I made this widget at MyFlashFetish.com.

Sunday, December 14, 2008

Satu Pergi, 10 menanti





Oleh Serimah Mohd Sallehuddin / Bharian / 121208



Seperti penonton program Gadis Melayu, Fahrin Ahmad juga mula pening kepala untuk memilih yang terbaikMEMILIKI wajah kacak adalah satu bonus untuk Fahrin Ahmad. Dia tidak perlu bimbang untuk mencari pengganti. Dan dengan nama yang dimiliki, Fahrin boleh mencari pengganti dengan mudah dan singkat. Ibarat satu pergi, 10 lagi wanita cantik sedia menanti. Bagaimanapun bukan pening memikirkan siapa pengganti tetapi barangkali yang lebih membuatkan Fahrin pening adalah untuk memilih satu yang terbaik di antara 10 wanita yang sedia menanti. Dikelilingi gadis Melayu yang cantik rupa parasnya dan tinggi budi pekertinya sememangnya menjadi idaman anak muda kelahiran Johor ini.
Fahrin memberitahu, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk mencari wanita berlainan bangsa dan agama untuk dijadikan suri hidupnya. Wanita Melayu tetap di hati, kelembutan serta kesantunan mereka sentiasa menarik perhatiannya. Namun, jangan pula menuduh dirinya sebagai ‘playboy’ hanya disebabkan dia didampingi 10 wanita cantik kerana mereka hanyalah peserta program Gadis Melayu yang kini rancak bersiaran di TV9, pada setiap Khamis. Tidak pernah terlintas di hati Fahrin untuk menawan hati salah seorang daripada gadis ini. Dia mengaku mengagumi mereka tetapi tidak lebih kerana kecantikan budi pekerti serta paras rupa mereka saja.
FAHRIN bersama 7 peserta Program Gadis Melayu.
Selaku orang yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan program ini, dia harus sentiasa mendekati mereka untuk mengenali peserta program itu dengan lebih mendalam. Fahrin menyifatkan pemilihannya sebagai hos sebagai peluang terbaik yang tidak mampu ditolak kerana diberi tanggungjawab mengacarakan sebuah program berbeza. “Jika mencari teman wanita, saya mahukan gadis Melayu. Dikelilingi 10 gadis Melayu bukanlah bermakna saya boleh mengambil kesempatan untuk menyunting salah seorang daripada mereka sebagai teman wanita. Sebagai hos, saya perlu mengenali mereka dengan lebih mendalam supaya mudah untuk saya mengendalikan program ini. “Saya suka dan senang bekerja dengan mereka. Bagi saya program ini sesuatu yang baik memandangkan selama ini kita sering disogokkan dengan rancangan ratu cantik bercorak moden. Namun berbeza dengan program Gadis Melayu yang bukan sekadar menunjukkan kecantikan semata-mata tetapi menilai kecantikan mereka dari sudut yang lebih kemelayuan.
“Cantik bagi saya terlalu subjektif dan sukar untuk ditafsirkan. Kecantikan itu datangnya daripada hati, ketulenan, tidak pura-pura atau hipokrit dan ini semua akan menyerlahkan kecantikan seorang wanita itu,” kata pelakon yang kini semakin intim dengan pelakon baru Scha. Tidak menyorokkan mengenai hubungan baiknya dengan Scha, bagi Fahrin terlalu klise andai dia menyatakan hubungannya dengan wanita itu tidak lebih sebagai teman. “Pengalaman banyak mengajar saya. Cuma masih terlalu awal untuk menafsir persahabatan kami ini, berilah kami masa. Memang kami berkawan tetapi saya tidak mahu memberi jawapan klise, saya hanya mengharapkan persahabatan kami bebas dari sebarang spekulasi dan tekanan,” kata Fahrin ketika sesi fotografi bersama peserta Gadis Melayu. Timba ilmu di program Gadis Melayu MEMBAWA imej Gadis Melayu yang menjadi contoh kepada wanita Melayu lain ternyata bukanlah tugas mudah yang perlu dipikul ke semua gadis ini. Program ini tidak hanya menyandarkan kepada kecantikan semata-mata sebaliknya mereka turut melalui pelbagai tugasan untuk menguji sejauh mana kemampuan dalam pelbagai sudut seperti protokol, seni mempertahankan diri dan paling utama dari sudut yang menggambarkan nilai kewanitaan. Perjalanan hidup ke semua 10 peserta itu kini berbeza sama sekali dengan kehidupan yang dijalani mereka sebelum ini. Kehidupan mereka dirakamkan setiap hari, pelbagai tugasan pula sudah sedia menanti untuk dilunaskan peserta. Mereka juga kini menjalani kehidupan dengan orang yang tidak pernah dikenali sebelum ini. Dengan misi yang sama iaitu merebut hadiah wang tunai RM10,000 serta pakej percutian, pastinya pelbagai cara dilakukan 10 Gadis Melayu ini untuk bergelar juara. Pertelingkahan, perebutan dan perasaan cemburu mungkin sebahagian asam garam yang perlu dilalui. Tetapi perkara itu dinafikan peserta berasal dari Johor Bahru, Ayu Nazliza Adnan, 24. Kata gadis yang juga seorang usahawan ini, setakat ini tidak pernah lagi timbul perselisihan di antara peserta sebaliknya mereka menjalani kehidupan seperti adik beradik. “Alhamdulillah setakat ini tidak timbul sebarang rasa tidak puas hati di kalangan peserta. Kami terlalu sibuk dengan pelbagai cabaran setiap minggu. Selama lebih sebulan dalam program ini, pelbagai perkara baru yang saya pelajari antaranya mengenai protokol, busana Melayu dan masakan. “Setakat ini saya seronok dengan cabaran yang diberikan. Saya juga melihat pembabitan dalam Gadis Melayu sebagai peluang untuk mengembangkan lagi perniagaan saya dalam pengurusan acara dan agensi model,” katanya. Bagi gadis yang berasal dari Kuantan, Pahang, Nurul Khusna Uma, 20, episod penyingkiran dalam program ini menjadikan mereka lebih bersemangat untuk melunaskan cabaran yang perlu mereka lalui setiap minggu. “Pada mulanya kami diberitahu tidak ada penyingkiran akan berlaku dalam program ini. Tetapi setelah program ini berjalan separuh, kami dikejutkan dengan berita penyingkiran. Berita mengenai penyingkiran itu membuatkan kami lebih bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk melakukan tugasan diberikan. “Perasaan dengki langsung tidak timbul di hati. Sebaliknya saya menjadikan kejayaan rakan sebagai motivasi untuk menjadi seperti mereka,” katanya yang berminat untuk menceburi bidang pengacaraan. Mahu mencabar diri sendiri untuk berkomunikasi di khalayak ramai menjadi tujuan utama Wan Fariza Mustafah, 23, menyertai program ini. Bertugas sebagai seorang guru, wanita ini bagaimanapun terpaksa melepaskan tugasnya sebagai guru kontrak sejak tujuh bulan lalu kerana tidak dapat membahagikan masanya antara mengajar dan program ini. Percaya rezeki berada di mana-mana, Fariza sudah pun menerima tawaran kerja baru sebagai Pegawai Kaji Cuaca dan akan memulakan tugas barunya itu Januari nanti. “Di antara banyak tugasan yang diberikan, saya paling seronok dengan aktiviti marhaban yang tidak pernah saya lakukan sebelum ini. Tugasan paling mencabar pula buat saya setakat ini ialah kelas silat. Saya tidak sangka silat sebenarnya susah hingga saya mengalami sakit badan,” katanya. Setiausaha di Universiti Sains Malaysia (USM), Siti Nurashikin Mohd Noor, 22, menyertai Gadis Melayu atas galakan ibu dan majikannya. Katanya, dia seronok kerana dapat berkenalan dan berjumpa dengan pelbagai jenis orang. Selain itu dapat berjumpa dengan rakan baru daripada pelbagai negeri. Selain keempat-empat mereka, program ini turut disertai Zehra Zambri (Selangor), Wan Hafizah Wan Abdullah (Kota Bharu, Kelantan), Khairul Noormaidah Zali (Rawang, Selangor), Noor Afzan Mohd Afzul Khan (Kota Kinabalu, Sabah), Efi Norfiani Aris Setiawan (Kajang, Selangor) dan Nur Aishah Zainal (Melaka).

No comments:

Post a Comment