I made this widget at MyFlashFetish.com.

Wednesday, December 24, 2008

Mimpi Raja Sehari


Oleh Rudy Imran Shamsudin imran@hmetro.com.my

SETENANG air di kali, begitulah ibaratnya suasana majlis pernikahan penyanyi popular, Asmawi Ani, 27, atau Mawi dengan gadis pilihan hati yang juga pelakon drama, Nora'Asikin (Ekin) Rahmat, 29 yang berlangsung di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru, Johor, kelmarin.
Tidak ramai peminat mengerumuni pekarangan masjid. Pada waktu sama 38 pegawai keselamatan Rela diletakkan untuk mengawal lokasi sementara 10 pengawal peribadi ditugaskan menjaga pasangan pengantin baru ini agar acara yang turut disiarkan menerusi Astro Oasis itu dapat dijalankan dengan lancar. Tepat jam 11.45 pagi, pasangan ini selamat dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah, Rujuk dan Cerai selaku Imam Masjid Sultan Abu Bakar, Datuk Mahat Mohd Said dengan sekali lafaz disaksikan Ustaz Akhil Hayy dan Ustaz Dzulkarnain Hamzah Al-Hafiz mewakili keluarga pengantin lelaki, sementara Datuk Dr Fadhilah Kamsah dan Ustaz Dinie, bagi pihak perempuan. Pada majlis itu, Mawi turut menyerahkan mas kahwin berjumlah RM22.50 dan wang hantaran bernilai RM30,000. Turut diserahkan barangan hantaran sembilan dulang berbalas 11 iaitu senaskhah al-Quran, sepasang sepersalinan, beg, kasut, wangian dan manisan. Bagaimanapun, kegembiraan dirasai pasangan pengantin baru ini tidak bertahan lama apabila timbul kekecohan antara wakil media dari TV3 dan pihak pentadbiran Astro yang memiliki hak eksklusif merakam serta menyiarkan majlis perkahwinan itu. Wartawan stesen televisyen swasta itu tidak dibenarkan berada dalam dewan sidang akhbar yang diadakan sebaik majlis pernikahan selesai. Akibatnya, kejadian terbabit disiarkan menerusi Buletin 1.30, sekali gus menimbulkan kekecohan di kalangan tetamu, peminat mahupun wakil media yang membuat liputan kerana kurang faham dengan situasi yang berlaku. Mawi yang sempat menonton sendiri berita disiarkan menerusi Buletin Utama sebelum majlis persandingannya di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Johor Bahru (MPJB) berlangsung turut terkejut. Ditemui sebaik persandingan selesai dijalankan, kata Mawi mewakili isterinya, dia turut berasa kecewa dan mempersoalkan apakah tujuan wartawan terbabit melaporkan berita sedemikian. "Bayangkan sebaik saja memanjat syukur dan gembira kerana majlis pernikahan dirancang berjalan lancar, tiba-tiba kami dikejutkan dengan panggilan dan sistem pesanan ringkas (SMS) bertanyakan mengenai kekecohan berlaku dan mengapa kami menghalau wartawan. "Saya sendiri terkejut kerana rata-rata semua rakan media dijemput menghadiri majlis ini (pernikahan) tidak pula memberikan komen tidak baik membabitkan layanan disediakan pihak pengurusan saya, Maestro Talent and Management mahupun Astro sendiri.
"Sidang akhbar juga berjalan dengan tenang dan begitu juga ketika majlis akad nikah di dalam masjid. Waktu sama saya turut mengadakan sidang akhbar khas bersama wartawan TV3 terbabit hampir setengah jam.
Apa yang mengecewakan saya, apabila temu bual kami tidak disiarkan sebaliknya cerita wartawan dihalau pula digembar-gemburkan. "Saya sempat juga menyaksikan sedutan berita itu dan jika tidak salah saya pegawai Rela yang bertugas bercakap dengan wakil media itu dengan cara baik. Katanya hanya mereka yang mempunyai pas saja dibenarkan masuk ke dalam dewan. Itupun sebaik sidang akhbar tamat mereka masih berpeluang menemu ramah kami," katanya. Mawi tidak menafikan apabila berita seperti itu disiarkan, ia sedikit sebanyak menganggu emosinya dan Ekin, terutama apabila memikirkan mengenai pandangan pihak luar dan peminat yang tidak berada di lokasi kejadian dan mengetahui perkara sebenar. "Sedikit-sebanyak memang saya kesal apabila berita seperti itu dilaporkan. Pada saya tidak seharusnya ia diperbesarkan. Hendak kata saya tidak menjemput mereka, sebelum majlis berlangsung saya pergi ke ibu pejabat TV3 untuk menghantar kad jemputan majlis persandingan di Felda Taib Andak minggu hadapan. "Apapun, saya sekeluarga akan jadikan ia sebagai pengajaran dan cuba memastikan ia tidak berulang apabila majlis sama diadakan di tempat kelahiran saya di Taib Andak mahupun di Palace of The Golden Horses di Kuala Lumpur pada 11 Januari nanti," katanya. Sebelum itu, pada sidang akhbar majlis pernikahan, penyanyi yang popular dengan lagu Aduh Saliha itu mengaku agak gementar sewaktu majlis akad dijalankan . "Saya juga malu apabila menjadi perhatian terutama apabila jurugambar meminta saya mencium Ekin di pipi dan dahi di upacara membatalkan air sembahyang. "Bayangkan kerana berasa tidak keruan menyebabkan cincin yang sepatutnya disarungkan Ekin tidak dapat dilakukan. Pengapit saya sendiri sampai panik melihatkan keadaan itu sehingga tidak dapat mencari di mana letaknya cincin terbabit," katanya yang kemudian mengadakan sekali lagi upacara menyarung cincin di hadapan teman media. Begitu pun jelas Mawi dalam waktu sama, dia bersyukur dan bangga kerana berjaya mengharungi pelbagai dugaan sehinggalah disatukan kelmarin. "Bagi saya, pengorbanan Ekin pada saya sebelum bernikah sudah terlalu banyak. Dia sering dikecam dan difitnah. Namun, saya percaya apa yang kami lalui sepanjang satu setengah tahun berkawan membuatkan dia lebih kuat dan matang," katanya. Pada majlis itu Mawi turut menyatakan beberapa hari sebelum majlis berlangsung dia sering teringatkan arwah bapanya, Ani Awang sehingga terbawa ke dalam mimpi. "Dalam mimpi itu, kami ada juga bercakap tetapi apa isi kandungan mimpi itu biarlah ia menjadi rahsia saya," katanya. Majlis pernikahan itu berlangsung cukup ringkas seperti apa yang dimahukan Mawi dan Ekin sendiri dengan hanya di hadiri keluarga serta teman rapat termasuk ibu Mawi, Ramlah Sarlan; ibu bapa Ekin, Rahmat Mohammad dan Fatimah Saad. Sebaik melangkah masuk ke dalam Masjid Sultan Abu Bakar pasangan ini nampak tenang, termasuk apabila majlis akad nikah selamat dijalankan. Bagaimanapun, situasi mula berubah apabila Ekin mula menangis sewaktu bertemu dengan ibu bapanya dan memohon restu. Perasaan sebaknya itu tidak boleh ditahan sehingga terbawa-bawa ke dalam dewan sidang akhbar. Menjelaskan keadaan dirinya itu, kata Ekin, dia sedih kerana tidak lagi menjadi tanggungjawab ibu bapanya selepas ini. "Saya sebak apabila ibu berpesan supaya pandai-pandailah menjaga diri dan rumah tangga yang dibina. Apabila berada di rumah mentua anggaplah mereka sebagai ahli keluarga sendiri. "Sebelum ini apa saja perkara yang berlaku kepada diri saya ibulah tempat mengadu. Saya memang paling rapat dengan ibu tetapi selepas ini apabila berpindah ke rumah Mawi di Bangi sudah tentu situasinya berubah. Tanggungjawab juga sudah besar," katanya. Pada majlis itu, Mawi turut mengumumkan, bagi mengelakkan timbul masalah dalam rumah tangga dibina, dia melantik Ekin menjadi pengurusnya, penasihat imej dan pembantu peribadi. Ini bagi membolehkan ke mana saja dia pergi, Ekin akan ikut bersama. Pasangan ini turut merancang untuk memperoleh empat cahaya mata dan jika boleh Mawi mahu anak sulungnya kembar seperti isterinya, sementara mereka belum menetapkan tarikh berbulan madu. Badan Pelancongan Korea sudah berjanji mahu menaja dan pada waktu sama pasangan ini mahu kembali ke Syria bagi mengimbau kenangan ketika Mawi melamar Ekin di sana.

No comments:

Post a Comment