I made this widget at MyFlashFetish.com.

Wednesday, April 22, 2009

Hafiz Suka Ayam Masak Coke

20-Apr-2009 Oleh: Ellyna Ali


KUALA LUMPUR, 20 APRIL 2009: Hati ibu manalah yang tidak terusik apabila anak yang ditatang bagaikan minyak penuh didakwa seperti telah dianaktirikan dalam Akademi Fantasia 7 (AF7). Sungguhpun begitu, ibu Hafiz iaitu Halizawati Hj Mohd Salleh, seboleh-bolehnya tidak mahu lekas mempercayai apa yang diperdebatkan di kalangan peminat program itu. Malah, dia dan suaminya, Mohd Suip Mohd Suut, juga lebih suka mengambil sikap untuk bertenang, tidak cepat melatah serta berfikir dengan positif. "Saya tahu AF7 adalah sebuah program berbentuk realiti dan apa yang dipaparkan di dalam Diari AF setiap hari lebih banyak diwarnai unsur drama. Saya yakin Hafiz dijaga dengan cukup baik di dalam akademi tersebut," katanya sewaktu dihubungi murai.com.my.
Sungguhpun Halizawati mengakui bahawa ada ketikanya dia memang amat merindui anak lelaki sulungnya itu. Kebetulan Hafiz, 20, adalah satu-satunya anak lelaki daripada 3 beradik selain Izasufiza, 18, dan Ezasufiqa, 16. "Apa yang anda lihat Hafiz di dalam Diari AF itulah diri Hafiz yang sebenarnya. Dia memang seorang anak emak kerana dia bukan saja rapt dengan saya tetapi gemar berkongsi apa jua perkara dengan saya. Dia juga cukup rapat dengan adik-beradik perempuannya yang lain. Kedua-dua mereka juga amat merindui Hafiz dan selalu bercakap tentang betapa sunyinya mereka apabila abang mereka tiada di rumah," katanya. Ketiadaan Hafiz sememangnya amat dirasai keluarganya terutama dalam menyediakan pelbagai juadah yang kreatif menerusi resepi yang direka serta diciptanya sendiri. Malah, dia juga bijak mengubah-suai resepi yang telah sedia. "Hafiz memang suka memasak malah dia juga rajin menghabiskan masanya di dapur untuk mencuba sesuatu masakan. Seperti seorang chef atau tukang masak, dia akan berusaha untuk membuat apa jua masakan. "Misalnya, dia jadikan mi segera sebagai pancake, ikan sardin ala Hafiz malah percaya atau tidak, dia pernah menyediakan ayam yang dimasak dengan Coke! "Cara dia masak lebih kurang sama dengan Ayam Masak Kicap. Cuma kicap itu diganti dengan coke. Rasanya pun lebih kurang sama. Tak tahulah dari mana dia dapat idea tu tapi, boleh tahan jugalah rasanya.
"Satu lagi kelebihan Hafiz ialah dia pandai menyediakan masakan tradisional Melayu Sarawak iaitu Umai. Satu lagi yang sedap ialah sambal belacan yang Hafiz buat. Setiap kali hendak makan sambal belacan, Hafizlah yang akan membuatnya," kata ibunya itu.
Halizawati bangga pencapaian Hafiz
Menceritakan lebih lanjut tentang Hafiz, Halizawati berkata, Hafiz yang pernah bekerja di sebuah stesen Petronas milik sanak saudaranya di Kuching, Sarawak sewaktu menunggu keputusan SPM, sememangnya seorang yang gemar menyanyi. "Minatnya terhadap bidang nyanyian memang cukup mendalam. Jadi, bila dia cakap dia hendak cuba nasib dengan menyertai pertandingan AF, saya tidak berupaya untuk menghalang. "Sebenarnya Hafiz pernah pergi uji bakat AF pada musim lalu. Tapi masa itu, rezeki berpihak pada Stacy. Tahun ini, dia cuba lagi dan Cikgu Syafi menyedarinya yang Hafiz pernah datang ujibakat dalam musim AF yang lalu. "Akhirnya selepas melepasi satu demi satu tahap ujibakat, Hafiz berjaya juga menyertai program AF7 pada kali. Saya rasa, memang tuah kali ini berpihak padanya. Sebab, kalau ada bakat saja tetapi tidak ada tuah, semua tidak boleh jadi juga," katanya.
Sambung Halizawati lagi, melihat Hafiz berjaya melayakkan diri sebagai salah seorang pelajar Top14 di AF7, sudah cukup membuatkan hatinya berasa cukup gembira. "Gembira sebab dia berjaya mencapai apa yang diimpikan selama ini. Tetapi, sebagai ibu, kalau boleh saya juga ingin melihat dia melanjutkan pengajian di Institut Pengajian Tinggi Awam atau Swasta. "Bukannya apa. Kalau boleh saya ingin dia menjadi penyanyi yang berilmu serta mempunyai pendidikan yang tinggi. Semua ini untuk kebaikan dia juga. Jadi, saya harap selepas dia berjaya penuhi impiannya itu, dia akan melakukannya untuk saya pula," katanya lagi.
Halizawati juga bangga melihat pencapaian Hafiz di AF7 yang sentiasa cemerlang setiap kali beraksi di dalam konsert mingguan. "Walaupun pada awalnya saya bimbang dia tidak dapat membawakan lagu seperti Toyol dan Mat Disko tetapi saya sendiri tidak sangka yang dia boleh membawakan kedua-dua lagu itu dengan begitu baik sekali. "Saya juga bimbang kalau-kalau dia dibayangi Mila menerusi lagu Terlanjur Cinta tetapi dia berjaya meletakkan dirinya pada tahap yang sama dengan Mila.
Cuma saya harap, Hafiz akan diberi peluang untuk membawakan lagu I Believe I Can Fly kerana lagu itu adalah lagu kegemaran Hafiz dan dia sering membawakannya dalam mana-mana persembahan di Kuching, Sarawak," katanya.
Halizawati juga gembira melihat Hafiz melayari kehidupan bersama kawan-kawan serta tenaga pengajar yang juga keluarga barunya di AF7. "Setidak-tidaknya ia boleh mendidik Hafiz menjadi seorang yang berdikari. Saya juga suka bila Hafiz rapat dengan Isma. Sebab Hafiz tidak ada kakak dan Isma dapat menjadi kakak yang baik buat Hafiz. Saya juga sedih bila Obri dan Sidi terkeluar kerana kedua-dua pelajar ini juga agak rapat dengan Hafiz sewaktu berada di akademi," katanya.

petikan dari : Hafiz AF Idol Zone

No comments:

Post a Comment