I made this widget at MyFlashFetish.com.

Sunday, December 21, 2008

Sut Krim, Kasut Emas buat Mawi


Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

BELUM lagi digayakan tuannya, sepasang kasut warna emas bakal dipadan dengan sut rona krim rekaan Lord's Tailor sudah memberi bayangan betapa segaknya nanti, tatkala persalinan ini dipakai Mawi. Sememangnya Mawi insan bertuah. Mana tidaknya, jika bakal pasangan mempelai lain berhabis wang untuk menguruskan majlis perkahwinan mereka, Mawi pula serba-serbi ditaja.

Memastikan penampilan Mawi tampak sempurna, Lord's Tailor menjalinkan kerjasama dengan Lewre yang mereka khas sepatu emas buat Mawi secara eksklusif.

Pengurus Pemasaran Lewre International Sdn Bhd, Diana Wong, ketika dihubungi berkata, kasut berharga RM1399 diperbuat daripada kulit lembu muda berkualiti tinggi.

"Terdapat perbezaan antara kulit lembu muda dengan tua kerana ia lebih lembut dan selesa dipakai.

Lewre memilih warna emas bukan saja untuk memadankannya dengan sut rekaan Lord's Tailor yang mempunyai gabungan warna berkenaan.

"Tetapi juga memberi kelainan serta membangkitkan kesan dramatik apatah lagi ia bakal digayakan penghibur popular di hari bersejarah.

"Kalau ikutkan, pihak Lewre menghantar banyak gambar kasut kepada Lord's Tailor yang bersesuaian untuk digayakan pengantin namun, mereka mendapati warna emas yang paling sesuai. Potongan tajam dan bersinar dipilih kerana Mawi sendiri menyukai kasut berciri begitu.

"Tempoh menyiapkannya cuma memakan masa dua minggu dan diperbuat di Malaysia. Kasut ini tidak boleh didapati di pasaran kerana ia eksklusif untuk Mawi dan pihak Lewre berbesar hati menaja dan menghadiahkan kepadanya," katanya.

Tambah Diana, sebelum ini pihak Lewre pernah menaja sepasang kasut untuk Mawi tetapi ia digunakan bekas juara Akademi Fantasia musim ketiga itu di majlis keramaian.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran dan Jualan Lord's Tailor, Loh Lee Lee, berkata, kasut emas itu akan digayakan Mawi bersama sut gabungan warna krim dan emas sempena upacara memotong kek di majlis persandingan sebelah Ikin yang diadakan di Stadium Tertutup Johor Bharu, pada 20 Disember.

"Apa yang dipertontonkan hari ini hanyalah 80 peratus daripada visual sebenar. Selebihnya kena tunggu majlis persandingan Mawi nanti.

"Untuk sut Mawi, kami menggabungkan dua warna iaitu krim sebagai terasnya manakala emas digunakan untuk aksesori seperti vest dan tali leher supaya ia tampak 'out standing'. Sut mawi diperbuat daripada kain 'wool' asli sementara vest menggunakan sutera Itali.

"Konsepnya yang diketengahkan mewah tetapi 'trendy'. Paling penting sesuai dengan baju yang akan dipakai bakal isteri Mawi, Ikin. Kos pembuatan sut ini berharga RM4,000.

"Berhubung kerjasama dengan Lewre, Lord's Tailor mahu memberi perkhidmatan sempurna kepada pelanggan. Mereka bukan saja boleh menempah baju di sini tetapi juga kasut," katanya.

No comments:

Post a Comment