I made this widget at MyFlashFetish.com.

Monday, September 22, 2008

Kecoh bila Mawi hendak kahwin

Oleh Hanizam Abdullahhanizam@bharian.com.my

PEJAM, celik, pejam, celik dah nak raya. Begitulah waktu yang kita semua tahu bukannya penunggu setia. Lalu, Insya-Allah pada 1 Oktober ini umat Islam satu Malaysia akan menyambut sinar Syawal. Dalam konteks dunia hiburan, semarak sinar Syawal juga membawa berita gembira bahawa bintang paling popular, Mawi semakin menghampiri hari bahagianya. "Lepas raya ada PC kak," bisik Ikin, buah hati Mawi yang teman lihat semakin anggun ketika ditemui di majlis berbuka anjuran Astro bagi meraikan rakan niaga, artis dan pihak media. Jangan tak tahu itulah kali pertama teman memenuhi jemputan berbuka puasa kerana selalunya ia banyak dihabiskan dengan kaum keluarga. Bukan tak sudi tetapi tak sanggup melihat dua anak teman itu tanpa orang tua di sisi. Ahh... cerita lama yang timbul saban puasa. Ikin berkata begitu ketika teman bertanya mengenai tarikh sebenar perkahwinannya yang heboh sangat diperkatakan khalayak sejak Mawi sudah begitu terbuka bercakap mengenai hubungannya dengan gadis yang berasal dari selatan tanah air itu. Bukan sekadar bercakap tetapi Mawi juga sudah tak segan lagi kelihatan di sisi Ikin waima untuk sesi fotografi sekalipun. Semua media dapat dan siapa pun tak boleh dabik dada dapat eksklusif gambar Mawi.



PC yang dimaksudkan Ikin itu merujuk kepada sidang media yang akan dibuat pasangan ini bagi mengumumkan tarikh sebenar mereka akan diijabkabulkan sebagai suami isteri. Eloklah tu kerana tak elok biar orang banyak sangat berteka-teki apatah lagi bukan tak dengar juga suara nakal yang berkata perkahwinan itu tidak akan terjadi. Itu suara orang yang tak mahu lihat pasangan ini bahagialah. Hati orang kita mana nak tahu. Orang kata rambut saja sama hitam tetapi hati memanglah lain-lain. Macam cerita Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, yang tak habis-habis orang nak jaja. Terbaru cerita kononnya Siti bermadu. Orang kata ada gambar tetapi selagi teman tak tengok dan ada bukti seperti surat nikah teman anggap ia sekadar gosiplah. Baguslah juga Datuk K sendiri yang tampil dan nafikan cerita itu. Sejak zaman sebelum dia orang kahwin lagi teman dah pesan kepada Datuk K, semua ini menjadi rencah dunia hiburan apatah lagi kalau berkahwin dengan orang popular macam Siti. Sabar sajalah...



Begitulah juga dengan nasib Mawi. Bahana menjadi bintang paling popular begitulah. Semua orang hendak tahu - daripada cerita cinta, kahwin dan kemudian dapat anak - orang semua nak tahu dan nak bercerita. Sudah kahwin dan belum dapat anak pun orang mengata juga. Paling tidak, adalah yang orang akan kata, "Ala... tak suburlah tu!" Jadi pekakkan saja telinga itu. Bak selalu yang dikatakan Kak Engku, "Tak suka dengar, tutup telinga!" Macam-macam jugalah yang teman dengar mengenai persiapan Mawi dan Ikin untuk hari perkahwinan mereka. Ada yang kata, Mawi mahukan konsep Jawa. Eh tak, Mawi sebenarnya mahukan konsep ala Morocco, kata yang seorang lagi. Begitu juga soal hak eksklusif penyiaran mengenai majlisnya. Ada yang beritahu, TV3 sudah hampir pasti mendapat haknya. Ada pula yang kata, eh mana boleh, Mawi dilahirkan daripada program terbitan Astro, mana boleh dia ke TV3? Entahlah, suka hati Mawilah. Majlis dia dan dia yang hendak kahwin. Itu kata temanlah tetapi kalau majlis perkahwinan yang ditaja begitulah jadinya. Akhirnya, orang yang sewajarnya menjadi raja sehari, hanya tinggal nama saja. Ketika ini juga teman dengar berebut-rebut jugalah pereka fesyen yang menawarkan diri untuk membuat busana pengantin. Beberapa nama timbul tetapi tak tahulah teman, siapa yang akan mendapat perhatian Mawi. Ini adalah antara cerita seronok apabila menjadi orang popular, semua orang hendak taja.


Macam majlis kahwin Siti dan Datuk K dululah, semua orang berebut-rebut untuk menjadi sebahagian daripada sejarah itu. Semua orang hendak enter frame dan ada kalanya orang yang tak berkenaan pun sibuk juga. Iyalah nama besar, coverage dan mileage pun besarlah. Untuk batu tenggelam, untung sabut timbul. Ada yang nama terus jadi besar dan popular sejak terbabit dengan orang besar dan popular. Tengah nama sedang mekar dan segar inilah hendak buat itu semua. Apabila orang sudah tak kuasa lagi, media pun tak ambil peduli. Tetapi ada juga artis yang jatuh sebab media sudah tak kuasa lagi dan lepas itu khalayak pun sudah tak ambil peduli. Ketika itu, barulah tahu langit tinggi rendah. Itulah sebabnya teman selalu nasihat kepada artis, kalau merenung bintang di langit jangan lupa rumput di bumi. Ok, jaga diri, jumpa lagi!