I made this widget at MyFlashFetish.com.

Friday, August 14, 2009

Takziah ; Ustaz Asri ( Rabbani ) kembali kerahmatullah





Lagu Pergi Tak Kembali (Rabbani)

Setiap insan pasti merasa
Saat perpisahan terakhir
Dunia yang fana akan ditinggalkan
Hanya amalan yang dibawa
Terdengar sayup surah dibaca
Sayunya alunan suara
Cemas di dada...lemah tak bermaya
Terbuka hijab di depan mata
Selamat tinggal pada semua
Berpisahlah kita selamanya
Kita tak sama nasib di sana
Baikkah atau sebaliknya

Amalan dan takwa jadi bekalan
Sejahtera bahagia pulang...ke sana
Sekujur badan berselimut putih
Rebah bersemadi sendiri

Mengharap kasih anak dan isteri
Apa mungkin pahala dikirim
Terbaring sempit seluas pusara
Soal-bicara terus bermula

Sesal dan insaf tak berguna lagi
Hancurlah jasad dimamah bumi
Berpisah sudah segalanya
Yang tinggal hanyalah kenangan
Diiring doa dan air mata
Yang pergi takkan kembali la


Vokalis utama Rabbani meninggal

KUALA LUMPUR: Penyanyi kumpulan nasyid Rabbani, Mohd Asri Ibrahim (gambar), meninggal dunia di Pusat Perubatan Pantai (PMC), Bangsar, di sini akibat sakit jantung, pagi semalam. Allahyarham rebah kira-kira jam 10.30 pagi ketika raptai pelancaran program Syahadah musim kelima, di Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebelum dihantar ke PMC untuk rawatan. Adik iparnya, Adha Buyong, berkata Mohd Asri, 40, dan berasal dari Klang, Selangor menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis.

"Saya menerima panggilan memaklumkan abang ipar saya pengsan. Pagi tadi (semalam) memang abang Asri mengadu tidak sihat dan muntah-muntah, namun dia tetap menyertai raptai itu," katanya ketika ditemui di PMC. Allahyarham meninggalkan isteri, Nor Jannah Shahdan, 38, dan enam anak, Mohd Nasimuddin, 15; Mohd Fathi, 14; Nor Afikah, 12; Mohd Ilham, 10; Sofiyah Munawarah, 6, dan Hamidi Rabbani, 4. Jenazahnya dikebumikan di Perkuburan Islam Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam selepas Maghrib, semalam.

ASRI yang rebah di Angkasapuri, RTM dibawa ke Pusat Perubatan Pantai sebelum disahkan meninggal dunia. - Gambar ehsan RTM

Allahyarham adalah vokalis utama Rabbani bersama lapan lagi anggota terdiri daripada Azadan Abdul Aziz, Rahmat Shafie, Mohd Asri Ubaidullah, Lokman Abdul Aziz, Rithahudeen Yaakob, Mohd Nazrul Azhar Tamrin, Zulkifli Azman dan Affendi Shahabudin. Antara lagu popular nyanyian Mohd Asri bersama Rabbani ialah Pergi Tak Kembali, Subhanullah, Intifada, Assalamualaikum, Iqra, Di Ambang Syawal, Ingat Lima Sebelum Lima dan baru-baru ini berduet dengan Amy Search menyanyikan lagu Mentari Merah Di Ufuk Timur. Kumpulan itu dinobatkan sebagai Penyanyi/Artis Nasyid Popular untuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) selama lapan tahun berturut-turut.
Sementara itu, Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahya, berkata ketika kejadian beliau dalam perjalanan dari pejabatnya ke auditorium untuk menghadiri pelancaran program Syahadah yang akan disiarkan di RTM sempena Ramadan ini.

"Apabila sampai di situ, saya lihat orang ramai mengusung beliau untuk dibawa ke hospital. Tidak lama selepas itu, kami dimaklumkan Asri meninggal dunia. "Majlis diteruskan, tetapi tanpa persembahan perasmian, sebaliknya memainkan lagu tema program Syahadah menerusi cakera padat," katanya. Penerbitan dan Penyelaras Program Syahadah, Ibrahim Zaidi Ismail, berkata beliau terkejut apabila melihat Asri tiba-tiba jatuh sebelum program bermula. "Kira-kira jam 10.30 pagi Asri masuk studio. Asri memegang mikrofon, tetapi beberapa saat sebelum program bermula Allahyarham rebah ke lantai," katanya. Rakan karibnya yang juga anggota kumpulan Raihan, Che Amran Idris menganggap Mohd Asri sebagai idola kerana beliau mula mengenalinya sebelum kemunculan kumpulan nasyid kontemporari lain. "Malah, banyak kumpulan nasyid sekarang, termasuk Raihan sendiri cuba meniru gaya dan penampilan arwah. Kami menganggap arwah sebagai pahlawan dan ikon nasyid," katanya.


petikan : Brita Harian 140809

No comments:

Post a Comment