I made this widget at MyFlashFetish.com.

Saturday, April 18, 2009

Benarkah Hafiz Dianaktirikan?


Petikan : Teks oleh Ellyna Ali / murai.com


KUALA LUMPUR, 16 MAC 2009: Hanya disebabkan sedikit sedutan paparan Diari AF yang nampak seakan lebih mengutamakan beberapa pelajar tertentu di Akademi Fantasia Ke-7 (AF7), Hafiz kini dianggap seperti dianaktirikan di dalam akademi tersebut. Tidak cukup dengan itu, kesemua tenaga pengajar di akademi tersebut telah dituduh mengamalkan sikap pilih kasih apabila dilihat bangun untuk memperbetulkan kenyataan pengkritik sewaktu mereka menilai persembahan Aril dan Akim dalam konsert mingguan AF7. Bukan setakat itu saja, tenaga pengajar sekali lagi disalahkan apabila Hafiz diberikan lagu-lagu yang dianggap tidak begitu hits atau popular, padahal pemilihannya membabitkan perbincangan mereka bersama pihak produksi.

Hal yang sama turut berlaku apabila tenaga pengajar memilih pelajar lain sebagai pelajar cemerlang khususnya Aril yang telah menyandang gelaran tersebut sebanyak 2 kali kerana telah menunjukkan peningkatan yang semakin baik sepanjang minggu berada di akademi. Pelbagai kata-kata kurang enak yang kedengaran, kononnya tenaga pengajar sengaja berbuat demikian kerana mahu menonjolkan pelajar yang lebih mereka gemari semata-mata. Sungguhpun begitu, tiada siapa yang sebenarnya tahu apa yang dilalui Hafiz serta pelajar lain yang berada di dalam akademi itu selama 8 jam selepas mereka memulakan kelas mereka dari jam 9 pagi hingga jam 5 petang setiap hari.


Malah, tidak siapa juga yang tahu bagaimana bertungkus-lumusnya tenaga pengajar menumpukan perhatian terhadap mereka semua untuk memastikan mereka berjaya menjadi pelajar AF7 yang dikagumi setiap minggu. Dalam hal ini, tidak timbul sama sekali soal sikap pilih kasih, pilih bulu atau siapa yang paling banyak mendapat layanan yang istimewa daripada tenaga pengajar di dalam akademi tersebut. Namun, beberapa sedutan drama yang sentiasa dipaparkan di dalam Diari AF telah berjaya mencetuskan persepsi yang berbeza. Sumber daripada pihak produksi AF7 sendiri mengakui bahawa apa yang dipaparkan di dalam Diari AF hanyalah sedutan daripada beberapa elemen-elemen menarik yang berlaku setiap hari di akademi.


"Untuk memaparkan kesemuanya adalah satu benda yang mustahil. Dengan waktu yang terhad inilah kita cuba gabungkan kesemua elemen-elemen menarik yang terdapat di dalam akademi. "Jadi, apa yang ditonton itulah hanyalah cebisan daripada apa yang sudah kita gabungkan daripada kesemua rakaman yang diambil sepanjang hari di akademi. Proses ini berlaku setiap hari. "Mungkin ada yang bertanya mengapa tidak kami cuba paparkan pengajian mereka di kelas dengan lebih banyak lagi. Kami pernah cuba tetapi apa yang dimahukan penonton secara majoritinya dan bukanlah pengajian mereka di akademi semata-mata. "Tetapi, bagaimana mereka melalui kehidupan di akademi setiap hari. Bagaimana mereka menyesuaikan diri di antara mereka. Bagaimana emosi mereka pada waktu itu. Inilah yang sebenarnya yang penonton mahukan. "Kami sedar keadaan ini telah menampakkan Hafiz seolah-olah seperti sedang dianaktirikan tenaga pegajar tetapi hakikatnya ia sama sekali tidak berlaku tetapi inilah sebahagian daripada rencah program realiti AF," kata sumber itu lagi.


Apapun, sepanjang berada di akademi, Hafiz sentiasa dilabel tenaga pengajar sebagai seorang pelajar yang sentiasa konsisten, mudah menyesuaikan diri dengan apa jua keadaan, versatile serta mempunyai bakat menyanyi yang semulajadi. Berikan apa saja lagu kepada Hafiz, kebanyakan tenaga pengajar tahu bahawa Hafiz mampu melakukannya dengan baik. Bakat Hafiz sebenarnya telah ditemui Cikgu Syafi sewaktu Hafiz menghadiri ujibakat di Kuching, Sarawak. Begitu kagum dengan bakat Hafiz, Cikgu Syafi telah melabelkan Hafiz sebagai Guy Sebastian Malaysia serta menyifatkan Hafiz sebagai salah seorang pelajar yang bakal memberikan kejutan di dalam AF7. Ternyata ramalan Cikgu Syafi terhadap Hafiz sangat tepat. Sekarang ini, terletak kepada pelajar lain pula untuk mencapai tahap yang sudah dicapai Hafiz. Atas sebab itu, gelaran pelajar cemerlang diberikan kepada pelajar yang lemah tetapi berjaya menunjukkan peningkatan yang baik dari masa ke sama.

No comments:

Post a Comment