I made this widget at MyFlashFetish.com.

Wednesday, December 24, 2008

Mana air mata jantan Mawi?




Oleh TENGKU KHALIDAH TENGKU BIDINent_editor@kosmo.com.my

DIARI tahun 2008 lelaki 'botak' paling popular yang disayangi rakyat Malaysia, Mawi, bakal ditutup dengan lakaran yang paling indah. "Selamat tinggal alam bujang, aku kini sudah menjadi suami orang." Mungkin begitulah bunyi suara hati Mawi.
Mengahwini kekasih hati, Ekin setelah pelbagai kerenah tidak bertepi yang berjaya ditepis, disepak dan diterajang, ini adalah 'kemenangan' kepada episod cinta antara dua hati.
Sebaik lafaz akad 'aku terima nikahnya' disahkan oleh saksi-saksi, pagi yang cerah kelmarin bersamaan 22 Zulhijjah menyatukan Mawi dan Ekin sebagai pasangan suami isteri di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bharu, negeri tanah tumpah kelahiran kedua-dua pengantin.
Bahawa jodohnya wanita sejelita Ekin yang pernah menambat hati banyak jejaka termasuk orang istana adalah sesuatu yang tidak pernah disangka oleh anak Felda Taib Andak yang bergelar artis lelaki popular itu.
Segalanya berlangsung dalam suasana tertib dan teratur. Hasil perancangan yang teliti menjadikan majlis itu berlangsung dengan cukup sempurna, bagai perjalanan sebuah drama cinta yang biasa kita tonton di kaca TV.
Lupakan kisah yang sengaja diuar-uarkan kononnya media dihalau, kerana apa yang berlaku sebenarnya hanya krew TV3 yang berhadapan dengan masalah tersebut.
MAWI sempat bercanda pada majlis pernikahannya.
Atas sebab hak eksklusif diberikan kepada stesen TV berbayar Astro dan RTM, maka krew stesen berkenaan dihalang daripada membuat penggambaran acara nikah dan sidang media.
Pun usai dua acara ini, TV3 diberi peluang lebih eksklusif menemu bual pengantin secara bersemuka, justeru masih tidak berpuas hati?
Jadi, fakta kes yang sebenarnya begini: media lain langsung tidak berhadapan dengan masalah pada majlis pernikahan Mawi dan Ekin, kecuali TV3!
Berbalik kepada acara, sesuatu yang cukup menghairankan apabila Mawi dilihat mampu melalui episod hari bahagianya tanpa setitis pun air mata.
Banyak yang menanti 'air mata jantan' Mawi menitis atau sekurang-kurangnya bergenang di tubir mata, tetapi kenyatannya itu tidak berlaku.
Hanya Ekin yang menangis teresak-esak kala membuat ikrar dan janji di depan ibunya, Fatimah Saad sedang Mawi tetap dengan wajah ceria gembira.
Wajah yang sama boleh kita lihat sebelum ini kala majlis pelancaran album atau produk terbaru di mana dia menjadi dutanya.
Benarlah bagai yang dikata, hati Mawi sekeras karang di lautan, tidak lut dengan perasaan.
Suka atau duka, Mawi bijak menyembunyi emosi di sebalik senyuman yang tidak pernah lekang bermain di bibir.
Juga ceria Mawi lain macam ketika di sidang akhbar yang dihadiri puluhan wartawan. Tawanya berdekah-dekah, terkekeh-kekeh sampaikan seluruh sidang dewan turut sama ketawa dek lawak spontan Mawi.
DEBARAN pengantin baru membuatkan Mawi dan Ekin awalnya kelihatan agak gementar di pelamin ketika pertama kali disandingkan malam kelmarin.
Pertama kali mencium Ekin selepas 'sah' bergelar suami di depan orang ramai selepas akad nikah mereka, kata Mawi, dia cukup malu sebelum menyambung sambil diiringi ketawa besar, "Tapi, okey jugalah. Seronok cium isteri."
Cara elak fitnah
Sepertimana statusnya yang sudah berubah kepada suami orang, langkah hidup Mawi juga sudah pastinya akan berbeza daripada sebelumnya.
Dan ini diakui Mawi sendiri apabila memberitahu dia akan sentiasa ditemani Ekin ke mana saja, baik dalam urusan kerja mahupun peribadi selepas ini. Ini juga adalah cara terbaik untuk mengelakkan daripada timbulnya fitnah antara mereka.
"Dia akan jadi pengurus, perunding imej dan macam-macam lagi selepas ini. Untuk elak fitnah kepada kami, elok rasanya kalau saya bawa Ekin ke mana saja saya bergerak," kata Mawi.
Jadi, kalau masih ada yang cemburu atau tidak senang dengan pilihan Mawi ini, terimalah hakikat bahawa Mawi dan Ekin kini tak boleh dipisahkan. Akad dan nikah telah menghalalkan mereka untuk berpergian ke mana saja bersama berdua, bagaikan camar yang terbang berpasangan di udara.
Mawi juga memberitahu bahawa dia sangat menyokong langkah Ekin untuk membuka perniagaan butik pakaian muslimah tidak lama lagi.
Butik itu akan menjadi bisnes pertama pasangan suami isteri itu dalam merencana hidup yang lebih gemilang di depan.
"Ekin akan buka butik untuk pakaian muslimah, saya sokong. Baguslah untuk dia, sebab itu saya suka apa yang dia hendak buat," kata Mawi.
Khabarnya Mawi akan menyumbang modal untuk isterinya memulakan bisnes berkenaan, tetapi bukan sepenuhnya.
BAGI menjaga kerukunan rumah tangga yang baru dibina, Mawi mahu Ekin sentiasa menemaninya ke mana sahaja.
Bak kata Ekin, "Butik tu bukan semua akan guna duit Mawi. Kita kongsi-kongsilah."
Ibu Mawi menetap di Felda
Biarpun anaknya sudah membina banglo mewah di Bangi yang bakal nenjadi sarang cintanya bersama Ekin selepas mereka bergelar suami isteri, ibu Mawi, Ramlah Sarlan bagaimanapun enggan turut sama menetap di sana.
Lebih selesa terus menetap di Felda Taib Andak, tempat di mana Mawi dibesarkan, Ramlah yang kurang baik kesihatannya memberitahu dia tidak berhasrat untuk turut sama 'menumpang kasih' di banglo mewah Mawi yang terletak di Bangi itu.
"Biarlah saya terus menetap di Felda," luah Ramlah ketika ditanya. Bukan tidak sayang Ekin, atau tidak kuasa tinggal dengan menantu sebaliknya ibu tua itu tidak sanggup ditinggal-tinggalkan.
"Buat apa pergi Kuala Lumpur? Mawi sibuk, nanti mak cik kena tinggal seorang diri kat rumah. Baik duduk rumah mak cik saja," katanya yang mengakui sering teringat kepada arwah suaminya, Ani Ahmad menjelang pernikahan Mawi.
Pastinya sebelum menyediakan rumah mewah untuk diri sendiri, sejuk perut Ramlah mengandungkan Mawi apabila si anak telah terlebih dahulu menghadiahkan ruang yang cukup selesa untuk didiami oleh si ibu yang melahirkan.
Walaupun hanya terletak di Felda, rumah yang dulunya kecil sudah diberi gubahan baru oleh Mawi dengan kos beratus ribu ringgit lebih setahun lalu.
Dinamakan Teratak Bonda, kediaman di Felda Taib Andak itu adalah lambang kasih sayang Mawi buat ibu, sebelum membina 'istana cinta' untuk seorang wanita bergelar isteri.
Mawi memang anak yang mengenal untung! Selamat belayar ke alam rumah tangga yang juga tidak kurang pancarobanya.

No comments:

Post a Comment