! Jika anda ingin melihat visualnya, jangan lepaskan peluang untuk menonton Apa Kata M di portal Murai.

No comments:

Post a Comment